Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kesihatan Tonggak Penggerak – Siri 16

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kesihatan Tonggak Penggerak – Siri 16

142
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Kesihatan Tonggak Penggerak – Siri 16
mental, fizikal & spiritual…

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tidak dapat tidak, setiap pagi apabila kita bangun, kita berdoa agar hari tersebut dipermudahkan untuk kita lalui dan tempuhi agar kita dapat mencapai hasil yang kita inginkan. Untuk itu kita perlukan akal dan fikiran yang cerdas, tubuh badan yang cergas serta semangat yang berkobar-kobar untuk memulai hari tersebut walaupun kita tahu banyak cabaran yang perlu kita lalui. Kesihatan merupakan tonggak penggerak yang sangat penting dalam menelusuri kehidupan kita apa lagi dalam mencapai kecemerlangan. Memulakan hari dengan kesihatan yang ideal sekurang-kurangnya sudah memberikan kita satu permulaan yang baik yang memungkinkan kita untuk mengharungi apa sahaja ujian dan tugasan yang bakal dihadapi pada hari itu.

Seandainya kita ingin mendaki sesebuah gunung contohnya Gunung Tahan atau Gunung Kinabalu, persiapan yang rapi dari segi mental, fizikal dan spiritual amat penting untuk memastikan kita mampu sampai ke puncaknya. Ianya tidak cukup dengan hanya semangat yang berkobar-kobar semata-mata namun tidak mempunyai kekuatan fizikal untuk mencapainya. Sesudah membuat persiapan yang teliti dan lengkap, tubuh badan fizikal kita akan memulakan perjalanan secara otomatik kerana perjalanan itu masih awal, mudah dan tenaga masih banyak. Tatkala dalam pendakian, di situlah kita akan diuji dengan kepayahan, keletihan dan pelbagai cabaran yang mungkin akan melunturkan semangat, di situlah kekuatan mental dan spiritual akan mengambilalih kuasa penggerak tubuh badan untuk meneruskan perjalanan dan perjuangan.

Sebab itulah Allah SWT berfirman: “…Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa…”. Al Baqarah (2) ayat (247) sebagai satu syarat di mana untuk memilih seseorang raja, dua syarat utama ialah mempunyai ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. Maka tubuh yang perkasa itu pastinya merangkumi ketiga-tiga faktor kesihatan utama yakni mental, fizikal dan spiritual. Tidak mungkin seseorang raja, ketua atau seseorang yang berkuasa itu adalah dari kalangan mereka yang tidak cerdik apalagi lemah tubuh badannya. Pastinya mereka yang terpilih atau dipilih akan memastikan mereka menambahbaik dan mempertingkatkan ilmu mereka dan memastikan kesihatan mereka pada tahap yang terbaik. (Nota: Kita telah bicarakan tentang ilmu dalam Siri ke12)

Insan yang cemerlang itu adalah mereka yang sentiasa memastikan kesihatan mereka berada pada tahap prima kerana mereka harus bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk berhadapan dengan pelbagai keadaan yang tidak menentu yang memerlukan pemikiran yang tajam, tenaga pada tahap optima dan tubuh badan yang mampu menahan tekanan dari dalam dan luar. Bayangkanlah bagaimana Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang sejak dari awal tahun 2020 sehingga kini masih berhadapan dengan situasi Pandemik COVID-19 yang begitu kritikal yang memerlukan beliau untuk berada dalam tahap kesihatan yang terbaik pada setiap masa. Ini merupakan suatu tekanan yang begitu hebat terhadap orang Nombor 1 Kementerian Kesihatan Malaysia itu.

Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan agar kesihatan sentiasa berada pada tahap optima dan dikekalkan dengan mengamalkan rejim dan rutin kesihatan secara konsisten. Beberapa perkara pokok yang harus diberi perhatian dan boleh diAMALkan adalah seperti berikut:-

Anda harus sentiasa mempunyai sikap yang positif dalam apa jua keadaan. Memang mudah untuk berfikiran positif apabila kita sihat, mempunyai kecukupan kewangan, mempunyai keluarga bahagia, mempunyai rumahtangga dan keluarga yang bahagia dan sebagainya namun ianya menjadi satu cabaran apabila semuanya dalam keadaan sebaliknya atau tonggang langgang. Sebab itu seorang mukmin sejati itu apabila dia diberi nikmat oleh Allah SWT, dia bersyukur dan apabila diuji, dia bersabar dan sentiasa bersikap positif.

Mengamalkan diet dan nutrisi yang berkhasiat. Diet bukan bermakna menahan makan tetapi makan secara bersederhana dan seimbang. Insan yang cemerlang itu tahu bila dia harus makan dan paling penting tahu bila dia wajib berhenti makan. Di waktu sedang berselera itulah disiplin diri harus kental untuk mengatakan ‘Cukuplah!’.

Adakan waktu rehat, relaks dan rekreasi pada masanya dan secara berkala. Kebanyakan penyakit berpunca dari stress atau tekanan kerana ramai daripada kita tidak cerdik dalam cara untuk menangani tekanan. Contohnya ramai daripada kita yang tidak tidur dengan nyenyak pada waktu malam kerana minda kita masih bekerja ‘lebih masa’. Kita tidak tahu untuk ‘shut down and power off’ dengan sebenar-benarnya. Amalkanlah 4 perkara mengikut sunnah Rasullulah SAW yang diajarkan kepada Saidatina Fatimah sebelum tidur. Memandangkan perbahasan tersebut agak panjang, sila click link berikut untuk penjelasan panjang lebar: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4437-irsyad-al-hadith-siri-ke-496-jangan-tidur-setelah-melakukan-4-perkara

Latihtubi atau bersenam sekurang-kurangnya 15-20 minit setiap hari walaupun hanya melakukan regangan namun berjalan pantas atau ‘brisk walking’ sebagaimana amalan Rasullulah SAW adalah salah satu kaedah untuk terus cergas dan sangat baik untuk kesihatan jantung. Banyak manfaat senaman yang kita sendiri sedia maklum namun untuk mendapatkan tip-tip penjagaan kesihatan dan aktiviti-aktiviti sukan terutamanya athletics, berenang, berbasikal dan sebagainya, sila layari: https://www.facebook.com/innotexscsb.

Sebagai rangkuman, 3 perkara untuk kita renungi, hayati dan praktikkan: –

  1. Kesihatan mental, fizikal dan spiritual haruslah selari, selaras dan seimbang dengan kehidupan yang kita telusuri.
  2. Tatkala fizikal menjadi lemah, kekuatan mental dan spiritual amat penting untuk menjadi pemangkin menggerakkan tubuh badan dalam meneruskan perjuangan.
  3. Disiplin rutin harian harus dipatuhi dan diikuti sebaik mungkin untuk memastikan tahap kesihatan dikekalkan pada setiap masa.

Akhir kata:-

Andai kesihatan itu mahkota

Jagalah ia laksana tahta

Tatkala hilang, semuanya sirna

Apa yang ada tiada berguna

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.