Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Rajin Menuju Mercu – Siri 43 ‘rimaslah pabila malas…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Rajin Menuju Mercu – Siri 43 ‘rimaslah pabila malas…’

247
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai seorang yang terlibat dalam industri latihan, peserta saya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari para pelajar, pekerja am, pengurusan pertengahan dan tinggi, guru, pensyarah, kakitangan kerajaan dan penjawat awam sehinggalah kepada ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan para hakim. Setiap dari mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri dari aspek perspektif, ilmu dan kemahiran yang mereka miliki. Dalam melaksanakan program-program ini, saya juga harus bekerjasama dengan rakan-rakan strategik yang mempunyai bidang kepakaran masing-masing. Apa yang menarik tentang rakan-rakan strategik saya ini antaranya adalah kerajinan mereka dalam melaksanakan tugas mereka khususnya dalam mencari pelanggan dan membangunkan program-program di syarikat mereka masing-masing. Mereka ini adalah antara insan-insan cemerlang yang punya dayasaing yang tinggi menuju mercu tanda masing-masing.

Coach Baharim Sukari, Pengarah Urusan SC Creative Solutions Sdn Bhd dan pemilik portal M-Niaga ini yang sememangnya tidak asing lagi merupakan seorang usahawan ‘self-made’ yang terlibat dalam perusahaan pakaian, dealership & dropship, membekalkan baja organik dan juga merupakan Coach yang diiktiraf untuk program-program pemasaran yang anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

En Fakhruddin Mohd Ariff, Ketua Pengarah Eksekutif kumpulan FA Wordwide (M) PLT merupakan seorang usahawan yang sangat gigih dalam setiap inisiatif yang beliau terjuni. Selain bidang latihan, beliau juga terlibat dalam projek pembangunan apartmen, mempunyai beberapa cawangan pra-sekolah, mempunyai jenama kosmetik sendiri (Blash Cosmetics) dan baru sahaja menceburkan diri dalam perniagaan makanan iaitu Kokkok Chicken.

Tuan Ir Ahmad Jais AsSyazili, Ketua Pengarah Eksekutif Cerna Minda Institute pula adalah individu yang secara umumnya banyak terlibat dengan program-program Pendidikan yang menawarkan pelbagai program seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan pelbagai genre latihan yang memenuhi kehendak indusri. Selain itu beliau juga merupakan seorang Energy Auditor dan menjawat jawatan sebagai Professor Madya di University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY), Cyberjaya.

Kesemua mereka di atas merupakan rakan-rakan strategik yang sangat bersemangat dalam tugas mereka masing-masing dan merupakan individu-individu yang saya kategorikan sebagai sangat rajin dalam setiap usaha yang mereka lakukan. Tentulah bukan rajin sahaja yang menentukan kejayaan seseorang itu. Banyak faktor-faktor lain seperti perancangan, disiplin diri, sikap, ilmu, kemahiran dan nilai-nilai lain yang perlu untuk mencapai hasrat yang dihajati namun rajin merupakan antara kualiti unggul yang terserlah pada diri mereka.

Adalah penting diutarakan tentang kerajinan ini kerana ianya adalah sesuatu yang dibuat tanpa paksaan tapi keikhlasan hati sendiri. Jarang sekali kita dapati bahawa orang yang rajin itu merasa terpaksa untuk berbuat sesuatu. Apabila ianya datang dari hati yang suci dan jiwa yang murni, tidak akan ada rasa keterpaksaan dalam melaksanakan apa perkara sekali pun. Kesemua individu di atas sentiasa rajin dalam berbuat sesuatu walaupun dalam keadaan yang sering menyekat tatkala ini.

Coach Baharim sendiri merupakan pakar DIY, bertukang dan sering bertani sewaktu PKP. Beliau selalu berkongsi idea-idea baru samada dalam FB live ataupun Youtube tentang cara-cara atau kaedah yang menjimatkan wang untuk bercucuktanam atau mencantikkan halaman rumah. Di awal peringkat memperkenalkan portal M-Niaga, Coach Baharim juga sanggup bersengkang mata untuk memasukkan iklan-iklan sesiapa sahaja secara percuma ke dalam portalnya. En Fakhruddin pula merupakan seorang pakar pemasaran yang rajin dan berani meredah ke mana sahaja untuk memperkenalkan syarikat beliau. Di samping itu beliau juga rajin mencuba perkara-perkara dan peluang-peluang baru yang dilihat dapat membangun dan mengembangluaskan syarikatnya. Sementara Ir Ahmad Jais pula rajin dalam berkongsi ilmu dan pengalaman beliau yang luas melalui pelbagai dimensi kehidupan beliau untuk memberi manfaat kepada orang lain. Beliau merupakan seorang yang sentiasa peka dan kemaskini dengan perjalanan syarikat dan sering tidur di pejabat untuk menyelesaikan tugas-tugasnya sekiranya perlu.

Banyak yang dapat kita pelajari dari insan-insan cemerlang ini yang tidak pernah merasa jemu, lelah apa lagi malas dalam menuju mercu kejayaan mereka masing-masing. Mereka sanggup turun padang, berpanas, berhujan dan melakukan kerja-kerja yang dianggap kotor atau 3D (Difficult, Dangerous, Dirty). Mereka juga faham dan tahu bahawa untuk berjaya, mereka juga harus membantu orang lain untuk turut mencapai kejayaan. Barulah nikmat kepuasan dan kemanisan itu dapat benar-benar dirasakan.

Tidak semua orang secara semulajadi mempunyai sifat rajin kerana ianya adalah sesuatu yang perlu dididik dari hati. Apabila sifat ini telah meresap dan sebati dengan diri, malas menjadi dosa pada mereka. Inilah sesuatu yang perlu dipelajari dari mereka. Sebagai insan kerdil, kita harus merasa malu apabila sahaja kita merasa malas tak kira dalam hal apa sekalipun terutamanya apabila diseru untuk beribadah sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Ayoh, kita sama-sama merajinkan diri menuju mercu kecemerlangan…

Sebagai rangkuman: –

  1. Kerajinan adalah salah satu aspek cemerlang yang penting hadir dalam setiap individu dalam menuju kecemerlangan.
  2. Insan yang rajin adalah mereka yang ikhlas dalam melaksanakan tugasan dengan semangat yang jitu dan merasa bahagia apabila dapat memberi manfaat kepada orang lain.
  3. Setiap orang harus malu pada diri sendiri apabila merasa malas dalam apa keadaan sekalipun.

 

Bila malas datang melibas

Sesak nafas terasa lemas

Jadikan rajin kualiti diri

In shaa Allah, segala usaha akan diberkati

 

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

 

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.