Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ketakutan Memangkin Tindakan – Siri 14

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ketakutan Memangkin Tindakan – Siri 14

238
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Ketakutan Memangkin Tindakan – Siri 14
memacu pergerakan berkesan…

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Perkara lumrah di dalam minda manusia yang selalunya menghalangnya untuk bergerak atau berbuat sesuatu ialah ketakutan. Ketakutan adalah sesuatu yang sangat berkuasa atas diri seseorang yang boleh menyebabkannya langsung tidak berupaya untuk berbuat sesuatu namun seandainya kita tahu bagaimana hendak menggunakan ketakutan dengan betul dan berkesan, ia akan dapat kita gunakan untuk mencapai kecemerlangan yang kita cari.

Kita ambil contoh-contoh ketakutan. Kenapa seseorang itu takut? Kenapa saya takut? Kenapa anda (pembaca) takut? Ada orang yang takut dengan anjing, tikus, lipas atau ular atau ada yang merasa gerun untuk naik kapal terbang atau kapal laut. Ada pula yang takut dengan kegelapan, takut dengan hantu atau takut dengan majikan, dan ada pula yang takut dengan bayang bayangnya sendiri manakala takut dengan dengan Allah SWT itu pula sesuatu yang sangat dituntut.

Ini semua adalah jenis-jenis ketakutan yang dialami oleh berbagai lapisan masyarakat dan ianya menyekat seseorang itu dari mencapai keinginan hatinya. Contohnya kalau seseorang itu takut dengan  ular, ianya akan menyekat keinginan hatinya untuk menikmati alam di mana dia sepatutnya masuk hutan. Tetapi oleh kerana ketakutannya itu dia akan membatalkan saja niat itu dan membuat sesuatu yang lain walaupun sebenarnya bukan perkara yang diminati. Ini tidak pula bermaksud membahayakan diri dengan memasuki tempat atau kawasan yang sememangnya berbahaya. Itu hanya tindakan yang tidak bijak.

Insan yang cemerlang juga adalah mereka yang tidak terlepas dari perasaan takut. Mereka hanyalah manusia biasa yang mempunyai phobia-phobia tertentu. Namun begitu insan yang cemerlang tidak akan membiarkan perasaan takut tersebut menghantui diri mereka sehingga mereka menjadi keras dan kaku sehingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah kita boleh menghilangkan ketakutan yang kita rasa ini melalui berbagai bagai cara. Satu pepatah ada berbunyi; ‘Untuk menghilangkan ketakutan, berhadapanlah dengan ketakutan tersebut’. Selebihnya kita harus berusaha sendiri bagaimana untuk menghilangkan rasa takut tersebut. Mungkin kita tidak dapat menghilangkan ketakutan itu sekali gus tetapi sekurang kurangnya kita tidak menjadi histeria apabila kita melihat perkara yang menjadi ketakutan itu.

Walaubagaimanapun kita boleh menggunakan ketakutan sebagai sebab untuk kita berjaya. Contohnya kalau kita takut kena untuk pergi ke Doktor Gigi (sebagaimana penulis pada awalnya), kita tahu bahawa kita tetap akan pergi juga suatu ketika nanti kerana tidak akan dapat menanggung kesakitannya. Alhamdulillah, penulis bertuah kerana Dr Firdaus Hanapiah, seorang pakar gigi atau lebih dikenali sebagai Oral Maxillofacial Surgeon adalah seorang sahabat lama (sejak beliau masih menuntut di universiti) dan Doktor Pakar yang sangat berwibawa bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam bidang beliau tetapi juga pandai berkomunikasi menenangkan para pesakitnya. Disebabkan kemesraannya dalam menangani setiap pesakitnya (termasuk penulis), ketakutan tersebut hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya berani untuk ke klinik beliau. Hadapilah ketakutan secara bertahap-tahap.

Dalam perniagaan pula, ketakutan untuk rugi, kehilangan pelanggan, jualan kurang atau merudum dan pengurusan yang tidak cekap dan tidak berkesan akan memastikan kita sentiasa peka dengan keadaan perniagaan kita dari segi kualiti, harga, perkhidmatan pelanggan dan membuatkan kita sentiasa mempelajari teknik-teknik baru bukan sahaja untuk meningkatkan jualan tetapi juga untuk menguruskan perniagaan kita dengan baik di samping memastikan hasilnya baik, halal lagi berkat.

Sebagai rangkuman, 3 perkara yang boleh kita pelajari ialah: –

  1. Ketakutan adalah lumrah kehidupan. Kenalpasti penyebab dan atasinya secara beransur-ansur.
  2. Ketakutan adalah ‘pengawal’ agar kita tidak membuat perkara-perkara yang tidak cerdik. Andai kita tetap kena melakukannya, kita harus membuat persiapan yang sewajarnya.
  3. Gunakan ketakutan sebagai penyebab utama untuk kita berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.

Ketakutan, ketakutan, ketakutan, ketakutan

Lumrah dunia ciptaan Tuhan

Sekadar untuk mengingatkan kita

Kepada Dia Yang Maha Esa

Jadikanlah ketakutan kepada Allah SWT sebagai pemangkin (bukan penghalang) untuk taat pada perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya yang sekaligus akan membuat kita bergerak lebih maju ke hadapan dan sebagai ‘pengawal’ kepada perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan. In shaa Allah, ketakutan yang betul pada tempatnya akan menjadikan kita insan cemerlang yang mempunyai pelbagai sifat, nilai dan akhlaq yang mulia.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.