Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Suri Tauladan Terbaik – Siri 18

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Suri Tauladan Terbaik – Siri 18

462
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – MENELUSURI KECEMERLANGAN: Suri Tauladan Terbaik – Siri 18
idola sepanjang zaman…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai seorang muslim, tiada yang lebih berharga daripada dilahirkan (atau untuk yang tidak dilahirkan sebagai muslim, diberi hidayah) dengan nikmat Islam dan Junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai suri tauladan yang boleh dijadikan ikutan bukan sahaja untuk umat Islam namun untuk seluruh umat manusia. Tidak ada sesiapa yang mampu untuk meletakkan satu tanda harga sebesar mana sekalipun atas nikmat Baginda sebagai Rasul yang telah diutus untuk menjadi contoh terbaik sekaligus menyempurnakan akhlak manusia sebagaimana hadis yang dirakamkan:

”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia,” dan ”Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”

Apakah ertinya tanda aras kecemerlangan andainya ia tidak berdasarkan kepada manusia paling terbaik dan paling sempurna di muka bumi ini iaitu Baginda Rasullulah SAW? Setiap insan yang cemerlang khususnya orang Islam sewajarnya tahu (atau mencari tahu), faham dan dapat menghayati bahawa Baginda Rasullulah SAW adalah orang terhebat dalam semua bidang samada sebagai seorang anak, suami, ayah, rakan, mentor, diplomat, tokoh korporat, jenderal, perancang strategik, pemimpin negara dan pelbagai lagi peranan yang tersurat mahupun tersirat yang pernah Baginda contohkan kepada kita.

Dalam buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’, Baginda diproklamasikan sebagai manusia paling berpengaruh di dunia sepanjang zaman oleh seorang penulis bukan Islam iaitu Michael H Hart di mana beliau menyatakan:

“My choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular level.”

(Pilihan saya bahawa Muhammad SAW sebagai pendahulu senarai manusia paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sesebahagian pembaca dan mungkin dipersoalkan oleh yang lain, namun (Baginda) adalah satu-satunya manusia dalam lakaran sejarah yang paling berjaya (secara mutlak) dalam kedua-dua tahap yakni agama dan sekular (yang tidak berkaitan agama).

Apabila orang bukan Islam sendiri yang mengiktiraf Baginda Rasullulah SAW sebagai manusia terhebat dalam sejarah manusia, apakah kita sendiri sebagai umat Baginda sendiri mahu menafikan kehebatan Baginda? Apakah kita sendiri menjadikan Baginda sebagai idola atau ikutan dalam semua aspek kehidupan kita dan anak-anak serta ahli keluarga kita? Atau adakah idola kita terdiri dari geng-geng Avengers seperti Captain America, Ironman, Thor dan sebagainya atau geng-geng League of Justice seperti Superman, Batman, Wonder Woman dan sebagainya? Ataukah idola-idola ini terdiri daripada selebriti-selebriti hiburan, sukan, tokoh-tokoh korporat dan sebagainya. Mungkin kita tidak perasan namun secara tidak langsung, mereka terpahat sebagai idola apabila merekalah yang menghiasi skrin-skrin komputer dan handphone kita (dan saya juga tidak terkecuali).

Sebagai insan yang sedang menelusuri kecemerlangan dan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini marilah kita perbetulkan ‘kiblat’ kita agar segala pola pemikiran, tuturkata dan perbuatan kita adalah benar-benar berlandaskan apa yang telah dicontohkan dengan jelas oleh manusia terhebat sepanjang zaman ini. Semestinya Bagindalah yang sepatutnya menjadi superhero atau adiwira bagi kita dan ahli keluarga kita kerana Baginda sememangnya penyelamat kita bukan sahaja di dunia tapi juga in shaa Allah di akhirat nanti apabila sekelian manusia pasti mendambakan syafaat Baginda. Sudah tiba masanya kita benar-benar mengambil serius tentang perkara ini kerana ianya boleh menjejaskan akidah kita andai ianya diambil mudah dan diambil secara lewa.

Terlalu banyak penghormatan, jasa, bakti dan amalan murni setra kebaikan yang telah disempurnakan oleh Baginda Rasullulah SAW untuk dicatat dan diceritakan dalam nukilan yang terlalu ringkas ini. Apapun cukuplah untuk dinyatakan bahawa Baginda Rasullulah SAW merupakan model terbaik untuk dijadikan contoh dan sebanyak manapun kita berusaha untuk mengikuti Baginda dari sudut mana sekalipun, kita tak mungkin dapat memenuhi sunnah yang Baginda tinggalkan pada kita 100%. Namun sebagai insan yang terus mencari kecemerlangan, kita mesti terus berusaha untuk memenuhi sunnah Baginda serta mengikut jejak langkah Baginda semahu dan semampu kita. In shaa Allah Allah SAW akan mempermudahkan segala urusan kita asal sahaja niat kita adalah untuk menTauhidkan-Nya dengan mengikuti sunnah dan akhlak Baginda.

Sebagai rangkuman, mari kita renungi, hayati dan praktikkan 3 perkara berikut: –

  1. Tidak ada manusia yang lebih baik selain daripada Baginda Muhammad Rasullulah SAW sebagaimana yang dirakamkan lama surah Al-Ahzab (33) ayat (21) “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah.”
  2. Kita wajib menjadikan Baginda Rasullulah SAW sebagai ‘role model’ bukan sahaja untuk diri kita tapi juga anak-anak dan ahli keluarga kita termasuk kepada semua yang kita berhubungan dengan mereka (seperti kaum keluarga, rakan taulan, rakan sekerja dan sebagainya) sekaligus mengikuti jejak langkah Baginda.
  3. Berselawatlah atas Baginda Rasullulah SAW sebanyak mana yang kita mampu kerana tiap selawat atas Baginda akan digandakan 10 kali atas orang yang berselawat tersebut sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat berikut: –

“Sesungguhnya Allah dan Malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kalian untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” Al-Ahzaab (33) ayat (56)

Akhir kata: –

Rasullulah SAW rahmat sekelian alam

Mengeluarkan manusia dari kegelapan malam

Andai Baginda sebagai ikutan dan suri tauladan

Penuhilah seluruhnya, jangan malu dan jangan segan

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dan Salam Maulidur Rasul 1442H dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.