Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ganjaran Pencetus Motivasi – Siri 20

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ganjaran Pencetus Motivasi – Siri 20

357
0

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ganjaran Pencetus Motivasi – Siri 20
mencari kepuasan hakiki…

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Hari demi hari kita terus melangkah dari satu tahap ke satu tahap dalam mencari sesuatu yang kadangkala kita sendiri tidak pasti. Bagi mereka yang telah mencapai kejayaan samada dari segi pendidikan, kerjaya, harta benda, rumahtangga dan sebagainya, mereka pasti akan terus mencari dan mencari sesuatu bentuk kepuasan diri. Andai sudah ada kelayakan pendidikan tertinggi, wang berjuta atau berbillion, punya perniagaan yang berjaya, punya rumah dan kereta mewah, punya keluarga bahagia dan pelbagai lagi kejayaan, apakah lagi yang ingin dicari oleh insan sebegini?  Kali ini kita memperkatakan pula asas seterusnya dalam langkah-langkah kita menelusuri kecemerlangan iaitu ganjaran. Semua orang yang cemerlang bekerja untuk mendapat ganjaran yang lumayan. Ganjaran ini tidaklah hanya dari segi kewangan, ianya termasuk pengiktirafan keluarga, syarikat, masyarakat dan kadangkala dunia.

Kita sedia maklum, seseorang itu bekerja ialah untuk mencari nafkah hidup. Nafkah ini tentulah dari ganjaran yang diterima dari penat lelah beliau sepanjang satu bulan yang lepas (andai ada yang mendapat upah atau gaji 2 minggu sekali, maka 2 minggu sekali lah dia akan mendapat ganjaran tersebut). Di sini kita dapati bahawa pada asalnya tujuan utama itu ialah sebagai mata pencarian untuk untuk kehidupan.

Apabila pekerjaan tersebut pula berbentuk perniagaan, barulah ianya termasuk dalam kategori yang lain seperti untuk mencapai matlamat hidup, memahat nama dalam industri yang diceburi dan status dari pandangan masyarakat kerana wang memainkan peranan yang sangat penting di dalam menentukan status seseorang dari pandangan masyarakat. Ini tidak bermaksud bahawa orang yang makan gaji atau berpendapatan rendah tidak dihormati orang tetapi orang yang bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan sendiri dan mencapai kejayaan akan lebih mendapat penghormatan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Insan yang cemerlang melihat ganjaran dari satu sudut yang berbeza. Ianya dijadikan kayu pengukur untuk diri sendiri di mana mereka dapat membandingkan keupayaan mereka dengan orang lain untuk terus berusaha memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti usaha mereka. Ianya juga menjadi penyebab kepada motivasi diri mereka untuk lebih kuat berusaha dan lebih gigih dalam menggali kecemerlangan diri.

Jika kita lihat ganjaran dari satu sudut lain pula iaitu yang tidak berkaitan dengan wang, ganjaran yang diterima mungkin didapati dalam bentuk pangkat. Di Malaysia misalnya, penganugerahan pangkat atau darjat kebesaran sudah menjadi lumrah terutamanya di hari-hari perayaan tertentu ataupun selalunya pada Hari-hari Keputeraan Sultan-sultan di sesebuah negeri ataupun pada Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agong untuk peringkat kebangsaan. Pengurniaan darjah darjah kebesaran yang membawa berbagai-bagai gelaran ini menjadi satu pengiktirafan untuk seseorang individu sempena jasa yang telah penerima-penerima tersebut lakukan. Ia juga mungkin berbentuk sumbangan beliau kepada negeri ataupun negara.

Dari satu sudut yang lain pula, kita dapati ganjaran yang paling besar yang boleh diperolehi oleh seseorang individu itu ialah dalam mengecapi kepuasan diri. Mungkin berbentuk kepuasan diri iaitu kepuasan apabila melihat sesuatu yang beliau lakukan selama ini membuahkan hasil yang lumayan contohnya seorang petani yang gembira melihat tanamannya yang menghijau ataupun seorang nelayan yang pulang dengan tangkapan yang besar. Seorang pengarah filem pula ingin melihat hasil karyanya dapat menyentuh jiwa penontonnya dengan mesej yang ingin disampaikan dan memenangi anugerah-anugerah tertentu di festival-festival filem tertentu. Bagi seseorang yang cintakan ilmu, dia sanggup bersengkang mata untuk mentelaah buku-buku pelajaran untuk mencapai kejayaan peringkat demi peringkat sehingga ke tahap seorang Doktor atau Professor demi menggapai impiannya. Bagi seorang guru pula, tiada yang lebih memuaskan daripada melihat anak didiknya menjadi insan yang berjaya menempa kecemerlangan dalam industri apa sekalipun. Beliau mungkin tidak mendapat sebarang bayaran atau imbalan namun cukup dengan merasa bangga bahawa inilah hasil didikannya selama ini walaupun kadangkala anak didiknya itu sudah tidak mengenali beliau lagi.

Jika kita merujuk kepada Teori Hierarki Keperluan Abraham Maslow, manusia secara fitrahnya akan memenuhi keperluan secara bertahap yakni: –

Fisiologi – makanan, minuman, tempat tinggal, seks dan asas kehidupan yang lain

Keselamatan – pelindungan dari haiwan buas, pagar keselamatan, simpanan, insurans dsb

Kasih Sayang – inginkan pasangan hidup, anak-anak dan orang-orang yang ingin disayangi

Maruah – pengiktifaran, pangkat, kedudukan, status, masyarakat

Jati Diri – memenuhi fitrah kehidupan yang sebenar iaitu memahami kenapa dia dilahirkan contohnya seorang pelukis yang suka melukis sehingga akhir hayatnya bukan kerana wang ringgit atau harta tapi itulah hakikat dirinya. Ramai insan yang cemerlang akhirnya sedar kenapa dia dilahirkan, kenapa dia memilih jalan hidupnya dan kenapa dia berjaya dalam kehidupan ialah untuk membantu orang lain. Sebab itu ramai orang-orang yang berjaya selalunya mempunyai Yayasan yang ditubuhkan untuk menyalurkan dana dan bantuan kepada yang memerlukan. Inilah antara ganjaran paling besar yang mereka ingin nikmati iaitu menyumbang kepada masyarakat samada tempatan ataupun pada tahap global dan ianya sangat penting dalam menjadi pemacu dan pencetus motivasi diri.

Walau apapun aspek yang dilihat mengenai ganjaran, ianya tetap terpulang kepada seseorang individu itu untuk menentukannya. Yang pasti ianya menjadi satu asas yang amat penting dalam memacu seseorang insan untuk mencapai kecemerlangan.

Sebagai rangkuman, mari kita renungi kembali, hayati dan berusaha untuk mempraktikkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran:

  1. Ganjaran merupakan sesuatu yang sentiasa dicari dan diburu oleh manusia. Ianya berbeza antara seseorang individu dengan yang lain.
  2. Ganjaran secara umumnya adalah secara bertahap yakni pada mulanya untuk memenuhi keperluan asas diri dan akhirnya mungkin berubah untuk memberi manfaat kepada orang lain.
  3. Ganjaran adalah pencetus kepada motivasi diri dalam mencari kepuasan yang hakiki.

Akhir kata: –

Terkadang kabur terkadang nyata

Suatu kepuasan untuk manusia

Mencari jawapan diri sendiri

Itulah ganjaran yang kita cari

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.