Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Agama Teras Utama – Siri 15

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Agama Teras Utama – Siri 15

139
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Agama Teras Utama – Siri 15

‘pegangan paling penting…’

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dalam setiap kejayaan sudah pasti ada pendorong yang menjadi teras yang bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan tersebut. Kita sedia maklum bahawa setiap kejayaan walau sekecil manapun adalah denai, lorong dan jalan ke arah menuju suatu lebuhraya cemerlang. Tanpa jalan-jalan kecil ini sudah tentulah sukar untuk kita sampai ke lebuhraya yang dituju kerana kita tahu di depan rumah kita jarang sekali ada lebuhraya terus menuju ke sesuatu destinasi bukan. Walaupun seseorang itu tinggal berdekatan dengan lebuhraya tersebut, dia terpaksa melalui jalan-jalan kecil ini dahulu sebelum memasuki lebuhraya tersebut.

Begitu jugalah dengan kecemerlangan, ia memerlukan sokongan untuk kita berjaya sampai ke destinasi yang dituju. Ada beberapa teras utama yang ingin dikongsikan dalam segmen asas asas kecemerlangan kali ini. Untuk memudahkan perbincangan kita bahagikan kepada bebarapa bahagian, kali ini kita bicarakan satu sahaja dulu yaitu Agama. Untuk memberi sedikit kefahaman perkataan Agama dari Bahasa Sanskrit datang dari dua perkataan A (yang bermaksud ‘Tidak’) dan Gama (bermaksud ‘Kacau’). Jadi apabila digabungkan ianya menjadi TIDAK KACAU. Namun untuk orang Islam adalah lebih wajar menggunakan perkataan Ad Deen.

Setiap insan yang cemerlang harus faham bahawa tanpa agama, walau bagaimana berjaya sekalipun seseorang itu, mereka tidak akan mendapat ketenteraman jiwa. Hidup mereka akan sentiasa terumbang ambing bagaikan bahtera dipukul badai. Mereka akan sentiasa tercari-cari suatu kedamaian yang pasti tidak kesampaian tanpa suatu pegangan ugama yang benar dan kukuh.

Contoh yang nyata pada kita ialah bekas seorang penyanyi Inggeris yang sangat terkenal suatu masa dahulu iaitu Cat Stevens (yang satu ketika popular dengan lagu Wild World dan Morning Has Broken antaranya) yang sekarang digelar Yusuf Islam. Beliau telah sampai ke suatu mercu kejayaan yang diidam-idamkan oleh ramai penyanyi pada masa itu. Oleh kerana beliau sentiasa tercari-cari ketenteraman jiwa dan pada suatu ketika hampir lemas ketika sedang mandi di Pantai Malibu, beliau berjanji seandainya ombak yang telah menolaknya ke pantai adalah petanda dan kuasa dari Yang Maha Esa, beliau berjanji akan menghambakan dirinya pada agama tersebut. Dengan hidayat Allah yang telah membukakan hati beliau melalui Kitab Al Qur’an yang dihadiahkan oleh abangnya sewaktu hari lahirnya, akhirnya beliau telah masuk Islam dan menjadi pendakwah yang sangat terkenal di seluruh dunia atas usaha-usaha dakwah beliau.

Kita boleh ambil contoh yang ditunjukkan oleh beliau ini jelas menunjukkan  bahawa kejayaan yang beliau kecapi selama menjadi seorang penyanyi itu tidak dapat memberikan ketenteraman jiwa yang beliau cari. Kecemerlangan yang mutlak hanya akan dapat dinikmati apabila ada pegangan ugama.

Contoh-contoh negatif yang boleh kita dapati daripada ramai idola dalam bidang hiburan kerana pegangan ugama yang senteng ialah Bob Marley yang mati kerana menggunakan ganja dengan berlebihan, Kurt Kobain dari Nirvana yang juga mati kerana dadah yang berlebihan, Elvis Presley dan ramai lagi bintang bintang barat yang terjebak dengan gejala dadah kerana tidak ada pegangan ugama yang kuat. Begitu jugalah dengan ramai remaja kita yang juga mencari ketenteraman palsu menerusi penyalahgunaan dadah.

Hanya dengan pegangan agama yang kukuh yang didasari dengan rukun-rukun yang berteraskan Al Qur’an dan Hadis Shahih sahajalah yang dapat memastikan seseorang itu berada pada landasan yang betul menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. Andai seseorang itu berjaya dalam apa bidang sekalipun namun jika dia tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh, kejayaannya itu tidak akan memberikan kepuasan yang hakiki dan dia akan sentiasa tercari-cari ‘sesuatu’ sehingga dia mendapatinya atau dia akan akhirnya mati dalam keadaan tidak tenang (sesat) kerana jiwanya kosong.

Jelaslah kepada kita bahawa pegangan ugama yang kukuh adalah satu asas utama dalam mencapai kecemerlangan diri. Sebagai rangkuman, 3 perkara untuk kita renungi, hayati dan praktikkan: –

  1. Agama (Islam) adalah teras utama kepada pegangan kehidupan.
  2. Agama memberikan pedoman yakni panduan dalam melayari bahtera kehidupan dengan menerapkan rukun-rukun yang harus dipatuhi.
  3. Prinsip-prinsip dalam agama bukanlah bersifat spiritual semata-mata tetapi adalah nilai-nilai praktikal yang akhirnya akan menjadi saham akhirat yang berguna.

Akhir kata:-

Walau apapun kejayaan kita

Semuanya sekadar palsu sahaja

Andai pegangan Agama Islam bukan di dada

Usah berangan hidup dan mati bahagia

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين

Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.