Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN – Kuasa Kepercayaan – Siri 5

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Kuasa Kepercayaan – Siri 5

198
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN – Kuasa Kepercayaan – Siri 5

‘keyakinan di sebalik kecemerlangan…’

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)

Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…

Siri kali ini topik perbincangan kita hari ini ialah tentang kepercayaan. Mari kita semak kembali Rukun Iman kita yang 6 yaitu: –

  • Percaya pada Allah SWT
  • Percaya pada Malaikat
  • Percaya pada Al Qur’an
  • Percaya pada Nabi & Rasul
  • Percaya pada Qada’ dan Qadar
  • Percaya pada Hari Kiamat

Maka kita akan dapati bahawa Allah SWT telahpun mewajibkan kita untuk percaya pada semua perkara di atas . Jadi jika kita teliti perkara ini satu persatu kita akan dapati bahawa kita sebagai insan Allah S.W.T. mesti atau wajib juga mempercayai diri kita sendiri kerana Tuhan yang menjadikan kita dan sekiranya kita tidak percaya kepada kemampuan diri kita sendiri, kita menidakkan kekuasaanNYA. Namun kita tidak akan membicarakan mengenai Rukun Iman kerana ianya memerlukan pembahasan yang panjang lebar dan di sini bukan platform yang sesuai tapi ianya lebih kepada membicarakan tentang pentingnya mempunyai kepercayaan dan membina keyakinan terhadap kepercayaan tersebut.

Untuk mempercayai sesuatu itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih sebagaimana yang terbukti ketika Baginda Rasullulah SAW mendapat dan menyampaikan risalah Islam lebih 1400 tahun dahulu.

Kebanyakan manusia mempunyai sikap skeptikal atau sukar untuk percaya kepada sesuatu namun ada pula yang terlalu naif dan terlalu mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Apapun yang skeptikal lebih ramai dari yang naif. 

Jika kita amati diri kita ini terutamanya yang cukup sifat, kita akan dapati bahawa Tuhan itu sangat Maha Adil. Dia telah menjadikan kita dengan begitu sempurna, dilahirkan pula sebagai orang Islam di bumi bertuah bernama Malaysia ini. Jadi kita tidak harus tewas pada keadaan dan membiarkan ianya menguasai kita. Kita harus percaya pada diri kita sendiri, dengan kebolehan yang dianugerahkan Tuhan kepada kita, dengan deria yang diberikan dan dengan akal fikiran serta kuderat yang dihadiahkan. Kadangkala kita lupa tentang perkara sebegini dan selalu sahaja tidak berpuas hati dan merintih tentang ketidakadilan dunia dan keadaan yang terjadi terhadap kita. Maka fokuslah pada kekuatan diri dan cari jalan untuk mengatasi kelemahan diri semampu boleh.

Manusia mana yang tidak ada masalah. Yang penting bukan apa yang terjadi kepada kita tetapi mengambil iktibar tentang apa yang terjadi dan belajar dari perkara yang telah terjadi itu supaya perkara yang sama tidak akan berulang kembali. Contoh yang paling ketara di kala ini ialah tentang gejala sosial yang kian melanda anak anak atau adik adik kita tentang masalah pelacuran, dadah dan lain, lain lagi. Ibubapa harus sedar bahawa anak anak mereka masih mempunyai harapan untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia biasa selagi mereka dan kita masih lagi bernafas.

Kepercayaan kepada sesuatu perkara memang bukan semudah yang disangka apa lagi kepercayaan tersebut membabitkan diri sendiri. Untuk membina keyakinan ini kita haruslah pertama sekali memperkukuhkan kepercayaan kita kepada Rukun Iman yang 6 itu (dan melaksanakan Rukun Islam yang 5) dahulu barulah kepercayaan tersebut ianya akan datang secara alami.

Selain dari diri sendiri, kita juga harus mempercayai saudara mara, rakan-rakan, guru-guru dan para asatizah kita serta segala yang mendokong perjalanan kehidupan kita mengikut batas batas yang ditetapkan syarak dan prinsip yang kita tetapkan sendiri. In shaa Allah kita akan dapat mencapai kecemerlangan yang kita cari cari selama ini.

Sebagai rangkuman dalam membentuk dan mengukuhkan keyakinan diri sendiri, insan cemerlang itu harus…

  • Percaya pada semua ketentuan Ilahi yakni kesemua Rukun Iman tanpa sebarang perasaan ragu walaupun kadangkala kita merasa ianya tidak menyebelahi kita.
  • Percaya pada diri sendiri dan pada semua orang dan segala yang menyokong kita selama ini walaupun adakalanya komentar atau kritikan itu pedas, menyakitkan dan sukar untuk kita terima.
  • Percaya pada prinsip hidup kita sendiri yang tidak bertentangan dengan ketentuan syarak.

Kerana kita harus mengakui bahawa tanpa kepercayaan yang ditunjangi dengan keyakinan, tidak akan datang kejayaan dan pastinya jauh sekali dari kecemerlangan yang kita cari dan kejar selama ini. Yakinlah bahawa kesan atau impak atas kepercayaan kita yang mendalam bukan hanya akan dapat mengubah dan membantu diri kita sendiri tetapi juga bakal memberi pengaruh postif pada orang lain di sekeliling kita untuk turut cemerlang.

Setiap makhluk ada kelemahannya

Berbuat salah dah lumrah dunia

Percaya pada diri, ugama dan negara

Itulah tonggak kecemerlangan untuk kita semua.

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.