Surah Al-‘Asr: Panduan Mengurus Masa, Perniagaan dan Kehidupan
Oleh Baharim Sukari | M Niaga
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”
(Surah Al-‘Asr: 1–3)
Surah Al-‘Asr merupakan antara surah yang paling pendek dalam al-Quran, namun mesejnya sangat besar. Allah SWT mengingatkan bahawa manusia berada dalam kerugian jika gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya.
Sebagai usahawan, saya sering bertanya kepada diri sendiri.
Mengapa ada bisnes yang terus berkembang, manakala ada yang bertahun-tahun masih berada di tempat yang sama?
Jawapannya bukan semata-mata kerana modal yang besar atau produk yang hebat.
Tetapi kerana tabiat.
Nilai yang terkandung dalam Surah Al-‘Asr bukan sekadar untuk dibaca, tetapi boleh diterjemahkan dalam cara kita bekerja, mengurus perniagaan dan memimpin organisasi.
Sepanjang lebih 18 tahun mengendalikan latihan bersama usahawan, syarikat korporat dan agensi kerajaan, saya melihat ada beberapa tabiat yang hampir pasti diamalkan oleh organisasi yang berjaya.
Berikut ialah tujuh tabiat tersebut.
1. Menghargai Masa dan Mengurusnya Dengan Bijak
Allah SWT memulakan Surah Al-‘Asr dengan sumpah “Demi Masa”. Ini menunjukkan betapa berharganya masa dalam kehidupan manusia.
Bagi seorang usahawan, menghargai masa bukan sekadar datang awal ke pejabat atau menepati janji. Lebih penting ialah bagaimana kita mengurus masa. Masa yang sama boleh menghasilkan keputusan yang berbeza bergantung kepada cara kita menggunakannya.
Usahawan yang berjaya tidak membiarkan hari mereka dipenuhi dengan perkara yang tidak penting. Mereka merancang keutamaan, mengurus jadual dengan baik dan memberi tumpuan kepada aktiviti yang benar-benar membawa nilai kepada perniagaan.
Setiap hari kita diberi 24 jam yang sama. Yang membezakan kejayaan bukanlah jumlah masa yang dimiliki, tetapi bagaimana masa itu diuruskan.
2. Sentiasa Menambah Ilmu dan Memperbaiki Diri
Perubahan berlaku terlalu pantas. Cara berniaga hari ini tidak lagi sama seperti lima atau sepuluh tahun yang lalu.
Usahawan yang berjaya sentiasa belajar. Mereka membaca, menghadiri kursus, mendengar pengalaman orang lain dan tidak malu mempelajari teknologi baharu seperti AI.
Apabila kita berhenti belajar, sebenarnya kita sedang membenarkan orang lain memintas kita.
3. Mempunyai Action Plan Yang Jelas
Ramai orang mempunyai idea yang baik, tetapi tidak semua mempunyai Action Plan yang jelas. Sebab itu banyak perancangan hanya tinggal di atas kertas.
Dalam Surah Al-‘Asr, Allah SWT menyebut “beramal soleh” selepas beriman. Ini mengingatkan kita bahawa mengetahui sahaja tidak mencukupi. Ilmu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat.
Dalam dunia perniagaan juga begitu. Setiap mesyuarat, kursus atau sesi perbincangan sepatutnya menghasilkan satu Action Plan. Siapa yang akan melaksanakan? Apa yang perlu dibuat? Bila perlu disiapkan? Bagaimana kejayaannya akan diukur?
Sepanjang mengendalikan latihan, saya sering mengingatkan peserta bahawa kursus yang baik bukan diukur daripada banyaknya nota yang dibawa pulang, tetapi daripada berapa banyak tindakan yang berjaya dilaksanakan selepas tamat kursus.
Tanpa tindakan, ilmu hanya akan menjadi pengetahuan. Tetapi apabila disertai Action Plan yang jelas, ilmu akan berubah menjadi hasil.
4. Membuat Keputusan Berdasarkan Kebenaran dan Data
Dalam perniagaan, keputusan yang baik mestilah dibuat berdasarkan fakta, bukan andaian.
