Home Inspirasi Niaga Razanatasha usahawan kraftangan dari suka-suka kini mampu menjana mendapatan sendiri

Razanatasha usahawan kraftangan dari suka-suka kini mampu menjana mendapatan sendiri

670
0

Oleh: Nor Wahidah Binti Azmi

Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang sewaktu PKP dengan menghasilkan pelbagai jenis kraftangan seperti penulisan khat, pelekat peti sejuk dan resin, seorang bekas mahasiswi Kolej Antarabangsa Restu yang juga merupakan usahawan baru dalam dunia perniagaan kraftangan mula dikenali ramai setelah muncul di kaca TV pada tahun lepas.

Gambar Raza bersama produk resinnya semasa penggambaran WHI

Razanatasha binti Rahim, 26 atau mesra disapa Raza, berkata bermula tempoh PKP lagi, beliau aktif melakukan aktiviti suka-suka membuat barangan kraftangan bersama adik-beradik dan sepupunya. Beliau juga mendapat ilham untuk menghasilkan karya seni sendiri selepas mengikuti perkembangan pembuatan kraf tangan resin melalui Youtube.

“Sejak di pengajian tinggi lagi, saya amat cenderung kearah bidang seni, sudah lama saya ingin cuba membuat kraftangan resin ini. Oleh itu, semasa dalam tempoh PKP, saya berpeluang untuk belajar menghasilkan produk resin ini

“Saya masih dalam proses belajar, mencari bahan–bahan yang sesuai dan mencuba teknik yang lebih efektif untuk saya menghasilkan produk-produk yang lebih baik” katanya.

Menurut Raza, Resin art inj merupakan kraftangan yang baru dan menarik serta mempunyai kelainannya yang tersendiri namun produk-produk ini sukar didapati di Malaysia. Lain pula cerita di luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Kraftangan resin sangat popular dikalangan masyarakat Eropah bahkan mereka menyanjung tinggi akan budaya seni mereka.

Berasal dari Kuala Lumpur, wanita yang cukup berbakat ini berkata salah satu cara untuk beliau memanfaatkan bakatnya dalam bidang seni adalah dengan membuat hadiah atau membungkus hadiah yang dibeli dengan cara seninya yang tersendiri kepada ahli keluarga dan rakan-rakan rapat.

“Pada permulaannya saya bingung bagaimana hendak tarik perhatian orang ramai mengenai produk saya dan dalam waktu yang sama juga ayah saya bertanya mengenai perancangan saya selepas belajar”

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keesokkan harinya beliau  dihubungi oleh pihak TV3 bagi berpeluang mempromosikan produk jualannya.

Pengalaman muncul di TV ibarat dream come true ini sekaligus membuka peluang buat beliau untuk meraih ramai pelanggan.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam industri kraf tangan, Raza berkata “Modal adalah cabaran utama saya untuk memulakan bisnes. Sebelum saya aktif menjual produk kraftangan resin, saya mula menjual tulisan khat dengan hanya menggunakan bahan yang sedia ada sahaja bagi mendapatkan modal yang mencukupi untuk membeli bahan mentah resin.

Frame khat yang diusahakan Raza sebelum bergiat aktif menjalankan produk kraf tangan resin

“Saya juga teliti dalam memilih bahan yang sesuai. Oleh kerana, bahan resin di Malaysia dan di luar negara tidak sama malah ada juga yang mahal harganya, maka ia adalah salah satu cabaran saya dalam menentukan bahan yang terbaik untuk menghasilkan produk resin.

“Sebelum ini saya banyak bergantung permintaan dari sahabat dan keluarga saya, sahabat saya juga banyak memberi tunjuk ajar cara-cara untuk menguruskan hal-hal pembungkusan produk” katanya

Ditanya mengenai kisah sebelum beliau menjejak kaki ke dunia perniagaan, Raza merupakan seorang bekas penuntut bidang perubatan di Mesir.

“Alhamdulillah, ibubapa saya banyak memberi sokongan dan kata-kata semangat untuk saya kembali menyambung pengajian dalam bidang seni di Malaysia, malah saya lebih bersemangat dan gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang” ujarnya

Beliau juga berkata turut bersyukur dengan pelanggan yang memahami proses pembuatan produk resin yang mengambil masa lama, iaitu antara 2 hingga 3 minggu untuk disiapkan.

“Bahan asas produk resin ini ialah cecair resin, ia agak berbahaya dan baunya boleh menganggu saluran pernafasan, jadi saya perlu membuatnya di tempat yang terasing” katanya lagi

Raza berkata, semua produk kraftangan di bawah jenama produknya, Raza Art seperti pelbagai jenis rantai kunci yang ada berbentuk bulat dan huruf, rantai, set alas cawan, sikat rambut, penanda buku dan yang terkini ialah phone case, berasaskan cecair resin, kemudian ditambah dengan kreativiti yang ada padanya bagi menghasilkan kelainan dan variasi yang mampu memenuhi kehendak pelanggan.

Pelbagai jenis kraftangan resin yang dihiasi dengan bermacam aksesori seperti bunga dan gold flakes

Beliau juga merancang untuk menambah dua produk pada setiap bulan dan bakal menambah pekerja pada masa hadapan jika perlu.

“Keunikan produk kraftangan yang saya tawarkan adalah cara pembungkusan produk seperti bungkusan hadiah yang unik dan estetik serta penjagaan kualiti produk. “Saya sangat menititikberatkan kualiti produk kerana saya menganggap setiap satu produk yang dihasilkan adalah karya seni saya sendiri.

“Saya lebih selesa memilih bentuk perniagaan online kerana ia amat popular dan digemari oleh semua lapisan masyarakat masa kini, Lebih-lebih lagi, pada situasi sekarang kita tidak boleh bebas bergerak jadi ramai yang membeli secara online.

“Perniagaan online juga lebih mudah untuk beroperasi dan saya juga tidak perlu keluar untuk membeli bahan-bahan resin” katanya ketika ditemu ramah melalui telefon, baru-baru ini.

Raza turut mengakui tidak menyangka bahawa produk kraftangan resin yang beliau asaskan di rumahnya, mendapat sambutan yang meluas

Pengalaman dalam menjalankan bisnes sendiri bukan sahaja mengubah taraf hidup beliau bahkan membantu mencapai matlamat beliau untuk meneroka pelbagai keindahan karya seni kelak.

Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, prinsip ini yang sentiasa dipegang oleh pengasas Raza Art yang berjiwa besar dalam membangunkan perniagaan sendiri. Oleh itu, beliau turut menzahirkan perancangan itu penting untuk memulakan perniagaan.

“Pesanan saya teruskan gigih berusaha, walau ada cabaran yang tidak kita duga, sama ada kita berjaya atau kita perlu menghadap jatuh bangun dalam sesebuah perniagaan, kedua-duanya amatlah berharga bagi saya” katanya mengakhiri perbualan.

Bagi sebarang pertanyaan dan sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghantar pesanan melalui laman sosial media Instagram, razanatasharahim atau menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ di talian +60127735981.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.