Iklan Bawa Sales, Tetapi Berbaloi Tak Kosnya? Cara Mengira Kos Mendapatkan Pelanggan
“Iklan dah jalan. Orang bertanya pun ramai. Tapi bila kira duit, kenapa untung tak seberapa?”
Dalam perniagaan, kita mudah teruja apabila iklan mendapat perhatian. WhatsApp masuk, sebut harga dihantar dan tempahan mula diterima.
Namun, ada satu angka yang sering terlepas pandang: berapa kos untuk mendapatkan seorang pelanggan baharu?
Angka ini membantu kita menilai sama ada iklan berbaloi atau perlu diperbaiki.
1. Bezakan Pertanyaan Dengan Pelanggan
Katakan anda membelanjakan RM600 untuk iklan:
- 100 orang bertanya.
- 30 orang meminta sebut harga.
- 10 orang menjadi pelanggan baharu yang membeli.
Kos iklan bagi setiap pertanyaan ialah:
RM600 ÷ 100 = RM6
Kos iklan bagi setiap pelanggan baharu pula ialah:
RM600 ÷ 10 = RM60
Nampak bezanya?
Pertanyaan menunjukkan minat. Tetapi belum tentu semuanya menjadi pembelian.
Jangan ukur kejayaan iklan berdasarkan WhatsApp yang masuk sahaja. Semak berapa ramai yang akhirnya membeli.
2. Kira Kos Mendapatkan Pelanggan
Kos mendapatkan pelanggan dikenali sebagai Customer Acquisition Cost atau CAC.
Formulanya mudah:
CAC = Jumlah kos mendapatkan pelanggan ÷ Jumlah pelanggan baharu
Untuk kiraan yang lebih lengkap, masukkan kos berkaitan seperti penyediaan bahan iklan dan pengurusan kempen.
| Perkara | Jumlah |
|---|---|
| Belanja iklan | RM600 |
| Penyediaan bahan iklan | RM200 |
| Pengurusan kempen | RM200 |
| Jumlah kos | RM1,000 |
| Pelanggan baharu | 10 orang |
| CAC | RM100 seorang |
Jika hanya melihat bayaran kepada platform iklan, kosnya RM60 seorang. Apabila kos berkaitan dimasukkan, CAC menjadi RM100.
Pastikan kiraan sepadan. Jika kos itu untuk satu kempen, gunakan pelanggan baharu yang diperoleh daripada kempen tersebut. Pelanggan lama yang membeli semula direkodkan secara berasingan.
3. Sales Tinggi Belum Tentu Iklan Berbaloi
CAC RM100 mahal atau murah?
Jawapannya bergantung pada baki yang diperoleh daripada pembelian pelanggan.
Contohnya:
| Perkara | Jumlah |
|---|---|
| Nilai jualan | RM250 |
| Kos produk dan kos langsung pesanan | RM150 |
| Baki sebelum CAC | RM100 |
| Kos mendapatkan pelanggan | RM100 |
| Baki selepas CAC | RM0 |
Jualan memang masuk RM250. Tetapi selepas kos langsung dan CAC ditolak, tiada baki untuk menampung kos tetap seperti sewa dan pentadbiran.
Itulah sebabnya kita perlu melihat lebih daripada jumlah sales.
Soalannya bukan sekadar “berapa berjaya dijual?”, tetapi “berapa yang tinggal selepas kos?”
4. Pelanggan Membeli Semula? Semak Rekodnya
Ada perniagaan mendapat baki yang kecil daripada pembelian pertama, tetapi pelanggan kembali membeli.
Contohnya, CAC ialah RM60 dan setiap pembelian menghasilkan baki RM40 selepas kos langsung.
Pada pembelian pertama, baki itu belum menampung CAC. Jika pelanggan membeli kali kedua, jumlah baki menjadi RM80. Selepas ditolak CAC RM60, tinggal RM20 sebelum kos lain yang berkaitan.
Pembelian berulang boleh menjadikan kos mendapatkan pelanggan lebih berbaloi.
Cuma, jangan anggap semua pelanggan akan datang semula. Semak rekod sebenar: siapa yang membeli lagi, berapa kerap dan berapa nilai pembeliannya.
5. Kos Tinggi? Baiki Proses Sebelum Tambah Bajet
Kadangkala masalahnya bukan pada iklan sahaja.
Iklan sudah membawa orang masuk, tetapi pertanyaan lambat dijawab. Maklumat produk kurang jelas. Sebut harga dihantar tanpa tindakan susulan.
Semak perkara ini:
- Sasaran: Adakah iklan sampai kepada orang yang memerlukan produk?
- Mesej: Adakah pelanggan faham tawaran dan manfaatnya?
- Respons: Adakah pertanyaan dijawab dengan cepat dan jelas?
