Dah Tahu Pelanggan Tak Ramai, Apa Strategi Kita?
Oleh Baharim Sukari | M Niaga
Sekitar tahun 1995–1996, saya pernah berniaga pisang goreng di tepi jalan, di hadapan rumah.
Malu, memang malu.
Nak mula berniaga, nak buka payung pun ada rasa segan. Terasa macam jiran-jiran sedang memerhatikan. Entah mereka betul-betul tengok atau kita yang terlebih fikir.
Tetapi apabila pelanggan mula datang dan jualan mendapat sambutan, perasaan malu itu semakin hilang.
Kita mula sibuk melayan orang. Fikiran beralih kepada kerja. Keyakinan pun bertambah.
Pengalaman itu membuatkan saya faham: sambutan awal boleh memberi kesan besar kepada semangat seseorang yang baru berniaga.
Pelanggan Pertama Membawa Keyakinan
Orang yang baru mula berniaga biasanya membawa pelbagai perasaan. Teruja ada. Takut ada. Malu pun ada.
“Kalau tak ada orang beli?”
“Apa jiran kata?”
“Kalau barang tak habis?”
Sebab itu, apabila pelanggan pertama datang, maknanya besar. Ada orang sudi mencuba apa yang kita jual. Apabila ada yang datang semula, keyakinan bertambah lagi.
Semangat untuk membuka payung pada hari berikutnya pun terasa berbeza.
Minggu Pertama Memang Salam Perkenalan. Kemudian?
Kita biasa dengar:
“Biasalah, baru mula. Orang belum kenal.”
Betul. Minggu pertama memang tempoh memperkenalkan perniagaan. Jualan mungkin masih sedikit, terutama jika lokasi kurang orang lalu.
Tetapi pada saya, ada satu soalan yang perlu menyusul:
Kalau kita sudah tahu pelanggan mungkin tak ramai, apa tindakan kita untuk membawa mereka datang?
Kita sudah tahu lokasi agak tersorok. Kita sudah tahu orang belum kenal produk. Maklumat itu sepatutnya membantu kita menyusun langkah.
Jangan berhenti pada penjelasan mengapa jualan mungkin perlahan.
Cari Pelanggan Sebelum Buka Payung
Usaha mendapatkan pelanggan boleh bermula beberapa hari sebelum jualan pertama.
Maklumkan kepada jiran dan kenalan berdekatan. Tunjukkan gambar produk sebenar. Nyatakan harga, waktu berniaga dan lokasi dengan jelas.
Jika sesuai, buka tempahan awal.
Bayangkan perbezaannya apabila kita mula berniaga dengan beberapa pesanan yang sudah disahkan. Sudah ada kerja untuk disiapkan dan pelanggan untuk dilayan.
Sambutan tetap tidak boleh dijamin, tetapi kita sudah meningkatkan peluang untuk mendapat jualan.
Buka payung ialah persediaan berniaga. Hebahan dan tempahan awal pula membantu membawa pelanggan ke bawah payung itu.
Mainkan Strategi Minggu Perkenalan
Jadikan minggu pertama satu kempen kecil yang dirancang mengikut kemampuan.
Antara usaha yang boleh dicuba:
- Beri peluang merasa. Sampel kecil boleh membantu orang mengenali produk dan memberi komen.
- Sediakan tawaran pembukaan. Pilih satu tawaran yang mudah difahami dan masih memberi margin.
- Buat pakej keluarga. Sesuaikan dengan pembelian penduduk sekitar yang mungkin membeli untuk seisi rumah.
- Tetapkan waktu yang jelas. Mudahkan orang merancang untuk singgah.
- Ajak pelanggan datang semula. Produk yang sedap, layanan baik dan waktu buka yang konsisten memberi sebab untuk mereka kembali.
Tak perlu buat semuanya serentak. Pilih yang mampu dilaksanakan dengan baik, kemudian lihat hasilnya.
Promosi juga perlu dikira kosnya. Jualan yang banyak perlu meninggalkan hasil yang berbaloi.
Jangan Ukur Dengan Ramai Sehari Sahaja
Hari pertama mungkin meriah kerana sokongan saudara, sahabat dan jiran. Sokongan itu sangat membantu.
Selepas itu, perhatikan apa yang berlaku.
Ada yang membeli semula? Ada yang memperkenalkan kepada orang lain? Ada komen tentang rasa, harga atau layanan?
Catat jualan, kos dan bahan berbaki. Ambil tahu bagaimana pelanggan mengenali perniagaan kita.
Daripada situ, kita boleh membuat keputusan yang lebih baik. Mungkin perlu menukar waktu, memperbaiki produk atau menguatkan hebahan di kawasan berhampiran.
Jika jualan kurang, cari puncanya satu demi satu. Jangan terlalu cepat menghukum diri sendiri.
Semangat Perlu Dipelihara Dengan Usaha
Saya masih ingat rasa malu hendak membuka payung dahulu. Apabila pelanggan datang dan jualan mendapat sambutan, rasa itu beransur hilang.
Sebab itu saya percaya, sambutan awal wajar diusahakan. Ia boleh membantu seseorang berani meneruskan langkah dan belajar menghadapi cabaran berniaga.
Kita mungkin belum mampu menarik ramai pelanggan pada hari pertama. Namun, setiap tindakan memberi kita peluang untuk mencuba, belajar dan memperbaiki.
Kalau orang belum tahu, perkenalkan.
Kalau susah mencari lokasi, mudahkan.
Kalau belum pernah rasa, beri peluang mencuba.
Kalau sudah membeli, jaga pengalaman mereka supaya mahu kembali.
Dah tahu cabarannya, susunlah tindakannya. Jangan biarkan semangat bergantung pada orang yang kebetulan lalu.

















