Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tabiat Sebagai Sahabat – Siri 23

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tabiat Sebagai Sahabat – Siri 23

342
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tabiat Sebagai Sahabat – Siri 23 

‘yang buruk diceruk, yang baik ditabik…’

Engkau kenal akan daku

Akulah sahabat setiamu

Akulah pembantu yang paling penting

Namun aku mungkin juga beban yang paling berat

Aku akan membantumu ke arah kejayaan atau

Akulah juga yang akan menghumbankanmu ke jurang kegagalan

Semua tugas yang kau berikan kepada ku

Akan ku lakukan secepat mungkin atau aku akan lengahkan

Aku mampu melakukannya sama setiap kali sebagaimana yang kau mahukan

Atau aku akan berbuat kesilapan yang sama juga berulangkali

Aku mudah diselenggara sekiranya engkau bersikap tegas dengan ku

Atau aku akan bermaharajalela andai engkau lalai terhadapku

Tunjukkan kepada ku apa yang hendak dilakukan,

Selepas beberapa pelajaran, aku akan melakukannya secara spontan

Aku adalah hamba semua manusia yang agung

Namun andai tersilap langkah akan menjadi tuan kepada mereka yang bingung

Aku telah membuatkan ramai individu menjadi unggul dan

Aku juga yang telah menjadikan yang lain duka nestapa

Kerana aku juga ibarat masa

Berjalan terus tanpa menunggu sesiapa

Aku mampu bekerja dengan ketepatan sebuah komputer yang hebat

dan kebijaksanaan seorang cendekiawan

Engkau boleh menggunakan aku untuk keuntungan

Tapi mungkin aku akan memanipulasimu hingga tak habis menanggung kerugian

Dampingilah aku, namun andai kau berlemah lembut denganku

Pasti aku akan memusnahkanmu, aku tak peduli

Tapi jika kau bertegas dengan ku, aku akan meletakkan dunia ini di kaki mu

Siapakah aku?

Akulah sahabat karib atau aku mungkin musuh ketatmu

Akulah tabiatmu!

Tabiat adalah sesuatu yang mudah untuk kita praktikkan tetapi susah untuk kita buang apabila ianya telah mendarah daging. Ianya harus kita awasi, dipantau dan dikawalselia setiap masa. Jadi kita harus berhati-hati dengan apa yang kita jadikan sebagai tabiat, contohnya menghisap rokok, suka bangun lambat, suka bertangguh, mungkir janji, cepat melenting, mudah mengalah dan segala bentuk sifat yang buruk merupakan tabiat yang sudah menjadi ketagihan yang payah dibuang apabila sudah menebal dalam diri.

Untuk menjadi insan yang cemerlang, pilihlah tabiat yang baik contohnya tabiat suka membaca, berfikir, bertindak tanpa diperintah, sentiasa berfikir bagaimana untuk membantu orang lain, menepati janji, bayar hutang apabila berhutang dan pelbagai lagi sifat baik yang wajar ‘ditabiatkan’ agar ianya sebati dengan diri kita dan akan menjadi tindakbalas spontan ibarat air yang mengalir tenang tanpa perlu dipaksa-paksa.

Ramai yang mungkin sudah pernah mendengar atau menghadiri seminar ‘7 Habits of Highly Successful People’ (7 Tabiat Orang Yang Sangat Berjaya) oleh Steven R Covey yang menggariskan 7 langkah mudah untuk berjaya. Ianya bukanlah satu formula atau resepi Sains Roket tapi merupakan apa yang kita sudahpun mengetahuinya namun hanya perlu diasah. Kenapa kita harus musnahkan diri kita dengan tabiat yang tidak mendatangkan faedah sebaliknya gunakanlah ia sebagai kenderaan atau alat yang akan membawa kita ke mercu kecemerlangan. Dari hal-hal peribadi yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang melibatkan perkara-perkara professional dalam kerjaya dan perniagaan, insan yang cemerlang akan sentiasa mendidik dirinya dengan tabiat-tabiat positif yang akan memudahkan segala urusan dalam memacunya ke arah mencapai hasrat dan matlamat hidupnya. Ayuh kita humbankan tabiat buruk ke jurang tanpa dasar dan julang tabiat baik sehingga ke langit. Masa untuk berubah telah tiba…

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan dengan tabiat untuk mendapat manfaat:

  1. Tabiat merupakan lumrah dalam kehidupan yang perlu disedari, diperhatikan dan ditata agar ia menjadi sahabat baik .
  2. Tabiat buruk yang tidak dikawal akan menjadi tuan yang kejam dan akan menghumbankan kita ke lembah kehinaan dan kegagalan namun tabiat yang baik akan menjadi hamba kita yang setia untuk membawa kita ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan.
  3. Asahlah tabiat yang baik agar ianya menjadi senjata ampuh yang boleh kita gunakan pada bila-bila masa secara spontan.

Akhir kata: –

Tabiat itu ibarat racun yang paling berbisa

Namun ia juga boleh menjadi penawar yang paling manis rasanya

Manfaatkan ia dengan sebaiknya

Nescaya menjadi kunci sejahtera

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

tiada yang mutlak…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.