Home Inspirasi Niaga Lain Daripada Yang Lain, Burger Ayam Kampung Produk Tempatan

Lain Daripada Yang Lain, Burger Ayam Kampung Produk Tempatan

170
0

Oleh : 204694 Noraini bt Mohamad

“Berkat menjaga dan doa daripada seorang ibu” itu adalah simbol kejayaan perniagaan yang diusahakan oleh seorang usahawan yang menjalankan perniagaan penternakan ayam dan meluaskan empayar perniagaan dengan mengeluarkan produk burger. “Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kaum bumiputera masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan kaum cina yang berjaya menguasai dalam bidang perniagaan”. Oleh itu, beliau berhasrat untuk mempunyai perniagaan sendiri ditambahkan pula ibunya pernah membuka kedai makan maka beliau meneruskan hasratnya.

Anak ke empat daripada lima orang adik beradik ini telah berjaya membuka syarikatnya sendiri yang dinama ArisProp Holdings Sdn Bhd. Usahawan ini bernama Dato’ Haji Haris b. Embong. Pernah bekerja di dalam badan berkanun jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Penolong Pengarah Operasi Gred 54 di anak syarikat Perbadanan Putrajaya. Berumur 43 tahun beliau bekerja di Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2001 selepas menyambungkan pelajaran di bidang BioIndustri di Universiti Putra Malaysia. Menyambung  pendidikan ke peringkat Master dalam bidang Sains Pengurusan Sumber Tanah UPM pada tahun 2008. Mula menjalankan perniagaan pada tahun 2015, kemudian pada tahun 2016 mula fokus pada perniagaan tanpa menjejaskan kerja hakiki yang mana beliau meluangkan masa pada waktu malam untuk menumpukan perhatian pada perniagaan yang diceburi. Pada tahun 2017 telah mengambil cuti tanpa gaji selama setahun untuk terus memastikan perniagaannya itu berjalan dengan lancar.

Dato’ Haris (kiri) mempengerusikan mesyuarat penyusunan strategi perniagaan Arisprop Holdings Sdn Bhd

Bagi melengkapkan rancangan perniagaan yang telah dirangka dan melihat unjuran kewangan selama 3 tahun berada dalam keadaan stabil serta yakin perniagaannya akan berkembang, genap umur 40 tahun pada 2.1.2018, membuat keputusan yang muktamad meninggalkan kariernya secara bersara pilihan sendiri untuk membolehkan beliau memberi perhatian sepenuhnya kepada empayar perniagaan. Perniagaan awal yang dilakukan adalah melakukan ternakan ayam kampung di Olak Lempit, Banting dan Kuala Selangor. Kemudian beralih kepada penternakan ayam daging dan seterusnya membuat dedak ayam. Memiliki kilang proses dan penyembelihan ayam di Shah Alam dan Gombak. Malah terdapat tanah yang diusahakan dijadikan tempat penternakan ayam di Bandar Muadzam Shah secara pajakan dengan MARDI. Hasil pendidikan yang dimiliki, pada 6 bulan pertama tahun 2018, telah membuat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama bersama pihak Universiti Putra Malaysia membuat analisis nutrisi.

Setiap hamba Allah tidak dapat lari daripada ujian dalam kehidupan. Begitu juga dengan usahawan ini. Antara cabaran yang pernah beliau hadapi adalah pernah ditipu dalam urusan membekal ayam kepada pelanggan yang tidak membuat pembayaran. Kerugian yang dialami adalah lebih RM400,000.00. Beliau bangkit semula dan motivasi pada dirinya sendiri meskipun telah diuji sedemikian. Cabaran seterusnya adalah untuk memiliki kakitangan yang boleh bekerja bersama-sama dan dapat bertahan lama serta mempunyai kemahiran dalam bidang pengurusan perniagaan. Dalam memastikan beliau menjaga kakitangan yang kompeten yang telah membantu meluaskan empayar perniagaannya, beliau tidak lokek dan meraikan kejayaan yang diperolehi bersama-sama. Setiap tahun kakitangan yang telah memberi sumbangan kepada syarikat, beliau telah memberikan bonus dan ada yang berjaya dinaikkan jawatan.

Aris Mart merupakan pusat jualan produk keluaran Arisprop Holdings Sdn Bhd
Kekemasan susunatur Aris Mart memastikan keselesaan pengunjung

Katanya lagi, perniagaan yang dijalankan ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan Ramly Burger tetapi hasratnya adalah untuk memperkembangkan produk keluaran Bumiputera yang sudah pasti dijamin halal.  Nasihat beliau kepada masyarakat Bumiputera “untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu mempunyai hati yang kental dalam menghadapi risiko , perancangan pelan perniagaan bersama visi dan misi dan KPI yang mesti dicapai pada setiap bulan dan yang paling utama jangan lupa pada Allah s.w.t.”

 

Usahawan ini juga bukan sahaja menjalankan perniagaan produk burger, malah atas pengalaman yang dimiliki beliau juga menjalankan perniagaan pembersihan rumah  dan mendapat tender menjaga burung di Putrajaya selama 3 tahun. Bagi membantu para peniaga baru yang hendak menjalankan gerai burger beliau memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai modal untuk membuat bayaran secara bulanan.

Produknya telah berjaya dipasarkan secara meluas di AEON Mall seluruh Malaysia, Pasaraya Billion, Raudhah Grocer Malakat Mall Cyberjaya malah juga di pasaraya seperti Mydin Mart, Pasaraya Ikhwan (Sg Buloh) , Zemart, Family Store dan KK Mart. Produk keluarannya juga bakal dipasarkan di Pasaraya Giant dan Tesco. Seiring dengan perkembangan syarikat yang diterajuinya , 3 buah  kedai Aris Mart telah dibuka iaitu 2 buah di Terengganu dan 1 buah baru sahaja dibuka pada tahun 2021 di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.