Home Inspirasi Niaga PKP Cetus Idea Berniaga – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mencetuskan idea menjadi seorang usahawan

PKP Cetus Idea Berniaga – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mencetuskan idea menjadi seorang usahawan

202
0

PKP Cetus Idea Berniaga – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mencetuskan idea menjadi seorang usahawan

Oleh: Wahidah Othman

Perak – Meskipun tiada latar belakang perniagaan, Amrie Abd Rahman sama sekali tidak takut untuk mengambil risiko menceburi bidang perniagaan di musim Perintah Kawalan Pergerakan. Kemerosotan ekonomi dalam situasi pandemik ini, secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai ‘Despatch’ di sebuah syarikat swasta. Akibat pengurangan bilangan hari bekerja serta pendapatan bulanannya, beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan telah mencetuskan idea untuknya memulakan perniagaan kasut terpakai. “Saya mendapat idea untuk berniaga kasut bundle apabila sering menyaksikan ‘Live’ kasut bundle di Facebook. Saya juga adalah seorang penggemar dan pengumpul kasut, jadi saya sering membeli kasut di ‘Facebook Live’ dan kadang-kala saya juga turut menjadi wakil untuk menempah kasut bagi kawan-kawan saya. Dari situlah muncul idea, kenapa tidak saya sendiri menjual kasut bundle

Beliau yang tidak pernah mempunyai pengalaman berniaga, nekad untuk menceburi bidang perniagaan kerana beliau yakin segala usaha dan ketekunan yang berterusan akan mendatangan hasil yang lumayan. Setelah mendaftarkan perniagaannya pada awal November 2020, beliau menggunakan warung kopi milik arwah ayahnya sebagai tempat berniaga. Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM3000, beliau berjaya membeli 2 guni stok kasut terpakai beserta alatan kelengkapan seperti khemah, lampu dan rak. Pada bulan pertama perniagaannya, beliau tidak memperoleh keuntungan yang banyak, namun sedikit sebanyak dapat dijadikan modal pusingan untuknya menambah stok baharu.

Sambutan yang sangat baik dari kawan-kawan dan kenalan beliau membolehkan perniagaannya berkembang dari hari ke hari. Semangat dan ketekunan beliau semakin membuahkan hasil apabila perniagaan beliau akhirnya mencapai keuntungan yang diinginkan pada bulan ketiga. Platform pemasaran di sosial media juga amat membantu beliau untuk memasarkan produk-produk beliau, tambahan pula pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan masih dijalankan.

Menurut beliau, setiap perniagaan mempunyai cabaran dan risikonya yang tersendiri, namun keberanian dalam menghadapi sebarang cabaran adalah kunci kejayaan. Ketika ditanya apakah kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaanya, beliau berpendapat pandemik ini sebenarnya menaikkan semula trend pembelian barangan terpakai seperti baju, kasut dan beg. Ketika di musim sebegini, rata-rata pengguna lebih memilih untuk membeli ‘prelove item’ kerana lebih mampu milik dan menjimatkan. Bijak berbelanja telah menjadi suatu pilihan terbaik oleh kebanyakan pengguna di era pandemik sebegini. Menyedari hal itu, beliau tanpa ragu meneruskan perniagaannya dan berazam untuk mengembangkan serta menambahbaik premis perniagaanya untuk keselesaan pelanggan. Namun begitu, beliau juga ada menjelaskan tentang cabaran yang dihadapinya dari segi produk yang dibeli dari pembekal. “Tak semua kasut yang saya terima boleh dijual, ada yang kualitinya teruk, ada juga yang mempunyai logo dan gambar binatang yang haram dipakai. Semua ini kerana guni yang diberikan adalah ‘random’. Jika bernasib baik, kasut-kasut yang diterima berkualiti dan boleh dijual dengan harga yang mahal, tetapi jika sebaliknya maka kasut-kasut tersebut tidak boleh dijual sama sekali” katanya. Harga kasut terpakai jualanya adalah lingkungan RM40-RM70 sepasang.

Faktor-faktor lain seperti cuaca buruk juga menjadi suatu cabaran kepada beliau untuk menjalankan perniagaannya. Di penghujung tahun seperti ini, musim tengkujuh yang melanda sedikit sebanyak menjejaskan pengoperasian perniagaan beliau. Hujan lebat dan banjir merupakan suatu risiko yang dikhuatiri oleh peniaga kecil seperti beliau. Selain itu, lokasi premis perniagaannya yang terletak di kawasan kampung turut menjadi suatu cabaran kepada beliau kerana harga produk tidak dapat dinaikkan atau dijual lebih mahal. Hakikatnya, setiap perniagaan mempunyai cabarannya yang tersendiri namun tidak mustahil untuk mencapai sebuah kejayaan. Sedikit pesanan yang dikongsikan beliau kepada para pembaca adalah “jangan takut untuk mengambil risiko, kita hendaklah berani mencuba sesuatu yang baru dan mengambil risiko, jika tidak kita tidak akan maju”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.