Home Inspirasi Niaga AZHAR TAJUDIN USAHAWAN TALI JUT KREATIF BERJAYA

AZHAR TAJUDIN USAHAWAN TALI JUT KREATIF BERJAYA

427
0
Azhar bersama isterinya, Rosminy Zainol

 

Mula menceburi bidang perniagaan sejak 2002, Azhar Tajudin, 50, berkata sepanjang 19 tahun beliau dalam dunia perniagaan, sudah pastinya beliau mengalami pelbagai cabaran. Keputusan nekad untuk berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan memberikan peluang kepada Azhar untuk menunjukkan bakat seninya. Bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Komputer ini tidak pernah kesal dengan keputusannya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan. Beliau yang dahulunya berkhidmat sebagai pengaturcara analisis dengan sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur, akui mendapat tentangan hebat terutama daripada pihak keluarga dan beliau juga menerima ejekan daripada kenalan rapat setelah menyatakan hasratnya dan memulakan perniagaan kraf tali jut. Namun, beliau menganggap tentangan itu sebagai cabaran dan menjadi pendorong untuk beliau membuktikan bahawa hasil kraf tali jutnya mampu menjadi sumber rezeki yang lumayan.

Idea ini muncul ketika beliau pergi ke Brisbane, Australia atas urusan kerja dan beliau melihat sendiri keunikannya yang banyak terdapat di sana. Katanya, di sana beliau melihat dari sudut nilai seni kreatif yang sangat tinggi. Beliau mula terdetik untuk memulakan perniagaan yang berasaskan sesuatu produk yang belum pernah dipasarkan oleh orang lain kerana ianya mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan dengan gabungan daya imaginasi dan kreatif yang penuh teliti untuk menarik perhatian orang ramai. Dari situ, beliau menggunakan kreativiti yang dimiliki serta bijak mengambil peluang yang ada.

Setelah pulang ke Malaysia, Azhar cuba menghasilkan sendiri barangan perhiasan rumah termasuk bingkai gambar dan cermin, bingkai ayat al-Quran, pasu bunga, dulang hantaran dan pelbagai lagi hiasan dalaman rumah menggunakan tali jut khas daripada jenis gred kedua yang diimport dari Filipina kerana jenisnya yang lebih halus dan rapi. Tali jut yang digunakan dalam hiasan dalaman akan dicat dengan warna emas dan dibentuk mengikut rekaan tertentu sehingga menampilkan konsep seni desa Eropah. Reka bentuk, warna dan coraknya dipadankan mengikut konsep hiasan dalaman rumah yang begitu cantik dan memukau.

Beberapa hasil seni kraf tali jut yang dihasilkan oleh Azhar

Azhar seterusnya membuka bengkel pembuatan dan kedai untuk mempamerkan hasil kraf yang diusahakannya di kampung halaman yang terletak di Kampung Permatang, Kuala Selangor. Walaupun terletak jauh dari pusat bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih tinggi, namun Azhar cukup yakin produk yang dihasilkannya tetap mendapat tempat dan sambutan yang hangat bagi penggemar hasil seni kreatif.

Bilik pameran untuk mempamerkan kraf tali jut yang sudah siap

Berbekalkan dorongan daripada isteri tercinta, Rosminy Zainol, Azhar berpuas hati kerana keputusan yang dibuat sebelum ini tidak sia-sia. Keluarga yang pada mulanya menentang keputusan beliau untuk berhenti kerja, akhirnya memberi sokongan sepenuhnya setelah beliau berjaya membuktikan perusahaannya berjaya. Menurutnya, apabila beliau menjalankan perusahaan sendiri, beliau mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga, serta dapat mengembangkan lagi daya imaginasinya dalam bentuk kraf tangan. Penglibatan Azhar dalam pembuatan kraf tali jut dianggap sangat istimewa kerana beliau tidak mempunyai pembelajaran atau kursus formal yang diikutinya untuk menghasilkan produk hiasan tersebut. Menurutnya, beliau bersengkang mata menyiapkan sesuatu barangan. Idea datang tidak mengira waktu dan bukan mudah untuk mendapat kepercayaan orang lain terhadap apa yang dihasilkan. Beliau juga sering menyertai pameran dan ekspo kraftangan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.

