Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN – Keluarga Pagar Pelindung  – Siri 17

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Keluarga Pagar Pelindung  – Siri 17

331
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Keluarga Pagar Pelindung  – Siri 17

pemusnah atau pemangkin‘…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Begitu banyak sekali nilai-nilai murni yang perlu dalam menelusi kecemerlangan. Kejayaan dan kecermerlangan tidak diukur dengan wang ringgit semata-mata namun malang sekali tidak ramai yang melihat faktor ini. Sebagaimana pegangan agama yang kukuh dan kesihatan yang baik, sokongan yang padu dari keluarga juga merupakan antara faktor penentu kecemerlangan seseorang itu. Kenapa keluarga penting dalam kita mencapai kecemerlangan?

Jawapannya agak mudah kan? Kerana keluarga merupakan suatu asas atau akar setiap kehidupan manusia. Tanpa keluarga siapalah kita. Itulah salah satu sebab kenapa kita harus tahu salasilah keluarga kita sampai ke tahap mana yang perlu. Sekiranya kita tahu, in shaa Allah kita akan dapati bahawa walau siapapun kita, ada di antara nenek moyang kita yang pernah menjadi orang ternama atau pahlawan unggul atau orang kaya ataupun kerabat diraja. Ini bukanlah sesuatu yang patut kita bangga-banggakan, sebaliknya kita ambil iktibar bahawa di dalam diri kita ada darah yang mengalir dari keturunan yang baik- baik.

Jika kita masih ingat salah satu siri TV sekitar tahun 1977 yang sangat popular yang berjodol ‘Roots’, kita akan dapati bahawa orang Negro Amerika bangga dengan akar umbi mereka walaupun mereka tahu bahawa nenek moyang mereka (Kunta Kinte) telah dibawa pada suatu masa dulu (sekitar tahun 1750) dari Gambia, Afrika Barat hanya sebagai hamba abdi. Bagaimana mereka memperjuangkan hak mereka sebagai manusia yang bebas dan akhirnya mencapai kebebasan dan kesejahteraan yang mereka cari-cari sehingga mereka layak menjadi warganegara Amerika yang sah.

Kita akan dapati keluarga memainkan peranan yang sangat penting di dalam peningkatan ataupun sebaliknya kejatuhan diri seseorang itu. Kita juga dapati ada keluarga juga sanggup bermusuhan sehingga berabad abad lamanya kerana perselisihan faham yang terjadi entah berapa kurun yang lalu yang sepatutnya sudahpun dilupakan seperti contoh kisah percintaan antara ‘Romeo dan Juliet’ atau versi melayunya ‘Laila Majnun’ yang akhirnya berakhir dengan tragedi kepada kedua-dua belah pihak.

Kita harus maklum bahawa dengan pimpinan kekeluargaan yang teguh, setiap insan akan merasa lebih yakin untuk memperjuangkan setiap hari dengan lebih mantap dan berwibawa. Sekali lagi kita akan dapati persamaan di mana keluarga memainkan peranan yang penting seperti juga agama di mana sokongan keluarga itu akan dapat menghindarkan manusia daripada terjerumus ke lembah durjana.

Banyak yang dapat kita lihat dalam kehidupan kita di mana keluarga yang tidak kukuh contohnya apabila ayah dan ibu bercerai atau terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar dan akhirnya terjebak dalam pelbagai kancah dan gejala sosial yang kadangkala terlalu parah terutamanya apabila membabitkan dadah dan jenayah berat yang menyebabkan amat sukar untuk mereka (anak-anak ini) kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya, keluarga yang disemai dan dipupuk dengan kasih sayang dan baja agama akan menghasilkan anak-anak yang berjaya walaupun tidak semestinya secara material tetapi rohani mereka lebih kental dengan nilai-nilai murni yang menjadikan mereka insan yang lebih cemerlang dari anak-anak yang disiram dengan kemewahan membutatuli yang menyebabkan matahati mereka buta dan hati nurani mereka mati.

Setiap institusi keluarga itu adalah pagar atau tembok yang akan menghalang seseorang itu daripada membuat perkara-perkara yang merosakkan. Sebaliknya ia juga menjadi pintu gerbang ke arah kecemerlangan seseorang dan prinsip serta nilai yang dipegang oleh seseorang itu. Maka kukuh, kuat dan teguhkanlah ikatan kekeluargaan kita kerana ia juga adalah suatu asas kukuh yang sangat penting dalam kecemerlangan dan jatidiri.

Akhir kata:-

Sebagai rangkuman, 3 perkara untuk kita renungi, hayati dan praktikkan: –

  1. Keluarga merupakan pagar utama yang menentukan samada seseorang itu gagal atau berjaya dalam hidupnya.
  2. Ia adalah gerbang yang menghalang seseorang dari terjerumus ke kancah kedurjanaan dan maksiat dan ia jugalah yang mampu menjulang sesorang ke persada kegemilangan.
  3. Ikatan keluargaan yang utuh menjamin jatidiri yang teguh.

Keluarga akar sejarah manusia

Tanpa mereka tiada kita

Kuatkah ukhwah lupakan perbezaan

Agar kehidupan lebih bergemerlapan

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.