Home Agriculture BERMULA DARI PROJEK PENANAMAN CENDAWAN DI BELAKANG RUMAH, WANITA INI BERJAYA MENGHASILKAN...

BERMULA DARI PROJEK PENANAMAN CENDAWAN DI BELAKANG RUMAH, WANITA INI BERJAYA MENGHASILKAN 150KG CENDAWAN SEHARI!

80
0
Rusila Yusof menunjukkan cendawan hasil daripada ladangnya

Oleh: Anis Syazwani Rosli – UPM

Rusila Yusof, 40, merupakan seorang usahawan yang menjalankan perusahaan penanaman cendawan. Beliau berjaya mengembangkan perusahaannya sehingga mampu menembusi beberapa pasaran di Malaysia. Perniagaan yang diusahakan oleh beliau dikenali sebagai Fatisha Agro Farm Sdn. Bhd yang juga merupakan ladang cendawan yang terbesar di Pantai Timur. Operasi perusahaannya dijalankan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu. Perusahaan ini menyasarkan cendawan tiram kelabu dan kukur (kulat sisir) sebanyak 500 kg sehari setiap bulan.

Titik permulaan beliau menggiatkan diri dalam perusahaan cendawan adalah bermula dari projek penanaman cendawan di belakang rumah. Beliau hampir berputus asa untuk meneruskan projek tersebut kerana cendawan yang ditanam kebanyakannya musnah dan rosak. Hal ini terjadi kerana pada masa itu beliau tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran yang mendalam dalam penanaman cendawan. Kesannya, beliau telah mengalami kerugian yang besar sehingga peristiwa tersebut hampir memusnahkan harapan untuk meneruskan projek tersebut. Namun begitu, beliau bernasib baik kerana tidak berputus asa dan menyahut cabaran serta sanggup menerima risiko yang bakal dihadapinya. Hasil dari itu, perniagaan beliau pada masa ini semakin hari semakin berkembang dengan meliputi ladang, kilang pemprosesan produk berasaskan cendawan dan juga kedai makan yang dikenali sebagai Fatisha Mushroom Kopitiam.

Perubahan itu bermula apabila beliau berpindah ke Kampung Pengkalan Pandan Luar di Kemaman, Terengganu di mana kawasan tersebut mempunyai tanah yang lebih luas yang membolehkan beliau mengembangkan projek tanaman cendawan. Titik perubahan dalam perniagaannya berlaku apabila beliau memenangi geran berjumlah RM500,000 dalam pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar yang dianjurkan oleh Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kejayaannya itu menjadi asbab untuk beliau mengambil keputusan berpindah ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu bagi memperluaskan lagi perusahaannya.

Kini, beliau telah berjaya membesarkan projek penanaman cendawan daripada 1,000 bongkah hingga mencecah 180,000 bongkah dengan pengeluaran harian kira-kira 150 kg sehari. Beliau mempunyai 11 orang pekerja untuk memproses cendawan yang ditanam di 12 buah rumah cendawan. Permintaan terhadap cendawan sangat tinggi dan masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran. Pada masa ini, produk beliau hanya mampu dipasarkan ke Kuala Terengganu dan Kemaman sahaja.

Cendawan yang ditanam di dalam rumah khas
Cendawan tiram kelabu
Kulat sisir

Fatisha Agro Farm Sdn Bhd bukan sahaja mengusahakan tanaman cendawan,  ia juga mempunyai kilang pemprosesan produk makanan yang berasaskan cendawan seperti sos cendawan lada hitam, sos cili cendawan, tepung goreng berempah serbaguna dan sebagainya. Fatisha juga membekalkan peralatan perladangan cendawan seperti mesin pembungkusan cendawan dan sebagainya. Perkembangan operasi perniagaan ini telah memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitarnya iaitu dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dapat memberi bantuan dan sumbangan kepada masyarakat. Kejayaan beliau telah membuahkan hasil, apabila ramai orang mengiktiraf kepakaran dan pengalaman beliau yang mendalam dalam semua jenis cendawan. Selain itu, beliau juga mampu membuka kedai makan yang dikenali sebagai Fatisha Mushroom Kopitiam. Fatisha Mushroom Kopitiam menyediakan pelbagai jenis masakan terutamanya masakan yang berasaskan cendawan, masakan panas, dan sebagainya.

Fatisha Mushroom Kopitiam

Kini, Fatisha Agro Farm Sdn. Bhd terus berkembang dengan tanaman cendawan tiram kelabu dan cendawan kukur atau juga lebih dikenali sebagai kulat sisir. Fatisha juga membekalkan bongkah cendawan yang telah matang, dan menyediakan kursus tanaman cendawan kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari lebih mendalam berkaitan dengan kaedah penanaman cendawan.

Antara produk makanan berasaskan cendawan yang dihasilkan oleh Fatisha Agro Farm Sdn. Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.