MENELUSURI KECEMERLANGAN: Ilmu Tangga Kecemerlangan – Siri 12
‘cahaya penyuluh kehidupan…’
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sudah banyak perkara yang diperkatakan tentang kecemerlangan. Memang banyak perkara yang kita perlukan dalam hidup ini untuk mencapai kecemerlangan tersebut tetapi suatu perkara yang sudah semestinya menjadi kunci untuk mencapai kecemerlangan yang mutlak ialah ilmu. Sememangnya kita tidak dapat menyanggah ayat pertama yang diturunkan iaitu Iqra’ yang bermaksud ‘Bacalah’, begitu jugalah dengan pepatah Inggeris yang berbunyi ‘Knowledge is Power’ atau ‘Ilmu itu Kuasa’ untuk menunjukkan betapa pentingnya ilmu itu.
Contohnya sebagai DJ Radio, seseorang itu perlu ilmu penyiaran yang mantap. Ilmu seperti mengendalikan peralatan dalam studio, bagaimana hendak menangani setiap soalan daripada para pendengar, bagaimana hendak berhubungan dengan penerbit, ilmu untuk menulis surat dan berbagai-bagai lagi ilmu sampingan lain yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.
Di rumah juga begitu, seseorang itu harus mempunyai ilmu untuk memasak, mencuci, mengemas, menghias, mencantik, menjaga bayi dan berbagai-bagai lagi perkara yang berkaitan dengan rumah tangga walaupun kadangkala sebahagian daripada kita merasakan bahawa kita tidak perlu ilmu untuk perkara-perkara yang dipandang remeh ini. Itu satu tanggapan yang salah. Ilmu hal ehwal rumahtangga juga merupakan antara cabang ilmu yang sangat penting dalam menjaga keharmonian rumahtangga apalagi sekarang ini rumahtangga tidak lagi diurus hanya oleh kaum Hawa tetapi juga kaum Adam.
Ini semuanya datang apabila kita belajar sendiri dengan mempraktikkannya setiap hari ataupun diberi tunjukajar oleh orang yang lebih mahir. Pendeknya tidak ada ilmu kehidupan yang tidak penting. Ada sesetengah orang pandai bekerja di pejabat namun tidak tahu membuat kerja di rumah dan ada pula yang sebaliknya. Ini sesuatu yang tidak wajar kerana semuanya adalah perkara-perkara penting dalam kehidupan untuk mencapai kecemerlangan.
Seseorang insan yang cemerlang itu selalunya adalah seorang yang serba boleh. Janganlah kita mengambil mudah tentang perkara-perkara yang tidak penting kepada kita misalnya ada sesetengah ‘boss’ atau majikan yang tidak tahu menggunakan komputer dengan baik (walaupun di era siber dan digital sekarang ini) hanya kerana mereka merasakan bahawa mereka mempunyai setiausaha untuk melakukan semua perkara-perkara tersebut. Apa akan terjadi apabila setiausaha sakit atau bersalin atau berhenti tiba-tiba kerana tidak setia lagi dan tidak mahu berkerja lagi untuk majikan tersebut? Tentunya majikan tersebut akan menjadi kelam kabut dan terpinga-pinga sendirian memikirkan apa yang perlu dibuat kan?
Kadangkala kita tidak mengetahui bilakah yang kita akan memerlukan sesuatu ilmu tersebut sehingga tiba pada satu hari atau keadaan tertentu namun kita harus tahu kepentingan sesuatu ilmu tersebut dengan keadaan semasa andai kita ingin mempelajarinya. Contohnya ilmu menerbitkan video dari mula yakni membuat penggambaran sehinggalah suntingan sudah hampir menjadi keperluan kerana ianya memudahkan banyak hal seperti membuat video-video tutorial, untuk tujuan pemasaran atau untuk tujuan rekod yang boleh disimpan untuk jangkamasa yang lama. Ianya bukan lagi hanya terbatas pada mereka yang berkecimpung dalam bidang penyiaran sebagaimana satu Ketika dulu. Pokoknya hari ini belajar ‘ini’, esok kita belajar ‘itu’ pula dan seterusnya, in shaa Allah kita akan menjadi mahir dalam bidang ilmu tersebut suatu hari nanti.
Ilmu adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam sebagaimana seperti hadis Rasullulah SAW yang berbunyi: ‘Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap individu muslim.’ Maka janganlah sekali-kali kita mengabaikannya. Masyarakat akan sentiasa memandang tinggi orang yang berilmu walaupun tidak berharta namun tidak semestinya menghormati orang yang berharta tetapi tidak berilmu.
Dalam banyak contoh yang oleh kita lihat, setiap insan yang berjaya dan cemerlang itu mempunyai ilmu yang cukup tinggi walaupun sesetengah daripada mereka mungkin tidak mempunyai ilmu akademik atau melalui pendidikan formal tetapi mereka mempunyai ilmu praktikal serta pengalaman yang telah membawa mereka ke mercu kecemerlangan.
Walaupun perkara yang kecil sekalipun misalnya mengetahui bahawa singkatan nama yang terpanjang di dunia iaitu ‘Syarikat Kerjasama Orang Orang Melayu Kerajaan Hilir Perak Sama Sama Kerana Jimat Cermat Simpanan Dan Pinjaman Wang Dengan Tanggungan Berhad’ (SOMKHPSKJCSSDPWDTB) yang diasaskan pada tahun 1923 berasal dari Teluk Intan, Malaysia dan termasuk di dalam senarai Guiness Book of World Record. Walaupun ianya hanya trivia, namun ia tetap masuk dalam kategori ilmu. Tak perlulah hafal ya, Goggle sajalah kalau nak tahu lebih lanjut lagi…
Sebagai kesimpulan, 3 perkara yang boleh kita renungi bersama
1. Ilmu yang bermanfaat merupakan asas kecemerlangan kehidupan dunia dan akhirat.
2. Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu kebodohan dan sia-sia.
3. Amalkan ilmu yang dipelajari dan sampaikanlah walaupun hanya sepotong ayat.
Ibarat dalam kegelapan malam, ilmulah yang menjadi penyuluh perjalanan kehidupan kita ini. Mungkin suatu hari nanti ilmu yang kita rasa remeh itulah yang barangkali akan menyelamatkan kita. Renung-renungkanlah.
Setiap insan ingin berbakti
Untuk negara, keluarga & diri sendiri
Tuntutlah ilmu setiap hari
Nescaya cemerlang hidup kita nanti
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya…
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474