25 Ogos 2026 bersamaan 12 Rabiulawal 1448H, umat Islam menyambut Maulidur Rasul, memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Kita berselawat, mengingati sirah dan perjuangan Baginda. Tetapi bagi saya, ada satu perkara yang lebih penting untuk kita fikirkan.
Sejauh mana kita membawa akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan kita?
Bukan hanya dalam ibadah, tetapi juga dalam pekerjaan, kepimpinan dan perniagaan.
Sebagai seorang usahawan, saya melihat banyak nilai daripada kehidupan Rasulullah SAW yang sangat relevan dengan cara kita berniaga hari ini.
Rasulullah SAW Teladan Dalam Perniagaan
Sebelum diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW telah terlibat dalam aktiviti perdagangan.
Baginda dikenali dengan sifat Al-Amin — seorang yang amanah dan boleh dipercayai.
Dalam bisnes, kepercayaan sangat mahal.
Kita boleh ada produk yang bagus, marketing yang hebat dan ribuan followers. Tetapi apabila orang sudah tidak percaya kepada kita, susah untuk perniagaan itu bertahan.
Trust tidak boleh dibeli dengan iklan. Ia dibina melalui cara kita berniaga.
Kalau berjanji, tunaikan.
Kalau pelanggan sudah bayar, berikan apa yang dijanjikan.
Kalau produk ada kekurangan, jangan disembunyikan.
Kalau berhutang, bayar.
Kalau pekerja sudah menjalankan tanggungjawab, tunaikan hak mereka.
Simple. Tetapi perkara seperti inilah yang membina reputasi kita dalam jangka panjang.
Amanah Lebih Mahal Daripada Sales
Semua usahawan mahu sales.
Saya juga berniaga. Tentulah kita mahu jualan dan keuntungan.
Tetapi jangan kerana mahu mendapatkan sales, semua perkara kita sanggup buat.
Produk biasa dikatakan luar biasa.
Janji tiga hari, tiga minggu masih belum siap.
Ada masalah pada produk tetapi kita diam.
Dalam content dan marketing pula, jangan sampai kita membuat claim yang berlebihan semata-mata mahu orang membeli.
Mungkin kita boleh mendapat satu jualan.
Tetapi kita juga mungkin kehilangan kepercayaan seorang pelanggan untuk selama-lamanya.
Sebab itu bagi saya:
Sales penting, tetapi integriti lebih penting.
Rezeki Bukan Sekadar Berapa Banyak Kita Dapat
Apabila bercakap mengenai rezeki, saya teringat satu pesanan arwah ayah.
Antara pesanan terakhir beliau kepada saya:
“Biar sikit, tapi tak menyusahkan orang.”
Al-Fatihah buat arwah ayah.
Ayatnya pendek.
Tetapi semakin lama saya berniaga dan melalui perjalanan kehidupan, semakin saya faham maksudnya.
Rezeki bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita dapat, tetapi juga bagaimana kita mendapatkannya.
Kalau kita untung tetapi orang lain teraniaya, apa maknanya?
Kalau bisnes berkembang tetapi hutang orang tidak dibayar, apa maknanya?
Kalau sales banyak tetapi pelanggan rasa tertipu, kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri apa sebenarnya yang sedang kita kejar.
Bisnes memang perlu untung. Tanpa keuntungan, perniagaan tidak boleh bertahan.
Tetapi dalam mengejar keuntungan, jangan sampai kita menyusahkan orang lain.
Kadang-kadang sedikit itu mencukupi.
Kadang-kadang sederhana itu lebih menenangkan.
Kita bukan sekadar mencari keuntungan. Kita juga mencari keberkatan.
Rasulullah SAW Adalah Contoh Ikutan
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab, Ayat 21:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ٢١
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Rasulullah SAW bukan untuk kita kenang hanya pada bulan Rabiulawal.
Baginda adalah contoh untuk kita ikuti dalam kehidupan.
Termasuk ketika kita mencari rezeki dan menjalankan perniagaan.
Berniaga Bukan Sekadar Mencari Untung
Sempena Maulidur Rasul ini, mungkin kita boleh bertanya kepada diri sendiri.
Adakah pelanggan boleh mempercayai kita?
Adakah kita menunaikan janji?
Adakah kita menjaga hak pekerja dan pembekal?
Adakah kita jujur ketika menjual?
Kita tidak semestinya perlu menjadi usahawan paling besar.
Tetapi kita boleh berusaha menjadi usahawan yang amanah.
Cari sales, tetapi jangan tinggalkan integriti.
Bina bisnes, tetapi jangan menyusahkan orang.
Cari keuntungan, tetapi dalam masa yang sama carilah keberkatan.
Dan saya kembali kepada pesan arwah ayah:
“Biar sikit, tapi tak menyusahkan orang.”
Pendek pesannya.
Tetapi besar maknanya.
Sempena Maulidur Rasul 1448H/2026M, marilah kita berusaha membawa akhlak Rasulullah SAW dalam pekerjaan, kepimpinan dan perniagaan kita.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Salam Maulidur Rasul 1448H.
Tentang Penulis
Baharim Sukari merupakan usahawan, trainer dan business coach yang berpengalaman dalam bidang pengurusan, jualan, keusahawanan, AI, content creation dan digital marketing. Beliau pernah berkhidmat dalam sektor korporat bersama Onkyo Electronic (M) Sdn Bhd dalam bidang Sales, Logistics & Export sebelum menceburi dunia keusahawanan dan latihan.
Pengalaman daripada dunia korporat, coaching serta mengurus perniagaan sendiri banyak membentuk pendekatan beliau terhadap kepentingan sistem, data dan pemantauan prestasi dalam membuat keputusan perniagaan. Beliau juga merupakan pengasas M Niaga, platform majalah perniagaan online, serta membangunkan M Niaga BizTracker bagi membantu usahawan dan PMKS mengurus serta merekod kewangan perniagaan dengan lebih mudah dan tersusun.
Ingin menjalankan program/ kursus khas untuk organisasi anda?
Hubungi kami untuk mendapatkan cadangan program yang disesuaikan mengikut keperluan syarikat, jabatan atau agensi anda. Program boleh dijalankan secara in-house atau public, dan layak HRD Corp Claimable untuk organisasi yang memenuhi syarat.
📞 Hubungi kami : 017-300 7878
📲 WhatsApp sekarang [KLIK DI SINI]
















