Home Inspirasi Niaga Usia Muda Bukan Penghalang Menjadi Penternak

Usia Muda Bukan Penghalang Menjadi Penternak

209
0

OLEH: MUHAMMAD ABDUL ALIM BIN OTHMAN / UPM

Seorang pemuda yang berusia 26 tahun, Muhd Fawaz bin Mohd Khalid yang berasal dari Bukit Payong, Marang Terengganu merupakan penternak muda yang berjaya mengusahakan penternakan burung puyuh. Penternakan burung puyuh yang diusahakan oleh beliau bermula sejak tahun 2015. Sejak daripada itu beliau juga telah menubuhkan sebuah perniagaan yang diberi nama AC Puyuh yang telah beroperasi sejak 5 tahun yang lalu. Perniagaan AC Puyuh ini memfokuskan kepada jualan telur dan daging puyuh segar.

Menurut pemuda dari 6 orang adik-beradik ini, beliau telah membelanjakan sebanyak lapan ribu ringgit sebagai modal untuk menubuhkan perniagaan burung puyuh. Modal tersebut digunakan untuk membina tempat menetas burung puyuh, pencahayaan dan sarang burung puyuh untuk mengekalkan suhu yang baik dalam sarang burung puyuh. Lokasi penternakan burung puyuh beliau berada di Batu Rakit Kuala Nerus¸ dan agak jauh dari kawasan perumahan bagi mengelakkan baunya mengganggu penduduk setempat. Kini, beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai seramai enam orang pekerja yang membantu bagi menguruskan perniagaan telur dan daging burung puyuh. Empat orang perkerjanya ditugaskan dibahagian penternakan dan memindahkan telur burung puyuh ke kandang yang lain dan dua orang lagi adalah bahagian penghantaran.

Seterusnya, beliau juga menyatakan tujuan beliau untuk memulakan perniagaan burung puyuh adalah disebabkan kurangnya persaingan dan tidak ramai orang yang menceburi perniagaan burung puyuh ini. Menurut beliau juga, perniagaan burung puyuh ini juga memberikan peluang yang cerah kerana hasilnya agak lumayan. Namun, cabaran yang perlu dihadapi juga menjadi  rintangan bagi beliau dan boleh menyebabkan kerugian yang besar di dalam perniagaan ini.

Tambah beliau lagi, cuaca sejuk pada musim hujan juga merupakan halangan bagi penternak burung puyuh. Hal ini kerana, burung puyuh tidak boleh terdedah pada suhu yang terlalu sejuk. Oleh itu, sarang burung puyuh memerlukan pencahayaan yang banyak bertujuan bagi mengekalkan suhu yang stabil di dalam sarang tersebut. Menurut Fawaz lagi, burung puyuh yang sakit perlu diasingkan supaya ia tidak berjangkit dengan burung lain.

Akhir sekali, perancangan masa depan beliau dalam memajukan perniagaan burung puyuh ini adalah untuk memasarkan anak-anak burung puyuh kepada penternak-penternak yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan burung puyuh ini di seluruh Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.