Home Education & Training MENELUSURI KECEMERLANGAN- Konsistensi Teras Kecemerlangan – Siri 3

MENELUSURI KECEMERLANGAN- Konsistensi Teras Kecemerlangan – Siri 3

122
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN- Konsistensi Teras Kecemerlangan – Siri 3

‘kunci mencapai konsistensi…’

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)

Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…

Sudah lebih 3 minggu bulan Ramadhan yang mulia meninggalkan kita, namun mari kita ambil sedikit iktibar daripadanya misalnya, selalunya kita akan sedaya upaya mengelakkan daripada cepat marah atau mengeluarkan kata kata yang kurang elok didengar. Selalunya kita akan berkata ‘Oh, bulan puasa ni, tak elok marah marah atau mencarut atau melafazkan atau lakukan apa sahaja yang tidak baik.” Kita tanya diri kita sendiri, mengapa hanya di bulan puasa sahaja? Adakah di bulan-bulan lain kita boleh atau patut melakukan perkara-perkara yang dilarang?

Sebagai insan cemerlang, kita mesti istiqomah atau konsisten dalam kelakuan atau tabiat kita sebagaimana kita mengerjakan ibadah puasa pada Bulan Ramadan yang mulia. Dengan cara itu barulah kita akan dapat menghayati kecemerlangan yang sebenar kerana kita memahami bahawa untuk mencapai kecemerlangan, amalan baik haruslah dilakukan secara berterusan bukan untuk waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu sahaja.

Lagi satu perkara yang ingin saya sentuh di sini ialah daripada segi memaafkan orang lain. Selalunya kita kerap kali berkata ‘Aah tunggu Raya nantilah baru kita mintak maaf!’. Maksudnya di sini kita hanya boleh meminta maaf atau memaafkan orang lain hanya apabila tiba Hari Raya. Apa kata kalau ianya (Hari Raya) ‘tidak tiba’ kepada orang yang harus kita minta maaf tersebut atau lebih menakutkan ianya tidak tiba untuk kita? Apa tah lagi di zaman wabak yang masih belum reda sepenuhnya ini, kita pun tak dapat berkunjung ziarah menziarahi sanak saudara atau sahabat handai atas kekangan yang kita sedia maklum. Namun ianya tidak seharusnya menahan kita dari memohon ampun dari mereka ini kerana kita mempunyai alternative secara online dengan pelbagai platform sediaada seperti WA, Zoom, Meet, Teams, Skype, WebEx dan banyak lagi platform yang disediakan secara percuma walaupun ada sesetengahnya untuk durasi masa terhad.

Di sini saya ingin mengingatkan khusus pada diri saya sendiri bahawa dalam kita menelusuri kecemerlangan, kita mesti sentiasa melihat dan menilai diri kita di dalam ‘cermin’ kehidupan. Adakah kita menuju ke arah yang betul dan lurus dan yang paling penting adakah kita mampu konsisten dalam mengekalkan kecemerlangan tersebut?

Mencapai konsistensi adalah sesuatu perkara yang sememangnya berat bagi setiap orang. Sebagai manusia biasa, kita ada pasang surutnya dari segi iman, kerajinan dan kesungguhan kita. Oleh sebab itu kita harus berbuat secara ‘gradual’ atau sedikit demi sedikit. Contohnya Bulan Ramadan mendidik kita untuk berpuasa setiap hari (kecuali untuk kaum wanita atas sebab-sebab yang kita sedia maklum, orang sakit atau orang tua yang tidak mampu berpuasa dan musafir atau yang diizinkan untuk tidak berpuasa atas sebab-sebab tertentu). Namun untuk orang yang sihat, kita akan ‘memaksa’ diri kita untuk berpuasa walaupun kadangkala ianya terasa berat pada awalnya tapi akhirnya ia akan mendi biasa pada kita.

Begitu juga dalam mencapai konsistensi, kita harus mencari dan menggunakan ‘kunci’ yang betul untuk memastikan kita kekal dalam melaksanakan sesuatu perkara itu. Contohnya kita tidak akan dapat membuka sesuatu pintu tanpa kunci yang betul, begitu juga kita tidak akan dapat menepati masa jika kita tidak faham dan tidak menghiraukan nilai masa itu sendiri. Orang yang ingin konsisten dalam menepati waktu akan sentiasa memakai jam tangan atau sentiasa melihat jam pada handphone-nya untuk memastikan dia dalam lingkung-waktu yang sesuai dan tertentu untuk sesuatu perkara. Dia harus memaksa diri nya untuk peka waktu setiap masa untuk mecapai konsistensi tersebut.

Sebagai rangkuman, seorang insan cemerlang yang ingin konsisten itu haruslah:-

  1. Berbuat perkara yang baik secara berterusan dan serta merta tanpa bertangguh.
  2. Melaksanakan sedikit demi sedikit menikut kemampuan tetapi punya sikap ‘memaksa’ diri untuk terus melakukannya.
  3. Menggunakan kunci yang betul dalam memastikan mereka kekal dalam melaksanakan perkara-perkara yang baik dan betul.

Sifat leka sememangnya adat manusia biasa

Tiada yang terlepas, tiada yang sempurna

Kecemerlangan dituju apa rahsianya

Itulah konsistensi, teras segalanya

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

champgye@gmail.com

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.