Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Hormat Pada Tempatnya – Siri 47 ‘memartabatkan ego diri…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Hormat Pada Tempatnya – Siri 47 ‘memartabatkan ego diri…’

319
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Setiap manusia punya egonya sendiri. Dari satu sudut, ramai yang berpandangan atau mempunyai konotasi negatif apabila kita menyebut perkataan ego itu sedangkan ianya bermaksud maruah atau harga diri. Disebabkan hal itu, apabila seseorang itu mempunyai ego, dia dianggap sombong atau tinggi diri sedangkan ianya tidak semestinya begitu. Sudah menjadi fitrah manusia untuk inginkan penghargaan, penghormatan dan dipandang tinggi pada keadaan-keadaan tertentu contohnya di majlis-majlis rasmi (yang sekarang ini dibekukan buat sementara), para kenamaan disediakan tempat duduk yang kadangkala ditandakan khas sementara nama-nama mereka pula akan disebut oleh pengacara majlis dan dan mereka yang memberi ucapan dan tak cukup dengan itu, tempat makan yang berbeza juga disediakan di bilik tertutup yang mana tetamu undangan pula terpaksa berbaris untuk mengambil makanan masing-masing di meja buffet.

Ini adalah gambaran yang sudah biasa kita tonton dalam drama kehidupan manusia. Walaupun bukan semua orang mendambakan untuk menjadi orang besar-besar, namun mendapat penghormatan tertentu dari orang-orang tertentu itu sangat penting dalam hidup mereka contohnya ibubapa pasti mahu anak-anak mereka menghormati mereka, pasangan suami isteri juga tentu mahu dihormati satu sama lain dan sudah pasti seorang abang atau kakak mahu dihormati oleh adik-adiknya. Begitulah pula jika di tempat kerja, seorang ketua mahu anak buahnya menunjukkan ketaatan pada perintahnya dan yang paling utama dan terutama sudah pasti seorang guru mahu anak-anak muridnya patuh kepada apa yang diajarkan dan menghormati layaknya seorang guru.

Namun begitu semua orang harus faham bahawa penghormatan itu perlu diperolehi, bukan sesuatu yang boleh dipaksakan atas sesiapa pun bak kata pepatah Inggeris: ‘Respect is earned, not given or commanded.’ Penghormatan disebabkan ketakutan bukanlah penghormatan yang sebenar sebagaimana rakyat yang suatu ketika dulu takut kepada kuasa Firaun, Namrud mahupun diktator-diktator yang seangkatan dengan mereka. Namun ianya berbeza dengan hormatnya para sahabat kepada Baginda Rasullulah SAW yang mana hormat mereka disusuli pula dengan rasa kasih sayang sehingga mereka sanggup menggadai harta benda malahan nyawa demi mendapatkan kasih saying dan dalam memastikan keselamatan Nabi yang tercinta ini. Itulah perbezaan antara penghormatan atas dasar ketakutan dengan penghormatan atas dasar kefahaman dan kecintaan.

Insan cemerlang adalah mereka yang faham bahawa untuk dihormati, perkara pertama yang perlu dilaksanakan ialah dengan mereka terlebih dahulu menghormati. Tak kiralah siapa orang itu samada orang yang lebih tua, sebaya atau lebih muda, guru atau murid, bos, rakan sejawatan atau pekerja bawahan, penjual di tepi jalan, kanak-kanak dan tentu sekali ibubapa kita dan sesiapa sahaja kerana kita tidak tahu apa kelebihan mereka. Namun yang paling utama ialah setiap orang itu punya maruah dan hak yang harus kita hormati. Hatta haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga mempunyai hak yang harus kita hormati dan lindungi. Alam sekitar ini sendiri adalah makhluk hidup yang kita harus hormati sebab tanpa kewujudannya; kehidupan kita akan menjadi susah, tidak selesa dan kehidupan kita juga pasti akan terancam. Sebab itu mesti ada rasionalnya dalam setiap perkara yang melibatkan alam sekitar contohnya jika kita ingin memotong walau hanya sebatang pokok kerana ia adalah benda hidup dan mempunyai faedah yang ditentukan Allah SWT.

Sifat saling hormat menghormatilah yang menjadikan kita seseorang yang berakhlak mulia, berbudaya tinggi dan faham norma-norma kehidupan sejagat. Disebabkan kerakusan manusia mengejar kekayaan maka habis bukit bukau ditarah, hasil bumi dijarah dan maruah manusia dibelasah tanpa rasa belas kasihan. Akibatnya apabila kita ditimpa musibah contohnya banjir kilat, lapisan ozon yang semakin menipis dan pandemik yang sedang berleluasa hari ini, maka mulalah kita saling menuding jari salah-menyalah. Inilah antara sebab kenapa pentingnya kita untuk saling mempunyai rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar kita sekaligus menutup aib dan menjaga maruah masing-masing.

Tentu sekali tidak semua orang wajar diberi penghormatan malahan sewajarnya diberi celaan yakni orang yang memperolok-olok, memperlekeh dan mengeji agama, budaya (yang baik) dan undang-undang negara. Namun sebagai insan cemerlang, walau dalam keadaan marah, mereka masih menghormati etika, kaedah dan tatakarma dalam memberikan pandangan komentar atau kritikan sekalipun dalam keadaan beremosi. Ini kerana mereka tahu bahawa andai mereka tidak pandai mengawal emosi dan membiarkan perasaan mengambilalih pemikiran rasional, maruah dan rasa hormat pada mereka sendiri akan tercalar. Belajar memertabatkan ego dan hormat pada tempatnya bukanlah suatu proses mudah namun ianya adalah sesuatu yang harus dilalui untuk mereka yang ingin menelusuri kecemerlangan.

Sebagai rangkuman: –

  1. Penghormatan, samada yang memberi atau yang menerima adalah sesuatu yang perlu diperolehi, bukan dipaksakan.
  2. Setiap makhluk samada insan, haiwan atau tumbuhan harus saling menghormati keberadaan mereka di atas muka bumi Allah ini.
  3. Andai marah sekalipun pada seseorang atau sesuatu, kita harus menghormati proses dan tatacara dalam memberikan pandangan, komentar atau kritikan.

Mendapat hormat bukanlah mudah

Perlu diperolehi, perlu bertabah

Letakkan ia pada tempatnya

Nescaya diredhai Yang Maha Esa

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.