Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Nilai Sebuah Pengorbanan – Siri 22

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Nilai Sebuah Pengorbanan – Siri 22

651
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Nilai Sebuah Pengorbanan – Siri 22
mudah dikata, payah dikota…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Memang benarlah apabila kata-kata itu mudah dilafazkan namun ianya tidak semudah yang disangka apabila tiba masa untuk dikotakan. Setiap manusia sudah pernah berkorban dari yang sebesar-besarnya sehingga sekecil-kecilnya. Sejak zaman kedatangan Islam untuk membawa manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya lagi, pengorbanan yang Baginda Rasullulah SAW telah lakukan bersama para sahabat tidak terbanding dengan pengorbanan kita yang terlalu kecil. Mungkin pada pandangan sesetengah manusia, ianya telah cukup besar contohnya menderma atau bersedeqah berjuta ringgit, mewaqafkan harta contohnya tanah dan rumah, membantu orang miskin dan anak yatim dan berbagai-bagai lagi amal bakti yang dilakukan atas nama persaudaraan dan kemanusiaan. Namun pada hakikatnya, pengorbanan Baginda Rasullulah SAW dan para sahabat jauh lebih besar kerana ianya melibatkan bukan semata-mata harta benda tapi mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi menegakkan aqidah Islam dalam rangka mentauhidkan Allah SWT.

Setiap insan yang ingin bergelar cemerlang sudah barang pasti melalui pelbagai fasa cobaan yang getir dalam kehidupan mereka. Dari pengorbanan harta benda, masa, tenaga, dan pelbagai lagi perkara temasuk kadangkala terpaksa mengorbankan prinsip hidup, ego dan emosi dalam mengejar kecemerlangan hidup. Ada yang terjebak dengan najis pelbagai bentuk jenayah demi harta dan tahta, ada yang sanggup menggadai maruah diri dan tak kurang juga yang sanggup mengenepikan agama demi nikmat dunia yang sementara.

Ya betul, sekarang bukan Bulan Dzulhijjah, musim Haji atau musim Qurban namun apabila bercerita tentang pengorbanan, ianya tidak perlu hanya dibicarakan pada waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia adalah sesuatu yang perlu dan pasti sepanjang masa. Bayangkan seorang ibu yang sedang membesarkan anak-anaknya. Mungkin ibu tersebut adalah ibu kita sendiri, isteri kita, anak kita atau sesiapa sahaja yang bergelar ibu. Sejak bermulanya kehamilannya, pelbagai ujian terpaksa dilaluinya daripada perasaan mual di pagi hari, perubahan hormon yang tidak menentu, perasaan mengidam sesuatu yang kadangkala tak kesampaian dan pelbagai lagi cabaran yang terpaksa dilalui demi memastikan kelangsungan hidup janin yang berada dalam kandungannya.

Kemudian Si Ibu terpaksa pula bertarung nyawa sewaktu saat melahirkan anak tersebut sehinggalah bayi tersebut dilahirkan ke dunia ini. Bermulalah pula fasa kedua dalam proses membesarkan anak tersebut yang seterusnya melalui fasa-fasa berikutnya iaitu dari peringkat bayi kepada kanak-kanak kepada remaja kepada dewasa sehingga apabila sudah berumahtanggapun, kasih ibu tetap sama dalam memastikan kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak walaupun mereka sudah boleh berdikari dan sudah ada yang mampu mengambilalih tugas Si Ibu tadi. Itulah nilai pengorbanan seorang Ibu kepada anak-anaknya.

Insan yang cemerlang itu adalah mereka yang tidak memikirkan sangat apa yang telah mereka korban tetapi mereka lebih mementingkan apa yang orang lain telah korbankan untuk mereka dan untuk kemaslahatan kepada orang lain. Insan yang cemerlang meletakkan nilai orang yang berkorban ini lebih tinggi dari diri mereka sendiri kerana mereka sedar tanpa pengorbanan orang lain, tak mungkin mereka akan dapat mengecapi kejayaaan dan kecermerlangan hari ini. Oleh sebab itulah, insan cemerlang adalah mereka yang sentiasa meletakkan nilai ibubapa, keluarga, guru, para asatizah dan semua mereka yang telah memberi dan menabur baja jasmani dan rohani sebagai orang-orang yang mulia.

Terlalu banyak pengorbanan mereka di luar sana yang tak mungkin dapat kita balas seperti anggota-anggota keselamatan kita di perbatasan (Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Marin, Jabatan Laut, Pasukan Gerakan Am, Kastam, Imigresen, JPAM dan agensi-agensi lain yang terlibat) sementara di dalam negara pula pasukan keselamatan dan perubatan yang terdiri dari para doktor, jururawat, petugas-petugas perubatan, hospital dan juga anggota-anggota keselamatan yang mengawal pos-pos laluan keluar-masuk pula tak henti-henti bertungkus-lumus melaksanakan gerak kerja masing-masing demi membasmi pandemik yang sedang bermaharajalela tatkala ini. Samada yang kelihatan di barisan hadapan mahupun yang di barisan belakang, semuanya berkorban masa, tenaga dan nyawa demi manfaat bersama.

Berapa ramai di antara mereka yang terpaksa berjauhan dari isteri/suami, anak-anak dan keluarga? Berapa ramai yang terpaksa bersengkang mata tak tidur berhari-hari? Berapa ramai yang terpaksa kadangkala memberi alasan kepada anak-anak mengapa mereka tidak dapat pulang untuk bersama dengan kesayangan mereka? Berapa ramai yang membendung perasaan dan mengalirkan airmata di belakang umum namun terus menampakkan kekuatan dan keberanian serta semangat yang kental demi memperjuangkan keselamatan dan kebahagiaan orang lain? Inilah insan-insan cemerlang yang tak meminta untuk diberi pingat, pangkat atau darjah kebesaran kerana mereka melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka seikhlas hati namun apalah salahnya jika kita sekurang-kurangnya memberi penghargaan kepada mereka?

Mereka inilah hero-hero sebenar yang ibarat lilin yang membakar diri demi menerangi kegelapan. Sanggup menjadi jambatan selamat. Rela menjadi pelindung masyarakat. Ramai lagi pelakon-pelakon belakang tabir yang tidak bernama seperti para guru, para asatizah, sukarelawan-sukarelawan NGO dan para penderma yang banyak menyumbang telah turut berkorban demi memberi bantuan material mahupun sokongan moral bukan sahaja atas nama agama tetapi juga atas nama kemanusiaan. Inilah pengorbanan yang tiada taranya. Apapun pada penghujungnya, insan yang cemerlang itu adalah mereka yang tidak akan mengucapkan atau mengungkit apa yang telah dikorbankannya tapi apa lagi yang boleh dikorbankannya…

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan dengan pengorbanan agas kita sama-sama mendapat pelajaran:

  1. Setiap insan pasti melalui saat-saat pengorbanan pada setiap fasa kehidupan mereka dan mereka harus pasrah dengan ketentuan Ilahi.
  2. Sentiasalah berfikir apa yang orang lain korbankan daripada memikirkan apa yang kita korbankan. “Stop being selfish. Start being selfless!”
  3. Hargailah mereka yang telah berkorban untuk kita khususnya, ayah bonda, isteri atau suami, anak-anak, guru-guru dan mereka yang terdekat mahupun mereka yang tidak terlihat.

Akhir kata: –

Sebut di bibir, mudahnya bicara

Namun hakikatnya payah dilaksana

Membanting tulang, bersabung nyawa

Itulah pengorbanan yang tiada taranya

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.