Home Inspirasi Niaga Disebalik WanShashaShawls

Disebalik WanShashaShawls

492
0

 

Disebalik WanShashaShawls

Byline: Alia Izzati

SERDANG: Menuntut di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Wan Aizatul Syafikah, 23 seorang mahasiswi yang bergiat aktif menjual tudung jenamanya sendiri.

Wan Shasha menggayakan tudung jenamanya sendiri

Berbekalkan RM3000 sebagai modal perniagaan, beliau mula menceburi bidang perniagaan dengan menjual tudung secara kecil-kecilan di laman sosial Instagramnya iaitu @wanshashashawls, sejak 2 tahun lalu.

Lebih mesra dikenali sebagai Wan Shasha, pemilik WanShashaShawls menjelaskan bahawa menjadi model muslimah merupakan titik permulaan beliau mencari duit sampingan.

“Berkat wang pendapatan sebagai seorang model muslimah itu yang saya jadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Saya juga menggunakan platform sebagai model untuk mengenali ramai usahawan tudung yang banyak berkongsi pengalaman dan idea dalam bidang perniagaan ini,” tambahnya.

Terpilih sebagai ikon keusahawanan pelajar di peringkat universiti bagi ‘Oh my Jep!’, beliau berkata ayahnya yang juga seorang usahawan merupakan idola dan sumber inspirasi terbesar untuk dirinya.

Koleksi-koleksi tudung eksklusif WanShashaShawls adalah hasil lakaran dan rekaan khas oleh beliau sendiri yang juga seorang pelajar Bacelor Senibina Landskap di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bercerita lanjut mengenai koleksi itu, ulas Wan Shasha, untuk menepati cita rasa golongan umur 18-40 tahun, beliau lebih menekankan elemen-elemen yang terkini di dalam setiap koleksi tudungnya.

Menurut anak kelahiran negeri Pahang Darul Makmur ini, pelajaran bukanlah penghalang untuk beliau menguruskan perniagaan tudungnya sendiri.

Ketika ditemui, beliau menyarankan pelajar-pelajar untuk menggunakan masa muda ini untuk bekerja keras demi masa hadapan yang lebih terjamin.

Menyentuh mengenai pasang surut sebagai seorang usahawan, Wan Shasha menceritakan bahawa beliau tidak terlepas menghadapi kesulitan apabila memulakan perniagaannya. Namun, beliau percaya bahawa setiap kejayaan hanya akan datang pada sesiapa yang berusaha dan bertawakkal.

“Perkembangan industri tudung di pasaran tempatan kini semakin pesat dan saya melihat ini sebagai satu persaingan yang sihat di antara usahawan-usahawan di dalam industri ini,” kata Wan Shasha lagi.

Wan Shasha ingin menempa jenama WanShashaShawls di pasaran antarabangsa

Tidak mahu terhenti setakat itu, beliau memasang impian untuk menjadikan WanShashaShawls setanding dengan jenama-jenama tudung yang lain seperti Naelofar Hijab, Ariani dan sebagainya.

“Saya ingin memiliki butik tudung saya sendiri di masa akan datang sekiranya tiada apa-apa halangan. Saya juga berharap jenama WanShashaShawls mampu menembusi ke pasaran antarabangsa insyaAllah,” ujarnya.

Bagi yang menginginkan keterangan lanjut mengenai koleksi eksklusif WanShashaShawls, boleh menghubungi Wan Shasha melalui Instagram dan Facebook, @wanshashashawls.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.