Home Inspirasi Niaga Pelajaran dan Kerjaya Matlamat Syarmila

Pelajaran dan Kerjaya Matlamat Syarmila

467
0

Syarmila Atika menerima tawaran kerjaya sambilan peragaan dan pengacaraan mengikut kesesuaian diri.

Kejayaan menjadi salah seorang penerima Anugerah Dekan selama tiga tahun berturut-turut di sebuah universiti swasta tidak menghalang pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, Syarmila Atika Nor Zaini, 23 tahun, untuk aktif dalam menjadikan kerjaya pengacaraan dan peragaan sebagai kerjaya sambilannya di usia muda.

Bermula sebagai talent untuk freelancer jurugambar, Syarmila mula mengorak langkah apabila menerima pelbagai tawaran dalam bidang pengacaraan dan peragaan walaupun ianya dilihat sekadar kerjaya sambilan yang digunakan sepenuhnya untuk mengisi kelapangan masa terutamanya ketika cuti semester bermula.

Antara tawaran yang diperolehi beliau ialah menggayakan koleksi pakaian butik online milik novelis, Liyana Zahim, iaitu Liyanazahimcollection dan turut terlibat dalam menggayakan busana untuk butik anggunabayadubai, manakala dalam bidang pengacaraan pula beliau aktif dalam mengacara majlis-majlis rasmi anjuran universiti, pengacara majlis graduasi pra-sekolah dan majlis-majlis lain.

Bersetuju dengan pandangan bahawa bidang pengacaraan dan peragaan salah satu kerjaya yang popular di kalangan remaja khususnya dari segi hiburan kerana kedua-dua bidang ini saling berkait rapat dalam bidang penyiaran dan berpendapat bahawa bidang yang diceburinya ini menyeronokkan dan pada masa yang sama beliau dapat mempelajarinya dari pelbagai aspek.

Tambah Syarmila lagi, kerana minat, beliau sentiasa menambah ilmunya dengan menggunakan teknologi yang ada iaitu menggunakan khidmat bahan internet tentang bagaimana beliau boleh menjadi lebih versatile semasa berhadapan dengan kamera dan pada masa yang sama, hasrat untuk menjadi seorang pengamal media yang dikenali, iaitu dalam bidang komunikasi korporat tercapai pada masa hadapan.

Busana dari butik online Liyanazahimcollection serta anggunabayadubai antara busana yang diperagakan oleh Syarmila.

Cabaran untuk berani beraksi di hadapan kamera serta pandangan positif daripada rakan-rakan menjadi salah satu kenangan manis buat dirinya sungguhpun masih hijau dalam bidang ini dan hanya menjadikan sebagai kerjaya sambilan sahaja.

Meskipun aktif, pelajaran sentiasa menjadi tangga pertama dan pemilihan tawaran kerja yang ditawarkan kepadanya cuba ditolak dengan sebaiknya jika ianya menganggu urusan pembelajarannya khusus buat masa ini yang banyak memerlukan tumpuan terhadap pelajaran bagi menguruskan projek tahun akhirnya.

Bagi dirinya, pengurusan masa merupakan cabaran utama sebagai seorang pelajar ijazah sepenuh masa dan pada masa yang sama mempunyai kerjaya secara sambilan membuatnya bijak mengurus masa dengan mengutamakan perkara penting yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bukan sahaja aktif dalam bidang pengacaraan dan peragaan, tetapi beliau turut mengambil inisiatif lain dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti dan projek-projek kursus pengajiannya kerana berpendapat sebagai pelajar komunikasi, dirinya perlu aktif di dalam mahupun diluar kampus pengajian terutama sekali apabila melibatkan bidang komunikasi korporat yang menjadi keutamaannya.

Beliau juga mengakui bahawa penglibatannya dalam bidang ini banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, selain melatih dirinya untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang bakal dihadapinya pada masa akan datang dengan lebih tenang sekaligus menjadikan dirinya berfikiran positif serta memikirkan kesan baik atau buruk sebelum melakukan sesuatu perkara.

Melihat masa hadapan sebagai sesuatu yang perlu dirancang seiring dengan usaha, apa sahaja yang dilakukan adalah demi kedua orang tuanya dan banyak menerima sokongan daripada idola sepanjang masanya iaitu ibunya sendiri terutamanya dari segi menggali ilmu dalam bidang peragaan.

Di samping sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga dan teman-temannya, gadis yang berperwatakan menarik ini menjadikan matlamatnya untuk menjadi seorang gadis yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya serta berbakti kepada keluarga sebagai faktor yang mendorongnya untuk terus maju kehadapan mencapai impian.

Berbicara mengenai tips kejayaannya, beliau menjadikan ibubapa sebagai panduan untuk berjaya kerana menurutnya, niat yang baik penting untuk berjaya di masa hadapan serta sentiasa bertawakal dan percaya kepada rezeki yang diberikan oleh-Nya.

OLEH NORIZA SAINAL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.