Home Education & Training Mudahnya Ajar Anak Membaca Tanpa Mengeja: Akademi Ihaqif Kongsi Formula Generasi Alpha...

Mudahnya Ajar Anak Membaca Tanpa Mengeja: Akademi Ihaqif Kongsi Formula Generasi Alpha di TV AlHijrah

22
0

Anda Ingin mengiklan di TV-Alhijrah? JOM KLIK DI SINI

Mudahnya Ajar Anak Membaca Tanpa Mengeja: Akademi Ihaqif Kongsi Formula Generasi Alpha di TV AlHijrah

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2026 – Isu anak lambat membaca bukan lagi perkara asing dalam kalangan ibu bapa masa kini, khususnya apabila silibus pendidikan semakin mencabar sejak awal persekolahan. Menyedari kebimbangan ini, rancangan Assalamualaikum terbitan TV AlHijrah menampilkan dua panel jemputan khas dari Akademi Ihaqif, iaitu Tuan Mohammad Dini, Pengarah Akademi Ihaqif dan Puan Niza Khalid, Pengasas Akademi Ihaqif, bagi membincangkan pendekatan baharu pengajaran membaca yang lebih sesuai dengan generasi kanak-kanak hari ini.

Teknik Lama Jadi Punca Anak Lambat Membaca

Menurut Tuan Mohammad Dini, salah faham terbesar ibu bapa ialah menganggap anak-anak perlu belajar membaca menggunakan teknik yang sama seperti generasi terdahulu.

“Anak-anak hari ini adalah Generasi Alpha, tetapi masih diajar menggunakan teknik Generasi X dan Y. Di sinilah masalah bermula,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa kegagalan anak membaca bukan berpunca daripada keupayaan anak, sebaliknya disebabkan teknik lama yang tidak lagi relevan. Akademi Ihaqif, katanya, telah membangunkan formula khas yang sejajar dengan cara pembelajaran Generasi Alpha dan berjaya melahirkan lebih 10,000 pelajar pandai membaca di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kenal Suku Kata, Bukan Huruf

Mengulas lanjut, Puan Niza Khalid menjelaskan bahawa walaupun kaedah lama seperti mengenal huruf dan mengeja masih berkesan, namun ia mengambil masa yang lebih panjang.

“Macam masak nasi guna dapur kayu api dan rice cooker. Dua-dua boleh masak nasi, tapi bezanya cepat dan lambat,” katanya.

Pendekatan Akademi Ihaqif adalah mengajar anak-anak mengenal suku kata terlebih dahulu, tanpa mengeja dan tanpa perlu mengenal huruf pada peringkat awal. Hasilnya, ramai pelajar mampu membaca dalam tempoh kurang daripada 15 hari, walaupun belum mengenal huruf sepenuhnya.

Mengeja Tidak Sama Dengan Membaca

Tuan Mohammad Dini turut menekankan bahawa mengeja dan membaca adalah dua proses yang berbeza.

“Ramai anak pandai mengeja, tapi tidak boleh membaca. Ada pula yang hanya boleh membaca jika mengeja terlebih dahulu,” katanya.

Menurut beliau, kebergantungan kepada ejaan sebenarnya membebankan kanak-kanak dan menjejaskan kelancaran bacaan. Justeru, guru-guru Akademi Ihaqif dilatih untuk membimbing anak-anak menyebut suku kata secara langsung dan memutuskan kebergantungan kepada ejaan secara berperingkat.

Bukan Hafal, Tapi Mengenal

Menjawab persoalan sama ada kaedah suku kata melibatkan hafalan, Puan Niza menegaskan bahawa pendekatan mereka adalah mengenal, bukan menghafal.

“Kalau hafal, anak mudah lupa. Tapi bila kenal, anak akan ingat sampai bila-bila,” jelasnya.

Beliau menambah, kaedah ini diasaskan kepada empat kemahiran utama iaitu tengok, dengar, sebut dan cari, sama seperti proses kanak-kanak mengenal objek atau haiwan di sekeliling mereka.

Usia Sesuai Belajar Membaca

Menurut Tuan Mohammad Dini, usia terbaik untuk mula mengajar anak membaca adalah seawal 4 tahun, bukannya terlalu awal.

“Mula awal bukan penentu, cara yang betul lebih penting,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa membaca termasuk dalam kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) yang sepatutnya difokuskan pada usia 4 hingga 6 tahun. Justeru, Akademi Ihaqif menetapkan syarat kemasukan kelas membaca online mereka kepada kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas dan tidak mengalami masalah pelat.

Belajar Tanpa Anak Sedar Sedang Belajar

Mengulas isu anak sukar fokus, Puan Niza berpendapat bahawa masalah sebenar bukan pada anak, tetapi cara pengajaran.

“Anak-anak suka perkara yang menyeronokkan. Kita kena ajar membaca tanpa anak sedar mereka sedang belajar,” katanya.

Pendekatan berasaskan interaksi, imaginasi serta penggunaan gambar dan video yang menarik didapati mampu meningkatkan fokus dan minat anak-anak untuk belajar membaca.

Jemputan Khas Kepada Ibu Bapa

Sebagai langkah awal membantu lebih ramai ibu bapa, Puan Niza menjemput ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4 tahun ke atas untuk menyertai sesi Live TikTok Niza Khalid setiap hari pada jam 11.00 pagi dan 5.00 petang.

Akademi Ihaqif, selaku peneraju pendidikan awal kanak-kanak dengan rekod 15 hari pandai baca, komited membantu ibu bapa membimbing anak-anak membaca dengan cara yang betul, mudah dan berkesan.

Anda Ingin mengiklan di TV-Alhijrah? JOM KLIK DI SINI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.