Azhar bersama isterinya, Rosminy Zainol

Setelah beberapa tahun menceburi bidang perniagaan, tidak mahu ketinggalan mengikuti peredaran zaman dan kemajuan teknologi, Azhar tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan lagi perniagaannya. Beliau mula meggunakan platform media sosial Facebook untuk membuat pelbagai promosi serta mengemas kini hasil-hasilnya. Berkat usahanya, perniagaan beliau semakin dikenali di seluruh Malaysia.

Setelah lebih 10 tahun menjalankan perusahaan kraf tali jut, Azhar mula berjinak-jinak untuk menjalankan perniagaan makanan pula sebagai sumber rezeki tambahan. Beliau menjadikan tanah kosong bersebelahan bilik pamerannya dengan membuka kedai makan yang berkonsepkan rimba alam hasil pembuatannya sendiri. Bapa kepada empat orang anak ini berkata, beliau membuka kedai makan ini adalah untuk memudahkan pelanggannya yang datang dari jauh untuk mengisi perut terlebih dahulu di kedai makannya sebelum memulakan perjalanan pulang. Kedai makan tersebut diuruskan oleh isteri beliau dan mempunyai beberapa orang pekerja. Waktu operasi kedai makan beliau bermula dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah malam.

Pelbagai menu diperkenalkan seperti makanan ala carte, western food, coconut shake, asam pedas ikan pari, nasi ayam dan pelbagai lauk kampung yang dapat menambat selera pelanggan. Beliau bersyukur perniagaan kedai makannya juga mendapat sambutan daripada orang-orang kampung serta orang luar yang ingin menjamu selera, tambahan pula dekorasinya berkonsepkan tempat yang santai di samping dapat singgah ke bilik pameran kraf tali jut untuk membeli cenderamata. Berkat sokongan padu daripada ahli keluarga yang turut membantu mempromosikan perniagaan kraf tali jut dan kedai makannya di media sosial, perniagaan Azhar menjadi semakin maju dan pelanggannya turut bertambah. Hari tidak selalunya cerah, begitulah juga yang dialami oleh beliau sepanjang berniaga. Namun, beliau dan isteri tidak pernah patah semangat dan tidak langsung terjentik untuk berputus asa malahan mereka terus kuat mempertahankan perniagaan yang sekian lama diusahakan.

Tahun 2020, pastinya tahun yang sangat mencabar bagi setiap usahawan di seluruh dunia termasuk Azhar. Beliau juga terkesan dengan penurunan hasil jualan dalam perniagaannya akibat penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara. Tempahan kraf tali jutnya dan perniagaan kedai makannya tidak terkecuali terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan. Kedai makannya juga kini hanya beroperasi dengan mengambil tempahan di whatsapp dan menyediakan khidmat penghantaran di kawasan berdekatan kampung sahaja. Beliau yang sudah lama mendalami selok-belok perniagaan, tidak mahu terus duduk diam malah mula mencari produk baru untuk dijual. Beliau juga memanfaatkan peluang yang ada untuk menjual pelbagai jenis cadar, bantal, karpet dan menjadi ejen sabun basuh baju kerana tiada yang menjual barang-barang tersebut di kampungnya.

Beliau kini lebih fokus mempromosikan barang-barang jualannya secara atas talian dengan menggunakan media sosial Facebook dan Whatsapp. Beliau melahirkan rasa syukurnya walaupun berhadapan dengan pendemik covid-19, beliau masih mampu bertahan meneruskan perniagaannya malah dapat mempelbagaikan lagi jenis jualannya di samping kraf tali jut yang merupakan produk utama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.