Serdang, 1 Jun 2025 – Sebanyak 148 usahawan tempatan dari seluruh negara telah diberi peluang mempamerkan pelbagai produk dan teknologi agromakanan dalam pameran jualan sempena ShowTech MARDI 2025 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Program mega yang bermula dari 29 Mei hingga 2 Jun 2025 ini telah dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Ianya bukan sahaja menjadi medan utama untuk mempamerkan lebih 200 teknologi hasil penyelidikan selama 56 tahun, malah turut menonjolkan kepelbagaian inovasi usahawan dalam sektor agromakanan dan teknologi tempatan.

ShowTech MARDI merupakan pameran bertaraf nasional yang menghimpunkan pelbagai hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi terkini dalam bidang agromakanan. Ia berfungsi sebagai platform utama untuk pemindahan teknologi, perkongsian ilmu, serta pemerkasaan jaringan industri antara MARDI, sektor swasta, akademia dan masyarakat.
Bertemakan “Inovasi Agromakanan untuk Masa Depan Negara”, edisi 2025 memberi fokus kepada cabaran keselamatan makanan, teknologi pertanian pintar (smart farming), pengkomersialan R&D, serta pendigitalan sektor tani selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

Menurut pihak penganjur, penglibatan usahawan ini merupakan antara inisiatif untuk memperkasa keusahawanan tani dan merakyatkan teknologi pertanian, seiring dengan aspirasi negara dalam memperkukuh jaminan makanan dan memperluas peluang ekonomi.

“Pameran ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi juga platform strategik untuk mempertemukan usahawan dengan pembeli korporat, pelabur dan agensi sokongan, di samping memberi pendedahan terus kepada masyarakat terhadap potensi besar sektor agromakanan,” jelas wakil urusetia ShowTech MARDI.

Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan berasaskan hasil ladang, produk herba dan kesihatan, mesin pemprosesan makanan, teknologi pertanian pintar, baja organik, produk berasaskan ternakan, dan pelbagai inovasi teknologi hijau.

M Niaga TV turut berpeluang menemubual beberapa usahawan yang menyertai program ini, yang rata-rata menyifatkan penyertaan mereka sebagai satu peluang emas untuk memperluaskan jaringan dan mempromosikan jenama masing-masing.
“Ramai yang tak tahu produk agro tempatan kita ni sudah berada di tahap eksport. Alhamdulillah, kami dapat banyak respon positif, malah ada yang berminat jadi ejen dan pengedar,” kata salah seorang usahawan muda dari Selangor.
Pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk petani, pelajar, pelabur dan NGO turut membanjiri ruang pameran, menjadikan suasana meriah dan interaktif sepanjang program berlangsung.
Sebagai badan penyelidikan utama dalam sektor pertanian, MARDI komited untuk terus memperluaskan hasil R&D ke pasaran terbuka melalui inisiatif seumpama ShowTech. Penganjuran ini dijangka menjadi titik tolak kepada gelombang baru dalam komersialisasi teknologi dan inovasi agromakanan negara, dengan sokongan penuh dari sektor kerajaan, swasta dan komuniti usahawan tempatan.
Oleh Baharim Sukari | baha@m-niaga.com.my