Home Inspirasi Niaga Mobile Facial Spa Pembakar Semangat Kejayaan Gadis Muda kelahiran Setiu

Mobile Facial Spa Pembakar Semangat Kejayaan Gadis Muda kelahiran Setiu

329
0

Olah: MONA BINTI MOKHTAR

Dia bukanlah wanita biasa kerana di sebalik saiz tubuhnya yang kecil molek, terselit semangat juang yang tinggi bagi membuktikan setiap individu mampu mencapai kejayaan yang diimpikan asalkan mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi.

Siapa sangka seorang gadis biasa kini bergelar usahawan ‘mobile facial spa’ yang berjaya. Anak kelahiran Setiu, Terengganu ini semakin komited dengan hala tujunya untuk bergelar usahawan muda berjaya setanding dengan usahawan-usahawan terkenal yang lain.

Azlifa bersama produk facialnya

Pemilik nama Siti Nor Azlifa Adnan, 20, mengakui tidak boleh mudah berpuas hati dengan apa yang dikecapi kini kerana perjalanannya dalam dunia perniagaan masih jauh.

“Saya mula menjinakkan diri dalam dunia kecantikan sejak 2019 dengan mengikuti  kursus kecantikan sebelum memberanikan diri menawarkan perkhidmatan ‘mobile facial spa’ kepada orang ramai bermula dengan kawasan sekitar rumah”.

Walaupun dahulunya beliau tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri kerana menganggap dirinya masih setahun jagung untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan, tambahan dirinya tidak mempunyai banyak ilmu keusahawanan dan selok belok mengenai perniagaan, namun kini beliau mampu berbangga dengan pencapaian yang telah dimiliki hasil usaha yang berterusan.

“Alhamdulillah, bermodalkan RM800 ringgit usaha saya membuahkan hasil dan menjadi pendorong semangat kepada saya untuk meneruskan usaha dalam bidang ini,” katanya.

“Segala yang saya lakukan ini atas dorongan minat, malah saya pasti kebanyakan usahawan memilih bidang ini atas faktor berkenaan, tambahnya lagi.

“Tambahan pula, saya bukan datang daripada keluarga yang senang, justeru itu saya perlu lakukan sesuatu bagi menjana pendapatan hasil titik peluh sendiri supaya dapat membantu meringankan beban kedua ibu bapa saya”.

Menurut Siti Nor Azlifa lagi, terlalu banyak cabaran mental dan fizikal yang dihadapi ketika memulakan bisnes ‘mobile facial spa’ ini, namun berkat kesungguhan dan tidak pernah berputus asa membuahkan hasil yang lumayan. Hal ini demikian kerana, beliau tidak putus-putus menerima pesanan daripada pelanggan yang menginginkan khidmat facial daripada beliau.

Anak keempat daripada enam beradik ini juga menyimpan hasrat untuk membuka spa miliknya sendiri di masa akan datang dan berharap dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana dalam menceburi bidang perniagaan.

Tidak mudah berputus asa

Di sebalik setiap kejayaan dikecapi, pasti terselit pelbagai dugaan yang dapat mematangkan diri dan menjadikan individu itu lebih kuat melangkah ke hadapan.

“Untung rugi, suka duka, pahit manis segalanya asam garam perniagaan yang ditempuh setiap usahawan seperti saya”.

“Namun, semua itu tidak boleh dijadikan pematah semangat untuk terus berjaya sebaliknya menjadikannya pendorong kejayaan, meskipun saya masih lagi setahun jagung dalam dunia perniagaan” katanya.

Beliau juga ingin membuka mata masyarakat di luar sana meskipun tahap pendidikan yang diperoleh hanya setakat SPM sahaja, beliau juga mampu meraih pendapatan sendiri dan berjaya dalam bidang yang diminati.

Impian untuk bergelar ikon usahawan muda

Mengakui dirinya sentiasa positif dan tidak mudah berputus asa untuk mengecapi kejayaan, Siti Nor Azlifa yakin dia mampu menggapai impian hidupnya.

“Saya mengharapkan perniagaan saya semakin berkembang maju dan perkhidmatan yang saya tawarkan sentiasa memuaskan pelanggan mendapat tempat dan di hati mereka.

Kata Siti Nor Azlifa lagi, selain perniagaaan mobile spanya, dia turut memasang impian untuk bergelar antara usahawan perniagaan tersohor negara suatu hari nanti.

“Tiada apa yang mustahil dan saya yakin dengan adanya usaha serta strategi yang betul segalanya dapat dicapai. Saya juga tidak akan berhenti berusaha demi untuk diri sendiri dan keluarga.

“Tidak mudah untuk menggapai segala yang diimpikan ini namun saya tidak akan menoleh ke belakang dan terus berjalan ke depan demi melakar kejayaan yang diimpikan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.