Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN:  Sikap Penentu Kecemerlangan – Siri 10

MENELUSURI KECEMERLANGAN:  Sikap Penentu Kecemerlangan – Siri 10

264
0

 Sikap Penentu Kecemerlangan – Siri 10

‘menata halatuju hidup…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” Ali Imran (3) ayat (139) 

Kecemerlangan memang bukan semudah yang dijangka untuk dicapai. Ia memerlukan, sikap yang positif dan proaktif, kepercayaan yang kukuh, pengorbanan yang besar dan komitmen yang tinggi.

Untuk mereka yang telahpun sampai ke puncak kejayaan, penderitaan dan beban yang mereka tanggung selama ini hanyalah satu kenangan yang tak mungkin dapat mereka lupakan. Namun semuanya terkambus dengan kemanisan mengecapi kejayaan yang mereka idam-idamkan selama ini. Kebanyakan orang yang melihat orang yang berjaya tidak melihat pahit getir dan onak ranjau kehidupan yang telah dilalui oleh mereka yang telah berjaya ini. Apapun insan yang cemerlang itu terhasil dan bermula dengan sikap yang baik dan betul dalam menata kehidupannya.

Apabila kita mempunyai sikap yang positif, proaktif dan pragmatik, kita akan dapat menuju ke arah yang tepat, cepat dan bermanfaat. Sikap ini tidak pula bermaksud ianya hanya di tempat kerja sahaja. Ia mesti bermula dari rumah. Ia mesti bermula dari diri sendiri, kemudiannya menjadi contoh kepada isteri/suami, anak anak dan seterusnya masyarakat. Kadangkala si isteri sahaja yang menunggu sikap yang baik untuk dicontohi dari suami, ini kita kena ubah sebab kadangkala suami pula yang akan mencontohi si isteri. Sebab itu istilah yang digunapakai hari ini ialah pasangan (atau spouse) untuk menunjukkan kesaksamaraatan dari segi tanggungjawab dan kepentingan kaum hawa dalam setiap industri.

Kita mesti proaktif supaya kita yang menjadi penyebab sesuatu keadaan itu terjadi bukannya menunggu ianya terjadi yang kemudian hanya akan membuat kita bersifat reaktif. Contohnya kalau kita tengok isteri kita marah-marah kerana kita tidak membantunya mengemas rumah atau tidak menyidai pakaian atau tidak menyapu halaman rumah, baru kita bergegas-gegas nak tolong, di sini kita bersikap reaktif. Sebaliknya orang yang proaktif dan mempunyai inisiatif akan membuat dulu kerja yang patut dilakukan sebelum seseorang mengeluarkan kata-kata yang akan menyinggung perasaan atau menyakitkan hatinya.

Ini sama juga apabila kita di luar atau di tempat kerja. Janganlah kita tunggu sehingga boss bersungut. Kita lakukan apa yang harus kita lakukan dan kita berikan pula cadangan untuk memperbaiki sesuatu perkara. Hanya merungut atau membuat teguran semata mata tidak akan mengubah keadaan. Cadangan yang membina akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada kita sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Di sini kita harus bersikap lebih terbuka, membuat sebelum dibuat, bertindak sebelum diambil tindakan, proaktif bukannya reaktif. Jika ada apa juga perkara yang kita rasa tidak betul berlaku, pertama sekali lihat dulu di mana kedudukan kita sebelum kita membuat komen, apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah keadaan tersebut dan berterima kasihlah kerana kita masih mampu untuk menilai keadaan tersebut dengan memastikan ianya tidak terjadi kepada kita contohnya sekiranya kita melihat orang malas, ambillah iktibar agar ianya tidak terjadi kepada kita.

Sebagai rangkuman tajuk siri ini, mari kita perhatikan perkara-perkara berikut:-

  1. Mulakan setiap sesuatu dengan sikap yang baik dan betul bermula dari diri sendiri.
  2. Bersikap positif, proaktif dan pragmatik akan membawa kita ke matlamat yang tepat, cepat dan bermanfaat.
  3. Hendaklah kita sentiasa bersikap kuat semangat dalam apa keadaan sekalipun.

Kuali hitam tak pernah cuci

Duduk melahu makan kuaci

Andai sikap tak ambil peduli

Kecemerlangan diharap jauh sekali

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.