Oleh Baharim Sukari

DENGKIL, SELANGOR – Seramai 30 orang peserta bersama 5 orang urusetia daripada Pejabat Daerah Muar, Johor telah menyertai Program Lawatan Penanda Aras Ke Ladang Arnab Dengkil, Selangor pada 25 Mei 2026 bagi menimba ilmu dan melihat sendiri operasi penternakan arnab pedaging secara moden. Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang itu dikendalikan oleh Schamps Creative Solutions Sdn Bhd (SCCS) bersama Global Excel Hub dan Bunny Farm Enterprise.
Program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam tentang pengurusan penternakan arnab pedaging, termasuk aspek pemilihan baka, sistem kandang, pemakanan, pembiakan, penjagaan kesihatan serta strategi pemasaran produk berasaskan arnab.

Menurut pengusaha Bunny Farm Enterprise, Muhammad Amin Khalili, industri penternakan arnab mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu sumber ekonomi moden terutama kepada golongan usahawan tani dan penternak kecil.
“Penternakan arnab bukan sekadar hobi tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan yang serius jika diurus secara sistematik dan konsisten,” katanya ketika sesi perkongsian bersama peserta.

Sepanjang lawatan tersebut, peserta turut dibawa melihat kawasan kandang penternakan, sistem pemakanan arnab, pengurusan pembiakan serta demonstrasi pengendalian arnab pedaging secara praktikal. Peserta juga diberi penerangan tentang penggunaan baka popular seperti New Zealand White (NZW) yang terkenal dengan kadar tumbesaran cepat dan kualiti daging yang baik.
Selain aspek penternakan, peserta turut didedahkan dengan kepentingan digital marketing dan content creation dalam membantu penternak memasarkan produk mereka secara lebih meluas melalui platform seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp.

“Selama ini saya ingat penternakan arnab hanya secara kecil-kecilan, tetapi selepas melihat sendiri sistem di ladang ini, saya nampak industri ini sebenarnya mempunyai potensi besar untuk dijadikan perniagaan,” katanya berdasarkan rakaman video maklum balas peserta.

Sementara itu, Penghulu Mesafizam bin Mesri pula menyifatkan lawatan tersebut sangat bermanfaat terutama dari segi pendedahan ilmu dan pengalaman sebenar di lapangan.
“Program seperti ini sangat bagus kerana peserta bukan sahaja mendengar teori tetapi dapat melihat sendiri operasi penternakan secara praktikal. Banyak ilmu baru yang boleh dibawa pulang,” katanya.
Pihak penganjur berharap program seumpama itu dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berani meneroka bidang penternakan moden serta memanfaatkan teknologi digital dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Program lawatan penanda aras itu juga dilihat sebagai satu platform penting untuk membina jaringan kerjasama, berkongsi pengalaman dan meningkatkan pengetahuan peserta dalam sektor agro makanan yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Sebagai penutup, Baharim Sukari selaku Business Coach & Program Coordinator bersama Muhammad Amin Khalili, Tenaga Pengajar dan pengusaha Bunny Farm Enterprise, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah Muar, Johor atas kepercayaan yang diberikan dalam memilih Ladang Arnab Dengkil sebagai lokasi Program Lawatan Penanda Aras ini.
Mereka turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang hadir dan memberikan komitmen sepanjang program berlangsung. Diharapkan segala ilmu, pengalaman dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan serta menjadi inspirasi kepada para peserta untuk terus meneroka peluang dalam industri penternakan moden dan keusahawanan agro di Malaysia.



















