Stesen Keretapi (lama) Bukit Berapit Berpotensi Sebagai Tempat Pelancongan – Warisan Negara
Padang Rengas – 3 Mac 2018, Program Kelestarian Warisan Alam 2018 telah dilangsungkan di Stesen Keretapi (lama) Bukit Berapit mendapat perhatian dan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan apabila menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah mewartakan ianya sebagai warisan negara.
Datuk Seri Mohamed Nazri berkata stesen keretapi yang telah tidak diguna sejak tahun 1989 ini diwartakan sebagai warisan negara agar usaha untuk memelihara dan memulihara dapat dilaksanakan dan menjadikan ianya sebagai salah satu produk pelancongan baharu.
Menurut beliau, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara akan berkerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi untuk membaiki semula dua bangunan yang terdapat di situ. Tambah beliau setelah bangunan ini siap diperbaiki, kementeriannya akan mengadakan beberapa siri program untuk mempromosi stesen berkenaan serta kawasan sekitar seperti air terjun dan empat terowong keretapi Bukit Berapit yang dibina pada tahun 1905.
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut merasmikan Program Kelestarian Warisan Alam 2018 ini, program dianjurkan oleh Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM).
Oleh Baharim Sukari