Home Inspirasi Niaga Rona Rona Tampil Dengan Koleksi Terbaru Menjelang Aidilfitri

Rona Rona Tampil Dengan Koleksi Terbaru Menjelang Aidilfitri

443
0

Disediakan oleh Annur Hidayah binti Saidin & Noor Suriati binti Salleh

Jika ditanya kepada setiap individu, pastinya ramai yang berminat untuk membuka butik pakaian, tidak kiralah pakaian lelaki, wanita, kanak-kanak atau butik pakaian pengantin. Sudah pasti mereka yang ingin mengusahakan butik ini mempunyai objektif yang sama, iaitu ingin menampilkan pelbagai rekaan terbaik yang memenuhi citarasa trend terkini.

Bagi mereka yang kurang berpengalaman dalam bidang perniagaan, ianya bukanlah suatu kerjaya yang mudah untuk diceburi. Persediaan dari segi fizikal dan mental adalah amat penting dalam menguruskan sesuatu perniagaan itu. Menurut Rohani Abd Haziz, minat berniaga sejak kecil telah mendorong beliau untuk menceburi bidang perniagaan ini. Pekerjaan yang dilakukan dengan penuh minat, pastinya akan menjadi lebih mudah dan mampu membuahkan hasil yang cukup manis walaupun pada awalnya perlu berkorban banyak masa dan tenaga.

Puan Rohani Abd Haziz (gambar kanan), pemilik butik Rona-Rona ketika ditemui di lot kedainya di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi.

Menjadikan Dato’ Sri Vida sebagai idola telah memberi inspirasi dan semangat kepadanya untuk bergelar seorang usahawan wanita yang berjaya. Bukan mudah baginya untuk mencapai kejayaan seperti hari ini jika tidak disusuli dengan usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa. Meskipun menyedari banyak persaingan dalam dunia perniagaan, namun ianya bukan satu penghalang baginya untuk terus melangkah ke hadapan.

Pernah berkhidmat dalam agensi kerajaan selama 17 tahun tidak menjadi penghalang kepada pemegang Master dalam Sains Komputer ini untuk menceburi bidang perniagaan. Rona Rona yang telah bertapak hampir 8 tahun di Bangi Gateway mula dikenali ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Pemilik butik yang menyediakan pakaian muslimah ibu dan anak ini mengakui bahawa setiap perniagaan mempunyai cabaran dan persaingan yang berbeza. Namun, kedua-dua aspek itu amat penting untuk sesebuah perniagaan bagi memperbaiki dan menambahbaikan kualiti perkhidmatan.

Menurut beliau, berdepan dengan masalah dalam menguruskan perniagaan adalah asam garam dalam dunia perniagaan, terutamanya masalah yang melibatkan staf sendiri. Namun, perkara tersebut dianggap biasa dan mampu diatasi olehnya yang setakat ini memiliki 3 orang staf.

Memilih lokasi butik yang strategik dan sesuai adalah penting dalam menjamin keuntungan sesuatu perniagaan itu. Bangi Gateway yang menjadi pilih Puan Rohani Haziz dianggap mempunyai potensi sebagai lokasi yang sangat baik dan maju dalam memasarkan sesuatu produk. Selain menampilkan pakaian muslimah ibu dan anak seperti kebaya kebarung, kurung moden peplum, jubah, serta baby doll, Rona Rona turut memperkenalkan produk terbarunya iaitu baju melayu, kurta dan tudung yang cantik menawan. Keistimewaan produk Rona Rona adalah menggunakan kain yang lembut, berkualiti, dan tidak panas. Paling menarik mengenai pakaian ini adalah tidak mudah luntur dengan basuhan,  tidak renyuk serta mudah diurus.

Antara koleksi yang terdapat di butik Rona Rona mampu memuaskan hati pelanggan.

Setanding dengan kualiti jenama pakaian yang lain, Rona Rona turut menawarkan produk pakaian dengan harga yang sangat berpatutan. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dengan lebih mudah dan pantas mengenai pakaian tersebut melalui media sosial yang digunakan oleh Rona Rona sebagai medium untuk mempromosikan produknya.

“Buat masa ini, tiada masalah dalam mendapatkan pelanggan kerana kebanyakan promosi dilakukan dimedia sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan laman web.”

Bagi penggemar produk ini, Rona Rona bakal mengembangkan perniagaannya di Evo Kompleks bersebelahan dengan PKNS tidak lama lagi.  Sebarang pertanyaan atau tempahan mengenai produk Rona Rona ini boleh diajukan kepada Puan Rohani sendiri menerusi no. tel. 03-89200358.

Instagram– myronarona

Facebook– Rona-Rona Butik Kanak-Kanak

Twitter– @myronarona

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.