Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masak Nasi Dulu! – Siri 34 ‘mengutamakan yang utama…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Masak Nasi Dulu! – Siri 34 ‘mengutamakan yang utama…’

304
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Masak nasi tu dulu! Paling tidakpun kalau takda lauk, boleh makan dengan kicap atau sambal belacan dulu.” Inilah pesan Mak, Bonda Hjh Bastiah Ismail ketika saya sering membantu beliau di dapur ketika saya masih kecil. Memandangkan kami empat beradik semuanya lelaki ketika itu sebelum dianugerahkan dua adinda perempuan selepas saya, tugas-tugas kerja rumah merupakan rutin harian yang biasa bagi kami. Falsafah mudah dan logik Bonda sangat mengesankan sehingga ke hari ini apabila saya hendak membuat sesuatu perkara kerana ianya merupakan prinsip asas yang akan memudahkan kerja seandainya kita faham apa yang sepatutnya kita kerjakan terlebih dahulu.

First things first atau yang dahulu didahulukan merupakan sesuatu yang sepatutnya semua orang faham tetapi hakikatnya selalunya adalah sebaliknya. Kebanyakan kita dan saya sendiri selalu melakukan kesalahan ini walaupun berusaha sedaya upaya untuk memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting namun sering ‘tergoda’ dengan perkara-perkara remeh yang selalu menjadikan kerja-kerja tergendala tanpa kita sedari. Contohnya kadangkala apa bila kita hendak melakukan suatu tugas tetapi ketika itu kita melihat ada mesej (yang selalunya beratus-ratus jumlahnya) masuk, kita ‘tergoda’ untuk membaca mesej-mesej tersebut dan membalas atau memberi komentar-komentar yang tiada manfaatnya pun namun tetap melayaninya. Tanpa kita sedari kita telahpun mensia-siakan ½ jam atau mungkin kadangkala sehingga 1 jam atau lebih membuat kerja-kerja yang tak berfaedah ini. Ini bukan bermaksud ianya salah cuma perkara seperti ini tidak sepatutnya dibuat pada masa-masa prima.

Insan cemerlang adalah mereka yang peka dan tahu untuk mendahulukan yang dahulu yakni memberi keutamaan dalam kerja-kerja yang mereka wajibkan atas diri dan organisasi yang mereka wakili contohnya apabila bangun pagi, mereka akan membaca doa bangun tidur, mengucap dua kalimah syahadah, berselawat atas Nabi Muhammad SAW dan barulah masuk ke bilik air dan melaksanakan apa sahaja yang perlu. Mereka tahu bahawa segala perkara yang ingin dilakukan haruslah dengan izin Allah SWT. Walaupun ramai orang-orang yang di luar sana mungkin tidak melakukan rutin sebegini namun tetap ‘berjaya’, biarlah mereka dengan cara mereka.

Mempunyai ‘Allah-minded Attitude’ atau sikap berpaksikan Allah harus mendarah daging pada umat Islam dan insan cemerlang yang beriman kepada Allah tahu inilah sahaja cara yang akan menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Mereka akan sentiasa meletakkan kepentingan agama mendahului keperluan mereka dalam segala yang mereka lakukan. Contohnya dalam apa keadaan sekalipun apabila atau sebelum masuk waktu mereka telahpun bersiap-siap untuk menghadap Allah Yang Maha Esa kerana mereka sedar bahawa segala rezeki yang mereka perolehi dan nikmati itu datangnya dari Allah SWT. Maka dengan kesedaran itu, mereka tidak takut dan tidak peduli andai sesuatu perkara itu tidak dapat dilaksanakan serta merta atau pada ketika itu demi mengEsakan Allah SWT.

Namun tentulah insan cemerlang seperti ini adalah mereka yang punya ilmu yang cukup dan disiplin yang tinggi untuk tahu bagaimana mengatur masa mereka. Sekiranya mereka adalah golongan doktor dan sedang melakukan pembedahan, mereka akan meneruskan kerja mereka sehingga selesai kerena ianya mungkin melibatkan nyawa atau hidup dan mati seseorang. Di sinilah hukum ‘rukhsah’ berlaku yakni kemudahan dan keringanan yang Allah SWT berikan kepada umatNya untuk perkara-perkara atau masa-masa tertentu contohnya tidak perlunya berpuasa pada bulan Ramadan sekiranya sakit, dalam perjalanan, tidak mampu atau sebab-sebab lain yang menetapi kehendak syarak.

Mengutamakan yang utama dalam apa pekerjaan sekalipun adalah dengan membuat rancangan yang baik agar kita tidak membazir atau mensia-siakan waktu secara membuta tuli. Sebagaimana memasak nasi dahulu, kita harus faham bidang tugas kita masing-masing agar kita tidak akan melaksanakan tugas yang tidak sewajarnya terlebih dahulu yang akan menyebabkan kita terlambat atau kehilangan peluang tertentu bukan disebabkan kerana kesalahan orang lain tetapi diri sendiri yang tidak pandai mengatur pelan pekerjaaan kita sendiri. Pastikan kita buat senarai tugasan harian (Things To DO Today), menentukan YANG PALING MUSTAHAK, PENTING atau RUTIN  mengikut susunatur dan sentiasa merujuk kepada senarai tersebut untuk memastikan tiada yang tertinggal. Senarai semak ini akan sangat membantu kita untuk mencapai Indeks Pencapaian Prestasi harian, mingguan atau bulanan kita.

Begitu jugalah dalam menentukan keutamaan apabila bertemu dengan ahli keluarga kita. Contohnya apabila pulang dari bermusafir, acapkali kadangkala ibubapa sering diketepikan dengan mendahulukan isteri dan anak-anak sedangkan kita semua tahu syurga di bawah tapak kaki ibu. Ini kadangkala dipandang ringan oleh sebahagian dari kita terutamanya anak lelaki. Manakala bagi si isteri pula, suamilah yang harus diutamakan berbanding anak-anak dan ibubapa tanpa bermaksud mereka ini tidak diberi perhatian. Ia adalah untuk kita memahami perkara atau orang yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Banyak lagi keutamaan-keutamaan yang tidak diberi keutamaan yang sewajarnya yang menyebabkan timbul pelbagai masalah dari segi komunikasi, pembahagian sumber, pemilihan pekerja dan jawatan, protokol dan lain-lain lagi aspek kerja dalam kehidupan yang merumitkan andai tidak diberi perhatian. Insan cemerlang adalah mereka yang peka dalam memastikan setiap yang wajib diutamakan perlu diutamakan terutamaya dalam rangka beribadah kepada Allah SWT…

Sebagai rangkuman: –

  1. Faham dan tahu apakah perkara-perkara atau tugasan yang perlu diberi keutamaan untuk mencapai tahap kecekapan dan prestasi terbaik.
  2. Sentiasa mempunyai sikap berpaksikan Allah yakni Allah SWT lah yang menjadi pusat segala aktiviti berkisar agar tidak tergoda dengan mainan dunia yang lara.
  3. Memastikan agar ada senarai tugas harian dan menentupastikan tugas mana yang wajib diberi keutamaan sebelum tugas-tugas yang lain dilaksanakan.

Banyak kerja selirat kepala

Nak buat satu atau semua?

Fahami tugas semuanya perlu

Apa hal pun, ‘masaklah nasi terlebih dahulu’

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.