Home Inspirasi Niaga Keberanian dalam Keterpaksaan Anak Muda Tekad Mulakan Bisnes Sendiri

Keberanian dalam Keterpaksaan Anak Muda Tekad Mulakan Bisnes Sendiri

186
0

Oleh: Fatihah Halim – UPM

Kemaman: Sejak pendemik Covid-19 melanda negara ini pada awal tahun lalu telah menyebabkan ramai orang kehilangan sumber pendapatan. Begitulah juga yang telah berlaku pada seorang usahawan perkhidmatan servis penghawa dingin, Encik Muhammad Abd Karimullah bin Che Abd Halim. Beliau yang baru sahaja berusia 25 tahun juga telah diberhentikan kerja dan telah kehilangan sumber pendapatan pada awal tahun lalu.

Namun begitu, “selepas hujan pasti ada pelangi”. Selepas kehilangan pekerjaan, beliau sangat buntu dan cuba untuk mendapatkan pekerjaan lain. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak berapa memberangsangkan pada waktu itu, menyebabkan kesukaran untuk beliau mendapat peluang pekerjaan. Ini telah membuatkan beliau nekad dan memberanikan diri untuk memulakan perniagaan sendiri. Berbekalkan pengalamannya yang pernah bekerja dalam bidang ini, beliau telah mengaplikasikan segala ilmu tersebut untuk memulakan dan menjalankan perniagaan ini.

“Pada awalnya memang agak gentar untuk memulakan. Namun, kita akan jumpa keberanian dalam keterpaksaan. Alhamdulillah dalam musibah yang menimpa saya, rupanya Allah telah sediakan jalan yang lebih baik untuk saya”

Beliau yang juga merupakan lepasan kolej vokasional telah memulakan perniagaannya dengan bermodalkan sebanyak RM10,000 untuk membeli segala peralatan dan keperluan. Kini, beliau telah mempunyai dua orang pekerja dan sepanjang tempoh perniagaan, beliau telah berjaya memasang penghawa dingin lebih daripada tiga ribu unit. Beliau telah memilih nama Mat Ali Aircond untuk syarikat beliau sempena nama panggilan gelaran dari sahabatnya. Syarikat Mat Ali Aircond menawarkan perkhidmatan memasang, membaiki dan juga membekalkan penghawa dingin. Disamping itu, syarikat tersebut juga ada menawarkan perkhidmatan pendawaian baharu.

Namun begitu, beliau juga telah menghadapi pelbagai cabaran sepanjang menjalankan perniagaan. Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah keadaan sekarang yang tidak menentu terutamanya apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan dinegara ini. Hal ini telah menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan kerana kerja ini memerlukan beliau bergerak dari rumah ke rumah. Tambahan lagi apabila tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri maka pelanggan yang diperolehi amat terhad.

Misi syarikat beliau adalah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan diyakini, agar pelanggan berpuas hati dan kekal setia menggunakan perkhidmatan mereka. Impian beliau adalah untuk menjadikan syarikat Mat Ali Aircond lebih dikenali di seluruh Malaysia bahkan beliau juga berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini pada masa akan datang.

Antara pesanan beliau adalah sentiasa konsisten dengan apa yang dilakukan dan yakin pada diri sendiri dalam setiap pekerjaan, kerana menurut beliau disitulah lahirnya kejayaan. Beliau juga menasihatkan supaya sesiapa sahaja yang ingin memulakan apa jua perniagaan haruslah menjadi seorang yang tidak mudah berputus asa kerana sememangnya dunia perniagaan ini terlalu banyak cabaran dan jatuh bangun merupakan adat biasa. Beliau juga memegang kata-kata hikmah, sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.