Home Agriculture Menyusuri Kehidupan Nelayan di Jeti Nelayan Balok: Pengorbanan yang Ramai Terlepas Pandang

Menyusuri Kehidupan Nelayan di Jeti Nelayan Balok: Pengorbanan yang Ramai Terlepas Pandang

23
0

Oleh  Baharim Sukari

Di sebalik keindahan Pantai Balok dan deruan ombak Laut China Selatan, tersembunyi sebuah kisah kehidupan yang jarang benar-benar difahami oleh masyarakat — kehidupan para nelayan kecil yang saban hari mempertaruhkan tenaga, wang, malah nyawa demi membawa pulang rezeki dari laut.

Baru-baru ini, kami dari M Niaga berpeluang berkunjung ke Pantai Balok dan Jeti Nelayan Balok untuk melihat sendiri kehidupan sebenar masyarakat nelayan di sini.

Dan jujurnya… pengalaman ini membuka mata kami.


Kita Suka Makan Hasil Laut, Tapi Jarang Fikir Pengorbanan Nelayan

Ramai antara kita suka menikmati ikan segar, sotong celup tepung, udang dan pelbagai makanan laut.

Tetapi apabila harga hasil laut naik sedikit, ramai mula merungut dan mempersoalkan harga di pasar.

Hakikat yang jarang dilihat ialah — para nelayan hari ini sebenarnya sedang dihimpit dengan pelbagai cabaran.

Kos petrol semakin tinggi.
Kos operasi bot meningkat.
Cuaca laut semakin sukar dijangka.
Dan hasil tangkapan pula tidak menentu.

Namun mereka tetap turun ke laut kerana itulah satu-satunya sumber rezeki yang mereka miliki.


Pantai Balok: Cantik di Mata Pengunjung, Berat di Bahu Nelayan

Pantai Balok terkenal sebagai lokasi riadah yang cukup indah di Kuantan.

Ketika kami berada di sana, suasana pagi cukup tenang. Kanak-kanak bermain di pantai, keluarga menikmati angin laut, dan ada penduduk tempatan mencari lokan di pesisir pantai.

Namun di sebalik pemandangan yang cantik itu, ada kelompok manusia yang hidup mereka sangat bergantung kepada laut.

Bagi nelayan di Balok… laut bukan tempat bercuti.

Laut adalah tempat mereka mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.


Jeti Nelayan Balok: Tempat Bermulanya Perjuangan

Kami kemudiannya menuju ke kawasan belakang Pasar Nelayan Kampung Balok di mana terletaknya Jeti Nelayan Balok.

Di sinilah kami menyaksikan sendiri suasana pemunggahan hasil laut oleh para nelayan.

Bot-bot kecil mula pulang membawa ikan, sotong dan udang yang baru dinaikkan dari laut. Ada yang sibuk memunggah tong ikan, ada yang membersihkan pukat, dan ada yang terus menjual hasil tangkapan kepada pembeli yang sudah menunggu di jeti.

Kelihatan biasa… tetapi hakikatnya setiap tong ikan itu datang bersama penat lelah yang tidak semua orang sanggup lalui.


“Orang Nampak Ikan… Tapi Tak Nampak Ribut”

(Gambar Hiasan – Hasil Pembikinan AI) Nelayan sering berdepan detik cemas ketika badai melanda, ketika ombak menganas. Kisah yang diceritakan oleh Pok Long (nelayan tempatan) ketika ditemu bual.

Antara pengalaman paling bermakna dalam kunjungan ini ialah apabila kami berpeluang menemubual beberapa otai nelayan di Balok seperti Pok Long, Pakcik Zakaria dan Pak Abdul Latif.

Mereka berkongsi pelbagai pengalaman sepanjang berada di laut — termasuk detik-detik cemas berdepan ribut dan angin pusar.

Menurut mereka, ada masanya keadaan laut berubah secara tiba-tiba.

Langit yang pada awalnya tenang boleh bertukar gelap dalam sekelip mata.

Ombak mula membesar.
Angin mula menggila.
Dan ketika itulah nyawa menjadi taruhan.

Ada antara mereka yang pernah berdepan angin pusar di tengah laut sehingga bot kecil hampir hilang kawalan dan nyaris-nyaris tengelam di lautan.

Namun perkara seperti itu jarang diketahui masyarakat.

Orang hanya nampak hasil ikan di pasar.

Tetapi mereka tidak nampak badai yang perlu ditempuh sebelum hasil itu sampai ke darat.


Kos Tinggi, Risiko Tinggi

Menurut nelayan yang kami temui, terdapat dua kaedah utama menangkap ikan di kawasan Balok.

Ada yang menggunakan pukat dengan bot kecil, dan ada juga yang menggunakan teknik memancing di laut.

Bagi nelayan memancing, kos operasi jauh lebih tinggi.

Mereka menggunakan sekitar 40 hingga 45 liter petrol setiap kali turun ke laut.

Kebiasaannya mereka keluar sekitar jam 5 petang dan hanya pulang pada keesokan harinya sekitar jam 10 atau 11 pagi.

Bayangkan… semalaman berada di tengah laut dengan cuaca yang tidak menentu.

Dan semua itu dilakukan demi memastikan keluarga mereka terus mempunyai sumber pendapatan.


Di Sebalik Setiap Hasil Laut, Ada Pengorbanan

Kunjungan kami ke Balok bukan sekadar tentang pantai, makanan laut atau aktiviti nelayan.

Ia adalah tentang memahami kehidupan sebenar insan-insan yang sering berada di belakang tabir.

Di sebalik sotong celup tepung yang kita nikmati…

Di sebalik ikan segar yang dijual di pasar…

Dan di sebalik keropok yang menjadi kegemaran ramai…

Ada pengorbanan para nelayan yang sanggup berdepan ombak, ribut dan risiko di tengah laut demi mencari rezeki yang halal.

Mungkin selepas ini… sebelum kita merungut tentang harga hasil laut, kita akan lebih menghargai siapa yang bersusah payah membawanya ke meja makan kita.


Disediakan oleh:
M-Niaga.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.