Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Peribadi Sang Penakluk – Siri 24

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Peribadi Sang Penakluk – Siri 24

297
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Peribadi Sang Penakluk – Siri 24
rahsia kecemerlangan silam…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Konstantinopel suatu ketika dulu pastinya bukan sebagaimana yang digambarkan oleh Istanbul hari ini setelah ditakluki oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857H iaitu sekitar 800 tahun selepas sabda Rasullullah SAW:

“Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti akan dibuka (ditaklukkan). Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik pasukan adalah pasukannya.”(HR Bukhari).

Usaha menakluk Konstantinopel dimulakan oleh Saidina Ali pada tahun 34 Hijrah, Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 84 Hijrah. Sultan Sulaiman pada tahun 91 Hijrah, Khalifah Harun Al-Rasyid pada tahun 165 Hijrah. Sultan Beyazid pada tahun 769 Hijrah, 775 Hijrah dan 778 Hijrah tetapi semuanya menemui kegagalan sehinggalah Sultan Muhammad Al-Fateh pada tahun 857 Hijrah.

Soalan yang pernah ditanya oleh Sultan Murad iaitu ayahanda kepada Sultan Muhammad Al-Fateh kepada salah seorang ulama besar (yang kemudian menjadi Penasihat Sultan Murad) iaitu Sheikh Bayram:

“Apakah pada zaman pemerintahan Khailfah ar-Rasyidin, Bani Umaiyah dan Bani Abasiyah tidak ada pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik?” Soalan tersebut tidak dijawab secara langsung oleh Sheikh yang bijaksana itu tetapi menekankan bahawa setiap muslim itu harus yakin dengan apa yang disabdakan oleh Rasullullah SAW kerana semuanya benar belaka. Beliau juga menyuarakan firasatnya bahawa yang akan menawan Konstantinople itu bukanlah Sultan Murad tetapi putera baginda.

Apakah kunci kepada kemenangan Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh yang menjelaskan dengan lebih terperinci hadis Baginda Rasullulah SAW? Pastinya banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan Baginda dalam penaklukkan Kota Suci Rom yang terkenal itu namun mari kita ambil beberapa pengajaran penting yang menjadikan Baginda seorang pemimpin yang mempunyai peribadi cemerlang dari semua sudut.

Pendidikan Agama dan Ketenteraan merupakan asas yang sangat dititikberatkan oleh Ayahanda Baginda apabila mula mendapat khidmat Ulama seperti Syeikh Bayram, Syeikh Syamsudin Al-Wali dan Syeikh Al-Kurani untuk mengajarkan segala ilmu agama sementara ilmu peperangan pula diajar oleh Bapa Saudaranya sendiri iaitu Adinda kepada Sultan Murad, Panglima Tharhan. Sebagai orang yang telah difirasatkan akan menakluk Konstantinopel, Sultan Murad tahu bahawa tak mungkin seseorang Sultan itu akan dapat memerintah kerajaannya andai dia tidak cerdas dan cergas kerana tanggungjawab sebagai seorang sultan itu amat berat. Kekurangan atau kecetekan ilmu dan kemahiran hanya akan menjadikan baginda seorang sultan yang lemah. Dengan sebab itu, baginda telah mula menerima pendidikan seawal berumur 5 tahun lagi dari guru, jurulatih dan penasihat yang boleh dipercayai dan berdedikasi dalam pembentukan peribadi Baginda.

Untuk menembusi kubu paling kuat kerajaan Byzantium Rom tatkala itu, Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh memerlukan tentera yang utuh dari semua aspek. Maka dengan itu sejak dari awal lagi, beliau memerlukan satu pasukan tentera yang dilatih untuk taat setia tanpa berbelah bagi kepada baginda dan ianya hanya dapat dicapai dengan didikan agama yang sempurna, disiplin diri yang tinggi dan keyakinan yang kukuh. Pasukan tentera ini adalah ibarat instrumen atau alat untuk mencapai sesuatu hasrat. Oleh itu alat tersebut mestilah alat yang baik, yang boleh dipercayai dan yang boleh memenuhi kehendak si pengguna alat tersebut. Tentera Baginda merupakan tulang belakang yang menjadi sumber kepada kekuatannya dalam agenda penaklukkan tersebut. Tentera Baginda terdiri dari mereka yang tidak pernah tinggal solat fardhu malahan turut tidak meninggalkan solat-solat rawatib dan solat dhuha. Inilah punca kegagahan sebenar pasukan tentera tersebut yakni ketaqwaan pada Yang Maha Esa.

Dalam merealisasikan sebuah impian, Visi dan Misi memainkan peranan yang penting untuk mencapai impian tersebut. Salah satu penyebab utama ialah untuk memenuhi tuntutan dan membenarkan hadis Baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh bukanlah seorang yang mementingkan diri sendiri tapi yang paling utama ialah menundukkan dirinya pada Allah SWT dan berkhimat untuk kemaslahatan rakyat baginda. Sejak berumur 16 tahun lagi sebelum dilantik menjadi Sultan (beliau dinobatkan sebagai Sultan pada umur 19 tahun apabila Ayahanda Baginda mangkat), Baginda telah diberikan amanah untuk memangku tampuk pemerintahan apabila Ayahanda Baginda ingin menguji kemampuan Baginda apabila menyatakan bahawa beliau ingin bercuti untuk berehat di samping menumpukan ibadah kepada Allah SWT. Ternyata kecerdasan Baginda dalam memimpin negara pada usia yang begitu muda dengan bersandarkan kepada menegak dan mempertahankan kesucian agama dan syiar Islam terbukti dengan kemampuan Baginda yang tidak dapat disangkal.

Inilah peribadi Sang Penakluk Konstantinopel yang membenarkan hadis Baginda Rasullulah SAW pada usia semuda 21 tahun yang begitu mengkagumkan namun ianya tidak datang seperti hidangan yang tersedia untuk disantap. Ianya memerlukan perancangan strategik, pengorbanan, kesetiaan dan sokongan padu yang tak berbelah bagi dari semua pihak. Insan yang cemerlang tahu bahawa setiap kejayaan itu haruslah didasari dengan elemen-elemen yang berteraskan Al Quran dan Sunnah Rasullulah SAW dan disusuli dengan rancangan, koordinasi dan tindakan-tindakan yang tepat dan bermanfaat.

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan keperibadian:

  1. Pendidikan samada ilmu dunia mahupun akhirat merupakan asas utama dalam pembentukan peribadi insan yang cemerlang.
  2. Alat dan sumber yang sesuai serta sokongan dan tunjukajar guru/penasihat/mentor perlu dalam memastikan pencapaian sesuatu kejayaan.
  3. Visi dan Misi yang jelas penting dalam merealisasikan sesebuah impian dan harus menjadi penyebab utama yang menjadi pendorong kepada pencapaian dan kecemerlangan tersebut.

Akhir kata: –

Sabda Rasulullah tak pernah dusta

Penakluk Konstantinopel Sultan mulia

Muhammad Al-Fatih nama Baginda

Lagenda ulung inspirasi semua

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.