Home News KPDNKK SERIUS TANGANI ISU SKIM PELABURAN TIDAK SAH

KPDNKK SERIUS TANGANI ISU SKIM PELABURAN TIDAK SAH

349
1

PUTRAJAYA, 3 Mei 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa mengawal selia industri jualan langsung melalui pengurusan pengeluaran lesen jualan langsung. Setiap syarikat yang ingin menjalankan perniagaan jualan langsung perlu terlebih dahulu memohon untuk mendapatkan lesen jualan langsung termasuk mengemukakan pelan pemasaran yang tidak mempunyai unsur-unsur skim piramid.

Selaras dengan Seksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (AJLSAP 1993) menyatakan bahawa, “tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung melainkan jika ia suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 6 AJLSAP 1993”.

Kementerian juga memandang serius terhadap syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti skim piramid yang memperdaya pengguna. Selaras dengan Seksyen 27B (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP) 1993 yang menyatakan bahawa, tiada seorang pun boleh mempromosikan atau menyebabkan supaya dipromosikan sesuatu skim piramid. Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh;

(a) “jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak kurang daripada RM1 juta dan tidak lebih daripada RM10 juta dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada RM10 juta dan tidak lebih daripada RM50 juta.”

(b) “jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak kurang daripada RM500 ribu dan tidak lebih daripada RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak kurang daripada RM1 juta dan tidak lebih daripada RM10 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.”

Walau bagaimanapun, segala perniagaan yang bersifat money game / skim cepat kaya / ponzi seperti pelaburan, hartanah, tukaran mata wang (FOREX), emas dan seumpamanya yang berselindung di bawah modus operandi Multi-level Marketing (MLM) adalah tidak dibenarkan di bawah AJLSAP 1993 dan tertakluk di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebanyak 198 kes telah diambil tindakan oleh Penguatkuasa KPDNKK sejak tahun 2012. Secara keseluruhan, nilai rampasan berjumlah RM5.8 juta dan sebanyak RM960,500 kompaun / denda telah dikenakan ke atas syarikat yang gagal mematuhi Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan syarat-syarat lesen Jualan Langsung.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merupakan agensi di bawah KPDNKK berperanan mengawal selia skim kepentingan berdasarkan Akta Skim Kepentingan 2016 (terdahulunya sebahagian daripada Akta Syarikat 1965).

Skim kepentingan adalah pengumpulan sumbangan kewangan daripada orang ramai sebagai tukaran untuk mendapat kepentingan dalam sesebuah skim. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa skop kawal selia SSM hanya tertakluk kepada skim yang tergolong sebagai skim kepentingan sahaja.

Sejak tahun 2007 hingga 31 Mac 2017, sebanyak 55 kes berkaitan skim pelaburan tidak berdaftar telah diambil tindakan penguatkuasaan oleh SSM. Daripada jumlah tersebut sebanyak 35 kes telah didakwa dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah, 2 kes masih dalam proses pendakwaan dan selebihnya telah diambil tindakan kompaun, dan terdapat 1 kes di mana suspek gagal dikesan.

Justeru, melalui pengenalan Akta Skim Kepentingan 2016, tindakan penguatkuasaan yang lebih efektif dan efisyen dapat diambil oleh SSM terhadap skim-skim kepentingan yang tidak berdaftar. Pendaftar Syarikat telah diperuntukkan kuasa untuk menamatkan sesuatu skim kepentingan tidak berdaftar yang sedang ditawarkan di bawah Akta ini, dan juga kuasa untuk mengarahkan pihak yang berkaitan memberikan pampasan kepada mana-mana orang yang telah membeli kepentingan di bawah skim tersebut. Selain itu, jumlah denda yang jauh lebih tinggi akan dikenakan sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta ini khususnya berkaitan skim kepentingan tidak berdaftar.

Beberapa kesalahan serius di bawah perundangan yang ditadbir oleh KPDNKK juga telah disenaraikan sebagai kesalahan predikat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). Kesalahan-kesalahan tersebut termasuklah kesalahan berkaitan skim kepentingan tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 serta aktiviti jualan langsung tanpa lesen dan skim piramid di bawah Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993).

Di peringkat kebangsaan, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai National Coordinating Committee (NCC) bertujuan untuk menyelaras aktiviti penguatkuasaan di bawah Anti Money Laundering Anti-Terrorism Financing And Proceeds Of Unlawful Activities Act 2001 (AMLATFAPUAA 2001). NCC dianggotai oleh semua agensi penguatkuasaan di Malaysia seperti BNM, KPDNKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SSM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara.

Kesalahan berkaitan skim pelaburan, skim kepentingan serta jualan langsung juga telah dimasukkan ke dalam jadual pertama AMLATFAPUAA 2001 sebagai kesalahan predikat. Ini bermakna, sekiranya terdapat kesalahan berkaitan perkara-perkara ini, siasatan akan dibuka di bawah akta yang berkaitan serta AMLATFAPUAA 2001. Semua tindakan penguatkuasaan melalui siasatan dan pendakwaan bagi skim pelaburan perlu dikoordinasikan dengan peruntukan dan kuasa di bawah AMLATFAPUAA 2001 kerana akta-akta yang dikawal selia oleh agensi-agensi lain tidak mempunyai kuasa yang luas seperti AMLATFAPUAA 2001.

Bagi membangkitkan kesedaran orang ramai berhubung aktiviti skim pelaburan haram. Sehingga 2 Mei, kementerian telah secara berterusan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran kepenggunaan di peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan orang ramai. Topik ceramah meliputi isu-isu penipuan dalam perniagaan, termasuklah aktiviti skim pelaburan haram, gores dan menang serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh pengguna bagi menanganinya.

#CaringMinistry

sumber dipetik dari fb https://www.facebook.com/hamzahzainudinofficial/posts/390722627993205:0

 

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.