MENELUSURI KECEMERLANGAN Menghadapi Cabaran Masakini – Siri 4
‘membentuk minda positif…’
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Al Baqarah (2) ayat (32)
Dengan nama Allah SWT dan ilham dan petunjuk dari Nya…
Tidak ada apapun yang akan berlaku melainkan ianya bermula dari satu impian, visi atau pemikiran dari dalam minda manusia (yang pastinya dilihamkan oleh Allah Yang Maha Esa) sebelum perkara tersebut menjadi kenyataan.
Kebanyakan masa, orang ‘biasa-biasa’ sentiasa memikirkan perkara-perkara yang negatif. Insan cemerlang pula selalunya memandang sesuatu perkara yang selalunya kita rasa negatif dengan satu pendekatan yang positif. Contohnya apabila kita menonton atau mendengar sesuatu ceramah di TV, Radio atau di mana sahaja, jangan kita pertikaikan perkara-perkara yang tidak baik seperti ‘penceramah tu membosankan’ atau ‘cara penyampaiannya tak jelas’ atau apa sahaja yang memberikan gambaran negatif sebaliknya kita harus mengambil perkara-perkara yang baik dari ceramah tadi yang boleh memanfaatkan diri kita walaupun mungkin perkara itu kecil.
Kadangkala kita leka dengan diri kita sendiri, apabila sesuatu perkara buruk, tidak elok atau tidak menepati apa yang kita harapkan terjadi, kita sentiasa menyalahkan orang lain takdir atau keadaaan itu sendiri.
Kita lupa bahawa kita berkemampuan untuk mengubah keadaan tersebut. Jikalau kita hanya mencari kelemahan atau kesalahan keadaan, kita tidak akan beroleh apa apa kejayaan, jauh sekali kecemerlangan. Apa yang harus kita lakukan ialah, membuat kunci kira kira (balance sheet) kekuatan dan kelemahan kita.
Fokus kita walaubagaimanapun haruslah kepada kekuatan kita. Contohnya kita harus bersyukur (bukannya berbangga diri) dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Yang pertama kita dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak ramai orang yang bertuah dapat dilahirkan Islam, ada yang masih mencari cari cahaya Islam itu. Jadi sebagai seorang Islam, kecemerlangan telah ujud dalam diri kita sebaik sahaja kita dilahirkan.
Kita harus bersyukur kerana kita telah dilahirkan di dalam satu tamadun yang mempunyai nilai nilai sosial & moral yang begitu tinggi sekali. Apabila kita bersyukur selalu, kita akan merasa lebih gembira dan orang orang yang gembira akan selalu melakukan sesuatu perkara itu dengan lebih gigih, seronok dan teruja. Orang yang teruja ini akan melupakan masalah yang mereka hadapi sebaliknya mereka akan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut yang dimulakan dari minda mereka yang positif.
Di sinilah maksud mengubah keadaan tadi. Kita ubah keadaan yang sedia ada dengan mengambil tindakan bukannya hanya duduk memikirkan masalah tersebut. Ada 3 cara menyelesaikan masalah.
- Lupakan sahaja masalah tersebut – ini untuk jangkamasa sementara sahaja, masalah tersebut pasti akan kembali lagi, contohnya – hutang, masalah perhubungan terutamanya dengan ahli keluarga terdekat dan masalah di tempat kerja.
- Serahkan atau minta orang lain selesaikan masalah tersebut, yakni berbincang dan kemudian serahkan kepada sesiapa yang sanggup menerima dan menyelesaikan masalah tersebut, contohnya kita tak dapat menghadiri satu majlis yang penting kerana sesuatu sebab yang lebih penting, maka kita minta orang lain mewakili kita.
- Kenalpasti dan tangani masalah yang dihadapi tetapi hanya sebanyak 5% dari masa yang diperuntukkan, selebihnya iaitu 95% ialah untuk mencari alternatif alternatif menyelesaikan masalah tersebut.
Dengan cara ini kita akan dapat memanfaatkan masa kita dan yang lebih penting lagi, kita akan dapat mengubah keadaan yang sedang kita alami untuk menjadikan ianya lebih baik barulah kita akan beroleh kecemerlangan.
Insan yang cemerlang bukanlah merupakan mereka yang tidak melalui liku-liku atau ujian hidup. Lebih banyak cabaran yang dilalui, lebih banyak pengalaman dan kecemerlangan yang mereka kecapi adalah hasil daripada perubahan yang telah mereka perbuat pada diri sendiri.
Sebagai rangkuman dalam mengharungi cabaran masakini dengan membentuk minda yang positif, insan cemerlang itu: –
- Sentiasa melihat dari sudut pandang yang positif dan berbeza dari orang lain serta bersangkabaik dalam setiap keadaan.., memang susah namun berlatihlah.
- Fokus pada kekuatan namun sentiasa mencari jalan untuk mengatasi kelemahan diri.
- Sentiasa mencari alternatif dalam menyelesaikan masalah, bukan menambah kepada masalah sediaada dan sentiasa berubah dari segi kaedah penyelesaian bukan matlamatnya.
Bila keadaan tiada penyudah
Ambillah langkah untuk berubah
Pasti kita merasa yakin
Kecemerlangan diri jadikan pemangkin
Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya
هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.
* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.
champgye@gmail.com
* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474