Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membuka Lembaran Baru – Siri 27

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membuka Lembaran Baru – Siri 27

302
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Membuka Lembaran Baru – Siri 27

tentang malam dan siang

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah kita sudahpun masuk ke satu lagi lembaran baru setelah melalui kehidupan yang penuh ujian khususnya pada tahun 2020 yang pastinya begitu mencabar bagiu kebanyakan kita. Sudah tentu banyak kenangan pahit getir, suka duka, masam manis yang telah dirasakan terutama bagi mereka yang diuji dengan cabaran kesihatan, kewangan, kerjaya, keluarga, perniagaan dan bermacam-macam lagi cabaran hidup yang lain. Yang pasti insan yang cemerlang adalah mereka yang tetap melihat dari sudut positif mengenai apa sahaja yang dilaluinya. Insan yang cemerlang tidak mengeluh dengan ujian yang Allah SWT berikan kepadanya malahan dia akan bersyukur kerana dia tahu dan faham bahawa di sebalik musibah itu ada hikmah. Insan yang cemerlang adalah mereka yang tergolong dalam ketegori yang dirakamkan dalam Al Quran seperti berikut: –

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya  malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Ali Imran (3) ayat (190-191)

Insan yang cemerlang adalah mereka yang tergolong sebagai orang-orang yang berakal atau dipanggil ‘Ulil Albab’. Mereka ini adalah insan-insan yang sentiasa mengingat Allah dalam semua keadaan, tempat dan masa serta  sering memikirkan tentang segala penciptaan Allah SWT bukan semata-mata untuk mencari kekayaan, kejayaan dan kecemerlangan diri dan duniawi namun yang lebih penting adalah untuk menjadi insan yang bermanfaat, mendapat menambah nilai pada manusia lain dan masyarakat setempat dan yang paling utama ialah untuk mencari kesejahteraan ukhrowi.

Mereka adalah insan yang faham bahawa tiada satupun penciptaan yang Allah SWT jadikan untuk manusia itu sia-sia hatta debu itu sendiri merupakan rahmat Allah SWT yang begitu berharga kerana terciptanya begitu banyak peluang pekerjaan untuk mereka yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dari tukang cuci lantai, cermin, bangunan dan kenderaan, pekerja pembersihan jalanan, pekerja kilang membuat topeng muka dan sarung tangan, pekerja kilang pembersih hampagas, penciptaan alat-alat pembersih baru yang inovatif dan canggih serta begitu banyak lagi pekerjaan yang dicipta hanya untuk tugas-tugas pembersihan yang tidak pernah akan habis.

Untuk insan cemerlang yang sentiasa berfikir tentang penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, mereka faham bahawa perumpamaan malam merupakan keadaan susah payah yang dilalui kerana sukarnya untuk melihat dengan jelas walaupun dengan menggunakan lampu berbanding siang yang terang benderang disinari suria yang begitu bercahaya. Malam juga sering dikaitkan dengan pelbagai misteri yang perlu dirungkai sebelum dapat diterjemahkan kepada sesuatu yang memberi makna sedangkan siang itu sendiri begitu jelas dan nyata dan tidak memerlukan tenaga atau dayafikir yang terlalu tinggi kerana ia sering dikaitkan dengan sesuatu yang agak mudah. Malam merupakan cabaran, isu dan masalah sementara siang merupakan penyelesaian, jalan keluar dan harapan.

Pada waktu yang sama, ianya merupakan satu isyarat dan perintah dari Allah SWT agar manusia mengatur kehidupannya agar mereka tahu membahagikan masa siang dan malam dengan baik dan seimbang. Ini kerana semakin ramai manusia yang sudah tidak mengambil endah tentang perkara ini kerana sibuk mengejar kejayaan duniawi tanpa memikirkan kesihatan badan mereka yang memerlukan tidur yang cukup untuk berfungsi dengan baik. Dunia hari menyaksikan begitu ramai manusia yang menyamaratakan malam dan siang mereka (contohnya untuk mereka yang berniaga sehingga larut malam sehingga ke pagi) dengan antara ungkapan yang sering didengar: “Aah, malam kan masih muda?” Inilah antara penyebab pelbagai masalah kesihatan yang timbul yang membawa kepada penurunan prestasi kerja dan pelbagai masalah lain yang terkait dengannya. Ini dijelaskan dalam ayat berikut: –

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karuniaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan.” Ar Rum (30) ayat (23)

Melangkah dan membuka lembaran baru di tahun baru 2021 ini marilah kita merancang, menyusun dan menata kembali kehidupan kita yang mungkin agak sedikit becelaru dengan keadaan pandemik semasa ini namun ianya tidak harus mematahkan semangat kita dalam mengorak langkah dengan lebih yakin dan optimis bahawa keadaan ‘malam’ yang sedang kita lalui ini tidak akan berpanjangan atau berkekalan kerana ‘siang’ akan pasti menjelang…

Sebagai rangkuman: –

  1. Malam dan siang diciptakan Allah SWT sebagai perumpamaan untuk orang-orang yang sentiasa berfikir.
  2. Keadaan susah tidak akan berterusan sekiranya manusia sentiasa gigih berusaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk keluar dari kemelut tersebut.
  3. Kita harus tahu mengatur masa untuk disesuaikan dengan keadaan hidup kita agar tidak tenggelam dengan permainan fana dunia yang melalaikan.

Akhir kata: –

Malam dan siang aturan Tuhan

Namun gelapnya malam tidak berpanjangan

Siang kan menjelma membawa harapan

Untuk kehidupan yang lebih bergemerlapan

Selamat menyambut tahun baru 2021 dan salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.