Jualan, aliran tunai, maklum balas pelanggan dan laporan kewangan ialah data yang membantu kita melihat keadaan sebenar perniagaan.
Semakin tepat maklumat yang kita miliki, semakin tepat keputusan yang dapat dibuat.
5. Membina Budaya Saling Mengingatkan
Tiada siapa yang sempurna.
Organisasi yang hebat ialah organisasi yang saling menegur, saling membantu dan saling berkongsi ilmu tanpa rasa ego.
Apabila budaya ini diamalkan, kesilapan dapat dikurangkan dan pasukan akan berkembang bersama.
6. Bersabar Ketika Menghadapi Cabaran
Setiap bisnes pasti melalui fasa turun naik.
Ada pelanggan yang membatalkan tempahan. Ada projek yang gagal. Ada bulan jualan merosot.
Namun kesabaran bukan bermaksud berdiam diri.
Sabar ialah terus berusaha, terus belajar dan terus mencari jalan untuk menjadi lebih baik.
7. Konsisten Melakukan Penambahbaikan
Kejayaan bukan berlaku kerana satu tindakan besar.
Ia berlaku kerana penambahbaikan kecil yang dilakukan setiap hari.
Sistem diperbaiki sedikit demi sedikit. Proses menjadi lebih kemas. Pasukan semakin matang. Pelanggan semakin percaya.
Inilah yang akhirnya membezakan bisnes yang terus berkembang daripada bisnes yang hanya bertahan.
Penutup
Ramai orang berkata, “Nak berjaya itu semudah ABC.”
Tetapi bagi saya, untuk berjaya bukan semudah ABC, sebaliknya sesusah ABC.
Cuba ingat kembali ketika kita mula belajar ABC dahulu.
Adakah ia mudah?
Kita pernah menconteng dinding. Kertas latihan berkali-kali koyak. Pensel patah. Tulisan pula cakar ayam. Huruf A pun kadang-kadang senget, huruf B tidak menjadi, huruf C pula terbalik.
Namun kita tidak berhenti.
Kita terus belajar.
Kita terus berlatih.
Kita terus memperbaiki kesilapan.
Hari ini, kita membaca, menulis dan berkomunikasi tanpa perlu berfikir lagi kerana semuanya telah menjadi satu tabiat.
Begitu juga dalam dunia perniagaan.
Membina sistem pengurusan, memahami kewangan, memimpin pasukan, menggunakan AI atau membuat keputusan berdasarkan data mungkin kelihatan sukar pada permulaannya. Tetapi apabila dipelajari, diamalkan dan diperbaiki secara berterusan, semuanya akan menjadi lebih mudah.
Kejayaan berlaku apabila kita berlatih sehingga perkara yang sukar menjadi mudah.
Sepanjang bulan Ogos ini, M Niaga akan berkongsi pelbagai panduan praktikal berkaitan pengurusan perniagaan. Kita akan membincangkan The BOSS Framework, amalan terbaik (best practices) yang diamalkan oleh organisasi dan usahawan yang berjaya, serta bagaimana pengurusan kewangan yang lebih sistematik melalui MNiaga BizTracker dapat membantu PMKS mengurus quotation, invois, pendapatan, perbelanjaan dan membuat keputusan dengan lebih yakin.
Harapan saya mudah.
Semoga setiap artikel yang diterbitkan sepanjang bulan ini bukan sekadar menambah ilmu, tetapi menjadi panduan yang boleh terus diamalkan dalam perniagaan.
Kerana akhirnya, bisnes yang berjaya bukan dibina dalam sehari.
Ia dibina melalui tabiat yang betul, dilakukan setiap hari, secara konsisten.
Mengenai Penulis
Baharim Sukari ialah usahawan, jurulatih bertauliah HRD Corp dan pengasas M Niaga. Beliau aktif berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan, AI, pemasaran digital dan pengurusan perniagaan. Melalui siri artikel di M Niaga, beliau berkongsi pengalaman sebenar, amalan terbaik dan panduan praktikal bagi membantu PMKS membina perniagaan yang lebih sistematik, berdaya saing dan mampan.


















