Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Berbakti Pada Alam – Siri 32 ‘warisan anak pertiwi…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Berbakti Pada Alam – Siri 32 ‘warisan anak pertiwi…’

229
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebagai peringatan untuk diri sendiri dan semua pembaca yang mulia, bicara kecemerlangan bukanlah terhad kepada pencapaian diri dan orang lain semata-mata tetapi ianya mencakupi aspek yang lebih luas iaitu bagaimana kita dapat memberi manfaat kepada alam semesta yang telah begitu banyak berjasa menyumbang kepada apa yang kita nikmati selama ini. Allah SWT telah menyediakan bagi kita sumber yang hampir tidak terhad untuk kita gunapakai semahu kita asal sahaja kita tidak melampaui batas. Semua yang Allah SWT anugerahkan itu berupa rezeki yang melimpahruah berkat dan rahmatNya agar kita mensyukuri nikmat tersebut dan sentiasa menyedari bahawa kita hanyalah insan yang kerdil dan sentiasa mengharap segala-gala dari Nya.

“Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” Al Mulk (67) ayat (15)

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita untuk berjalan di muka bumi dan memakan sebahagian dari rezeki-Nya, bukan semuanya. Namun manusia yang dijadikan Allah SWT sering melampaui batas dan sentiasa tamak untuk mengaut segala-galanya untuk dirinya sendiri dan melupakan hak orang lain. Hatta, bumi ini dan segala isinya dijarah tanpa mempedulikan kesan negatif yang terjadi dengan segala bentuk kegiatan ekonomi yang diatasnamakan dengan ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’ tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal terjadi samada dalam jangkamasa pendek, sederhana dan kadangkala dan acapkali dalam jangkamasa panjang. Tanah runtuh, banjir kilat, Tsunami, gempa bumi, virus dan pelbagai lagi bencana alam adalah hasil kerja tangan manusia sendiri. Ini jelas tercantum dalam ayat Allah SWT sebagaimana firman-Nya:-

“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” Ar Ruum (30) ayat (41)

Apa ada pada kecemerlangan yang kita sibuk cari-cari andai dengan segala kekayaan dan kemewahan itu, alam semulajadi menjadi mangsa kebobrokan akhlak demi meraih keuntungan duniawi semata? Malahan meninggalkan pula warisan kerosakan, pencemaran dan bencana di muka bumi untuk anak bangsa di kemudian hari? Apalah erti bangunan-bangunan tinggi pencakar langit jika sumber pembangunannya merakusi hak-hak penghuni bumi dan alam semulajadi? Di mana letaknya peradaban budaya yang sewajarnya memertabat dan mendaulatkan nilai-nilai murni sejagat seiring dengan kemajuan yang dibangga-banggakan ini?

Bukanlah kita mempertikaikan tentang usaha dan kerja keras untuk membangunkan bumi ini namun insan cemerlang adalah mereka yang tahu batas-batas yang tidak wajar dilangkaui demi mendapatkan hasil yang tidak berbaloi dengan kesan buruk yang bakal menanti. Mereka adalah insan yang prihatin bahawa alam semulajadi yang sentiasa mengeluarkan segala yang baik dan menelan segala yang busuk, buruk dan bobrok harus dihormati, disayangi dan dibelai dengan sebaik-baik mungkin kerana di situlah nanti kita akan kembali. Insan yang cemerlang sedar bahawa suatu kita nanti kita akan dihimpit bumi sehingga tulang-tulang rusuk kita berselisih. Maka apa salahnya kita berbakti padanya sebagai usaha kita dalam berbuat kebaikan agar Allah SWT memerintahkannya kelak untuk bersifat ehsan dan mengasihani kita nanti?

Masih ramai yang di luar sana merasakan bahawa berbakti pada alam itu bukan tanggungjawab mereka tetapi terletak pada PBT, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran dan semua agensi-agensi alam sekitar termasuk badan-badan dunia seperti United Nations Environment Programme (UNEP) dan yang lain-lain sedangkan ianya merupakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Berbuatlah sekecil menjaga kebersihan kawasan perumahan kita, bercucuk tanam walau hanya sekangkang kera (atau King Kong), memberi makan haiwan-haiwan terbiar kerana mereka juga makhluk Allah dan apa sahaja bentuk kebajikan dalam ruanglingkup penjagaan alam ini samada di daratan, laut mahupun di udara. Marilah kita sama-sama menghargai dan menjaga alam ini untuk menikmati segala yang dipinjamkan ini demi kemaslahatan warisan anak pertiwi…

Merangkum tanggungjawab dan derma bakti kita pada alam sekitar: –

  1. Kecemerlangan tidak terbatas hanya apda aspek pencapaian individu dan manusia lain semata-mata tetapi juga dalam memelihara dan mempertahankan keharmonian, keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan alam sekitar.
  2. Dalam mencari keuntungan, hak-hak dan tanggungjawab persekitaran juga harus diambilkira
  3. Bumi ini adalah sebenarnya milik generasi masa depan yang kita pinjam sementara, maka hormatilah ia.

Akhir kata: –

Bulan, matahari dan bumi sentiasa berputar

Patuh perintahNya harus jadi iktibar

Mari bersama kita menjaga alam sekitar

Jangan kebahagiaan akhirat sesekali ditukar

Salam cakna, ceria dan cemerlang…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.