Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Hanya Sebagai Alat – Siri 50 ‘memenuhi kehendak tujuan…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Hanya Sebagai Alat – Siri 50 ‘memenuhi kehendak tujuan…’

334
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pernah tak kita kadang-kadang merasa bahawa setelah berusaha sedaya upaya dalam kerja, belajar atau apa sahaja yang kita kerjakan namun masih tidak mencapai hasrat, hajat atau harapan yang kita impikan? Pasti kita akan merasa kecewa kan? Tentu ada sesuatu yang tak kena yang kita rasa seolah-olah tidak adil pada kita kan? Mulalah pelbagai persoalan timbul di benak fikiran kita mempersoalkan bermacam-macam perkara mengapa kita tidak berhasil mencapai apa yang telah kita rancangkan.

Jika dalam bidang pengurusan, ada berbagai-bagai kaedah digunapakai mencari kesilapan atau penyebab kepada sesutau masalah contohnya menggunakan Rajah Fishbone atau Ishikawa, Teknik Menyoal (5Ws & 1H), Six Thinking Hats, IDEAL (Identify, Define, Explore, Action, Look Back) dan banyak lagi kaedah yang boleh digunapakai untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi. Sudah pasti tindakan-tindakan proaktif sebegini amat dialu-alu dan digalakkan agar kita sentiasa mencari jalan untuk mencari jalan keluar dari setiap masalah.

Namun kita mesti menerima hakikat ‘keseimbangan’ yang telah ditentu dan ditetapkan Allah SWT dalam Dia mengatur bumi ini di mana segala sesuatu yang kita harapkan sempurna itu pasti ada cacat celanya (pada pandangan kita). Contohnya dalam memakmurkan sesebuah negara, kita akan mendapati negara maju mana sekalipun tetap berhadapan dengan masalah kemiskinan walaupun kadarnya tidak setinggi negara-negara membangun atau negara-negara miskin. Ketidakseimbangan inilah antara sebab atau faktor utama di mana negara-negara yang kaya atau mampu boleh menjadi alat untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan supaya kekayaan itu dapat diagihkan pada yang memerlukan.

Memahami alat dan tujuan untuk apa ianya diciptakan adalah penting agar kita dapat menyelami apa yang tersurat dan tersirat kerana tidak ada suatupun ciptaan itu sia-sia sebagaimana yang dinukilkan dalam firman Allah SWT seperti berikut: –

“…”Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” Ali Imran (3) ayat (191)

Maka janganlah kita banyak mempersoalkan mengapa ada golongan kaya dan mengapa adanya golongan miskin, mengapa ada penindas dan ada yang ditindas, mengapa ada yang adil dan ada yang zalim, mengapa dunia ini bulat (atau adakah ianya datar) dan banyak lagi persoalan itu dan ini yang kadangkala tak mungkin terjawab oleh akal manusia yang dangkal ini. Semuanya ada sebab musabab yang tersendiri atas dasar ayat di atas bahawa tiada sesuatupun yang diciptakan dengan sia-sia.

Di sinilah peranan insan cemerlang dalam mencari jawapan tersebut dalam setiap pemikiran, perkataan dan tindakan mereka kerana mereka faham bahawa kejayaan dan kecemerlangan mereka bukanlah penghujung tapi penyambung kepada tujuan yang lebih utama dalam kehidupan yakni menjadi manfaat untuk orang lain. Mereka sedar bahawa jika mereka pandai, kepandaian tersebut ialah alat untuk memberi tunjukajar kepada mereka yang kurang cerdik, belum faham atau tidak mengerti. Jika mereka kaya, mereka sedar bahawa kekayaaan mereka adalah semata-mata wadah untuk mereka membantu golongan kurang berada, miskin atau asnaf. Jika mereka sihat, mereka menjadi alat untuk membantu golongan yang sihat mencapai kesihatan tersebut melalui contoh pemakanan sihat, perubahan gayahidup atau menyalurkan bantuan kewangan untuk kos perubatan, pembedahan dan sebagainya.

Pokoknya setiap insan harus faham bahwa apa yang dianugerahkan kepada mereka semuanya berupa nikmat yang menjadi alat untuk tujuan tertentu dalam kehidupan bukannya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Begitu jugalah sebaliknya untuk mereka yang kurang bernasib baik, mereka juga menjadi ‘alat’ iaitu sebagai tujuan kepada golongan yang bernasib baik mengembalikan sebahagian rezeki mereka kepada yang berhak. Demikianlah fitrah kehidupan ini yang telah direkabentuk sebegitu rupa untuk memenuhi kehendak tujuan bagi mereka yang mahu memikirkan setiap kejadian-Nya.

Kepandaian orang berilmu hanyalah alat yang ditujukan untuk mengajar orang bodoh.

Kekayaan para hartawan hanyalah alat yang ditujukan untuk membantu orang miskin.

Kesihatan orang sihat hanyalah alat yang ditujukan untuk menjadi contoh gayahidup sihat kepada orang sakit dan memberi kesedaran betapa mahalnya harga kesihatan.

Kelapangan masa adalah alat yang ditujukan untuk mendidik kaedah perancangan kepada orang sibuk.

Kerupawanan jasmani orang cantik hanyalah alat yang ditujukan untuk menjadikan orang hodoh menjelitakan rohani yang tidak boleh ditukarganti.

Kehidupan orang bernafas hanyalah alat yang ditujukan untuk memperbaiki diri, mempertingkat amal ibadah dan membuat kebaikan sebelum menjadi orang mati.

KeIslaman dan KeImanan orang muslim dan mukmin adalah alat untuk dijadikan suri tauladan kepada samada yang sudah Islam atau yang bukan Islam.

Kenikmatan dunia hanyalah alat yang ditujukan kepada manusia sejagat bahawa segala-galanya hanya bersifat sementara dan tiada yang kekal abadi kecuali Allah SWT.

Sebagai rangkuman: –

  1. Setiap manusia mahu yang terbaik dalam kehidupan mereka dan pasti akan mencari di mana silapnya andai hajat dan hasrat tidak terpenuhi.
  2. Setiap sesuatu itu ada pasangan yakni setiap alat diciptakan untuk tujuan tertentu. Begitulah keseimbangan yang Allah SWT telah ciptakan dengan pelbagai perbezaan dalam kehidupan.
  3. Insan cemerlang sedar bahawa mereka tidak lain hanya sekadar alat yang diciptakan untuk memenuhi kehendak sesuatu tujuan.

Kaya miskin ukuran dunia

Kemewahan dunia jangan dibangga

Segala yang ada hanya sementara

Sebagai alat Yang Maha Esa

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.