Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mendepani Pamasaran Digital – Siri 44 ‘impak media sosial…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Mendepani Pamasaran Digital – Siri 44 ‘impak media sosial…’

296
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tak dapat tidak, perubahan lanskap politik, ekonomi dan sosial telah banyak memberi kesan samada negatif mahupun positif kepada pola pemikiran manusia yang menjadikan mereka samada jumud atau semakin kreatif dalam mendepani arus perubahan ini khususnya dalam bidang pemasaran. Pemasaran digital yang suatu ketika dahulu dianggap mahal, kompleks dan agak futuristik hari ini merupakan janakuasa yang sangat penting dan kritikal dalam menentukan jatuhbangun sesebuah syarikat atau jenama di pasaran. Mereka yang terlibat dalam dunia keusahawanan samada sebesar-besar syarikat korporat sehinggalah sekecil-kecil peniaga pasar malam dan tepi jalan semuanya sedar bahawa jalan keluar dari kemelut perniagaan masing-masing ialah menjadikan pemasaran digital sebagai senjata ampuh mereka untuk terus bersaing di pasaran.

Justeru itu, setiap organisasi baik yang kecil mahupun yang besar serta setiap individu sudah, sedang atau wajib mengambil langkah proaktif untuk mempertingkatkan ilmu dan kemahiran mereka dalam menampakkan ‘kehadiran’ mereka di pelbagai platform media sosial yang sekarang menjadi medan peperangan yang begitu sengit dengan pelbagai bentuk promosi yang ditawarkan untuk menarik perhatian pelanggan. Seringkas-ringkas menggunakan aplikasi antaranya WhatsApp, FB, IG, TikTok dan lain-lain aplikasi untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan, grafik dan gambar yang menarik begitu galak memenuhi setiap wall atau page peniaga-peniaga ini. Penggunaan video sebagai media pemasaran juga semakin menjadi-jadi dengan aksi-aksi yang menarik dan tak kurang juga yang di ‘luar kebiasaan’ untuk melariskan produk-produk mereka.

Maka dengan keperluan untuk menambah ilmu dan kemahiran ‘social-media savvy’ ini bermunculanlah pula kursus-kursus online untuk memberi panduan, tip-tip mudah dan tunjukajar kepada para usahawan digital ini agar mereka lebih cekap dan berkesan dalam mengoptimakan platform yang digunapakai untuk dimanfaatkan sewajarnya (antaranya yang dianjurkan oleh SC Creative yang diterajui oleh Coach Baharim Sukari). Ini kerana hanya dengan membuat posting samada di WA, FB atau IG semata-mata belum mencukupi untuk menjadikan produk-produk yang dipasarkan itu ‘viral’. Copywriting yang menarik, memukau dan menjadi trend juga semakin berleluasa antaranya ‘Open Order’, ‘Selit Order’, ‘Last Call’, ‘Special ke sangat special?’, ‘Best ke sangat best?’ dan ‘Nak ke nak sangat?’ semakin menjadi antara tagline popular untuk memikat pelanggan.

Tentu sahaja pemasaran digital di alam maya ini telah mengubah permainan pengiklanan yang selama ini dimonopoli dan didominasi oleh syarikat-syarikat gergasi suatu masa dahulu namun hari ini hanya berbekalkan talian internet, luangan masa dan sedikit daya kreatif sudah cukup untuk memberi impak yang kadangkala lebih menggegarkan berbanding syarikat-syarikat iklan yang mengenakan harga puluhan malah ratusan ribu ringgit suatu masa dulu. Hari ini iklan sudah semakin murah atau hampir percuma bergantung kepada kaedah yang digunapakai. Yang penting adalah memahami cara permainan pemarasan tersebut berdasarkan apa yang dipanggil ‘social media algorithm’ iaitu pengaturcaraan setiap aplikasi menapis setiap hantaran (posting) dan memaparkannya mengikut kesesuaian hantaran tersebut di platform mereka dan berdasarkan ‘keuntungan’ yang mereka akan perolehi dari hantaran tersebut.

Insan cemerlang adalah mereka yang juga cakna tentang pemasaran digital alaf ini yang memerlukan mereka untuk mengambil langkah-langkah ‘reskilling’ atau ‘upskilling’ dalam memasarkan diri dan bidang mereka masing-masing. Pada mereka tidak ada yang perlu dimalukan dalam berusaha untuk menambah dan meningkatkan ilmu digital ini walaupun mereka sendiri harus menjadi anak murid kepada anak murid mereka sendiri pada suatu masa dahulu kerana bidang yang berbeza. Pendidikan silang (Cross teaching/learning) adalah juga antara keperluan dalam mendepani pemasaran digital masakini untuk memastikan kita sentiasa terkini di pasaran.

Gunalah apa sahaja platform, gaya, cara atau kaedah yang sesuai untuk memasarkan produk dan perkhidmatan kita asal saja kita mematuhi syariah, undang-undang, kehendak dan keperluan pelanggan tanpa melanggar batas-batas dan norma kehidupan manusia sejagat. Kebanyakan kita tak pandai bukan kerana kita ditakdirkan tidak pandai tapi kerana kita tidak berani mengambil langkah pertama untuk belajar. Insan cemerlang adalah mereka yang berani melawan perasaan malu dan malas untuk keluar dari zon selesa, mengambil risiko dan terus berusaha sehingga mereka menjadi yang terbaik dalam bidang mereka. Pasarkanlah diri kita dan produk kita sendiri sebab tiada orang yang akan memasarkan untuk kita dan tiada kaedah lain daripada terjun ke alam digital…

Sebagai rangkuman: –

  1. Kita harus peka dengan pemasaran digital yang sudah lama mendapat tempat di hati pengguna dan tahu bagaimana untuk memanfaatkannya samada sebagai usahawan atau sebagai pengguna media sosial.
  2. Ilmu tentang penggunaan media sosial harus dipertingkat dengan mengikuti kursus-kursus online agar seiring dengan perkembangan semasa.
  3. Dalam membuat pemasaran, kita harus mematuhi piawaian Syariah, undang-undang negara dan beretika dalam pengiklanan atas tidak melampaui batas-batas kehidupan manusia.

Iklan dulu, iklan sekarang

Ramai yang jujur, tak kurang yang temberang

Promosi harian besar-besaran

Media sosial medan peperangan

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.