Home Inspirasi Niaga Pes Mee Bandung Mat Bunga Warisan Muar

Pes Mee Bandung Mat Bunga Warisan Muar

722
0

MEE BANDUNG MAT BUNGA

Penulis: Farahin Sazali

MUAR – Pes Mee Bandung Mat Bunga menjadi nama pilihan bagi produk usahawan muda, Fakhruddin Sahrin atau lebih mesra digelar Fakhrul, 22 yang kini baru setahun jagung dalam dunia keusahawanan. Bermula dengan hanya menjual sate sebagai pekerjaan sampingan, kini anak jati Muar ini mula mencipta nama setanding dengan para usahawan tempatan. Namun begitu, bagi mempromosikan lagi makanan di Muar, Fakhrul telah menambah satu lagi menu baru iaitu Mee Bandung Muar. Beliau secara peribadi memperoleh resepi mee bandung tersebut daripada bapanya sendiri yang mewarisi menu turun temurun daripada datuknya.

Fakhrul membakar sate buat pelanggan

Beliau memilih perniagaan secara milikan tunggal kerana minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sekaligus mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang masakan. Menurut Fakhrul, beliau memilih untuk meniaga mee bandung dan sate kerana kedua-dua menu tersebut merupakan antara makanan yang terkenal di negeri kelahirannya ini.

Pada awalnya, agak sukar untuk mencari pelanggan kerana beliau mengakui bahawa masih baru dalam dunia perniagaan. Namun berkat usaha dan kesabaran yang tiada luputnya, beliau berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mencuba hasil masakannya. Kini, beliau juga sudah mempunyai ramai pelanggan tetap yang tidak jemu berkunjung ke premis perniagaannya.

“Bagi saya, cabaran paling dahsyat sepanjang saya berniaga adalah di mana saya terpaksa menutup kedai pada awal April akibat pandemik Covid 19 yang melanda negara Malaysia. Waktu itu, perniagaan saya agak merundum dan sedikit terjejas kerana masyarakat diarahkan duduk di rumah. Jadi tiada pelanggan pada waktu tersebut ”, jelas Fakhrul sedikit sebak apabila disoal tentang cabaran sepanjang menjadi seorang usahawan.

Namun begitu, keadaan yang berlaku tidak membuatkannya patah semangat. Beliau tidak hanya duduk diam malah mencipta buah fikiran untuk mengeluarkan produk jenamanya sendiri iaitu Pes Mee Bandung Mat Bunga. Dengan hasil tunjuk ajar daripada bapanya sendiri, beliau berani mengambil risiko untuk mengeluarkan modal dan mula memasarkan pes mee bandung secara kecil-kecilan sekaligus meraih kepercayaan daripada para pelanggan terhadap produk keluarannya.

Pes Mee Bandung Mat Bunga

Perkataan Mat Bunga diselitkan dibahagian akhir nama pes mee bandung tersebut kerana perkataan itu merupakan gelaran yang sering diberikan oleh rakannya disebabkan perwatakkannya yang agak jiwang.

Pes mee bandung yang 100% rasa asli udang kering dijual dengan harga RM 9 sepeket berjaya menarik perhatian ramai penduduk tempatan sekitar daerah Muar. Bukan itu sahaja, beliau juga telah meluaskan lagi sayapnya dengan mengkomersialkan perniagaan pes mee bandung tersebut ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Beliau yakin untuk mengkomersialkan di pusat bandar tersebut kerana Kuala Lumpur merupakan kawasan yang mempunyai peluang perniagaan yang lebih besar dan luas. Walaupun di Kuala Lumpur masih terdapat peniaga yang menyajikan mee bandung Muar, namun rasa asli mee bandung tersebut gagal dikekalkan kerana ada sesetengah tukang masak yang mengubah resepi mengikut caranya sendiri sehingga hilang rasa sebenar.

Fakhrul ketika menyiapkan hidangan mee bandung buat para pelanggan

Menurut Fakhrul, kini dia mempunyai lebih kurang 2 orang agent dan seorang stokis di Kuala Lumpur yang ditugaskan mengendalikan stok bagi memenuhi kehendak pengemar pes mee bandung miliknya. Pada awalnya, agent hanya mengambil stok kurang daripada 50 peket kerana dikuatiri kurang mendapat sambutan. Namun, setelah dikatakan pes Mee Bandung Mat Jambu mendapat sambutan hangat, dia berani mengambil 100 peket sekaligus dinaiktaraf sebagai stokis. Manakala bagi kawasan Muar, Batu Pahat dan Melaka, Fakhrul sendiri yang akan turun padang mengambil tempahan dan menghantar dari rumah ke rumah pelanggan yang ingin mencuba produk keluarannya itu.

Stokis (kiri) sedang menghantar tempahan para pelanggan pes Mee Bandung Mat Bunga

Ketika ditanyakan mengenai perniagaan satenya pula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengambil tempahan secara dalam talian dan menghantar tempahan tersebut dari rumah ke rumah. Namun dek terlalu sibuk menyiapkan tempahan daripada para pelanggan, beliau telah mengupah seorang runner untuk menghantar tempahan para pelanggan. Perniagaan satenya mendapat perhatian ramai sepanjang bulan Ramadan dan pada awal sambutan hari raya Aidilfitri. Memang tidak menang tangan beliau menyiapkan tempahan para pelanggan yang tidak putus-putus menempah saban hari sepanjang bulan puasa.

Alhamdulillah kegigihan beliau menuntut ilmu untuk mendapatkan resepi sate daripada seorang otai Muar tidak disia-siakan begitu sahaja. Hasilnya kita dapat lihat apabila beliau berjaya memperoleh ramai pelanggan daripada seluruh Muar yang memberikan sepenuh perhatian dan minat terhadap perniagaan satenya.

Tuntasnya, pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang bergelar usahawan muda. Namun, kita perlu bijak bagi mencari jalan keluar terhadap segala permasalahan tersebut. Usahawan muda ini seringkali mengingatkan diri untuk sentiasa kental dengan segala ujian terus berusaha untuk mencapai sesuatu yang diingini.

“Jangan takut untuk berniaga kerana untung dan rugi dalam perniagaan adalah perkara biasa, sebaliknya perlu rajin berusaha agar segala impian tercapai. Bagi yang baru memulakan perniagaan, janganlah penat mencari ilmu. Rajinkanlah diri bergaul dengan orang yang telah berjaya dalam dunia perniagaan kerana mereka akan berkongsi banyak ilmu perniagaan.”

“Untuk berjaya, kita jangan sibuk memandang berapa kali dia terjatuh, tetapi lihatlah berapa banyak kali dia cuba untuk bangkit semula.”

Berikut merupakan pesanan terakhir daripada usahawan muda tersebut kepada para pembaca dan juga para usahawan yang ingin menempah nama dalam dunia perniagaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.