- Susulan: Adakah prospek dihubungi semula selepas menerima sebut harga?
Dengan kos RM1,000, jika hanya 10 pelanggan baharu diperoleh, CAC ialah RM100.
Jika kos yang sama menghasilkan 20 pelanggan baharu, CAC turun kepada RM50.
Membaiki proses jualan boleh membantu mengurangkan kos mendapatkan pelanggan tanpa menambah belanja iklan.
6. Mulakan Dengan Rekod Ringkas
Setiap bulan, catat:
| Perkara | Apa yang perlu direkodkan |
|---|---|
| Kos | Jumlah kos mendapatkan pelanggan |
| Pertanyaan | Berapa orang menghubungi anda |
| Pelanggan baharu | Berapa orang pertama kali membeli |
| Sumber pelanggan | Google, M Niaga, media sosial atau sumber lain |
| Baki jualan | Jualan ditolak kos langsung pesanan |
Soalan mudah seperti “Tuan jumpa bisnes kami melalui mana?” pun boleh membantu.
Untuk tempahan yang mengambil masa lama sebelum disahkan, semak juga bila pertanyaan asal masuk. Iklan bulan ini mungkin menghasilkan pelanggan pada bulan berikutnya.
Rekod tidak perlu rumit. Yang penting, kita ada angka untuk membuat keputusan.
Pengalaman Saya: Kurangkan Kos, Tingkatkan Keberkesanan
Sepanjang saya mengendalikan kursus perniagaan, pemasaran dan content creation, saya sering tekankan bahawa kos pemasaran boleh dikurangkan.
Nak kata langsung tiada kos, tak tepat juga. Masa, tenaga dan pengurusan tetap ada nilainya.
Yang lebih baik ialah apabila kita dapat kurangkan kos, tetapi tingkatkan keberkesanan iklan.
Saya sendiri menggunakan M Niaga untuk memperkenalkan perniagaan sejak 2014. Selepas kira-kira tiga tahun, sekitar 2017, saya sudah sangat jarang membayar iklan di platform online lain. Kebanyakan bulan, boleh dikatakan tiada belanja iklan berbayar.
Namun, saya tetap menanggung kos pengurusan portal serta bayaran tahunan domain dan server. Jadi, yang hampir sifar ialah belanja iklan berbayar bulanan, bukannya keseluruhan kos pemasaran.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, sekitar 95%–98% jualan daripada pelanggan baharu datang melalui M Niaga, dengan carian Google memainkan peranan besar.
Sebab itu saya beri perhatian kepada kandungan yang menjawab apa yang pelanggan cari dan pengukuhan SEO Google. Hasil ini dibina secara berterusan, bukannya terus menjadi selepas satu iklan diterbitkan.
Bagi usahawan yang mahu bermula dengan bajet kecil, M Niaga menyediakan pilihan serendah RM39 untuk 3 iklan. Ada juga pilihan subscribe RM120 untuk tabur iklan secara PERCUMA.
Kalau anda sedang mencari ruang untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan, boleh hubungi M Niaga. Mulakan mengikut kemampuan, rekod hasilnya dan lihat apa yang boleh diperbaiki.
Nak kurangkan kos iklan, bukan sekadar cari tempat yang murah. Cara kita menulis, memilih kata kunci dan menggunakan semula content juga boleh membantu.
Esok saya kongsikan “Cara Meminimumkan Kos Pengiklanan” berdasarkan pengalaman saya sendiri mengurus pemasaran perniagaan melalui M Niaga.
Mulakan dengan Rekod Kewangan yang Lebih Teratur
Apabila sebut harga, invois, rekod pendapatan dan perbelanjaan disimpan secara berasingan, semakan kewangan mudah tertangguh.
M Niaga BizTracker menyediakan kemudahan pengurusan sebut harga, invois, pendapatan, perbelanjaan dan laporan untuk membantu usahawan menyusun rekod kewangan perniagaan.
Terma pembayaran masih perlu dipersetujui dengan pelanggan dan kutipan tetap memerlukan susulan. Rekod yang teratur memberi asas yang lebih baik untuk membuat semakan serta keputusan.
Kenali M Niaga BizTracker — Mudahkan Pengurusan Kewangan Bisnes Anda.
👉 Ketahui lebih lanjut tentang M Niaga BizTracker
Tentang Penulis
Baharim Sukari ialah usahawan, trainer, business coach dan pengasas M Niaga. Beliau merupakan HRD Corp Registered & Accredited Trainer serta ahli National Industry Expert Panel (DPIN), Jabatan Pembangunan Kemahiran. Pendekatan perkongsian beliau berasaskan pengalaman korporat, keusahawanan dan latihan dengan prinsip Short, Simple but Smart.














