Home Business Malu Nak Minta Bayaran: Bila Usahawan Sendiri Melambatkan Kutipan Wang

Malu Nak Minta Bayaran: Bila Usahawan Sendiri Melambatkan Kutipan Wang

4
0

Malu Nak Minta Bayaran: Bila Usahawan Sendiri Melambatkan Kutipan Wang

Oleh Baharim Sukari | M Niaga | 2 Oktober 2026

“Kalau aku minta bayaran awal, nanti pelanggan tak jadi tempah.”

“Segan nak follow up. Dia pelanggan lama.”

“Tak apalah, buat dulu. Nanti dia bayarlah.”

Ada usahawan yang yakin menjual, tetapi serba salah apabila hendak meminta bayaran.

Takut pelanggan terasa. Takut dianggap berkira. Takut kehilangan tempahan.

Akhirnya, terma dilonggarkan dan susulan ditangguhkan. Wang yang sepatutnya diterima masih belum masuk, sedangkan kos perniagaan terus berjalan.

Kadangkala pelanggan lambat membayar kerana kita sendiri lambat menyatakan pendirian.

1. Pelanggan Boleh Berunding, Kita Boleh Berpegang pada Terma

Dalam perniagaan pakaian OEM saya, memang ada pelanggan yang meminta kredit. Ada juga yang mahu membuat tempahan tanpa bayaran awal.

Saya mendengar permintaan mereka, tetapi tetap dengan terma 70%–80% bayaran awal semasa pengesahan tempahan, mengikut sebut harga.

Saya tidak perlu malu menjelaskan terma tersebut. Pelanggan perlu tahu syarat tempahan sebelum membuat keputusan.

Berunding itu biasa. Namun, kita tidak wajib menerima setiap permintaan hanya kerana takut kehilangan pelanggan.

2. Bayaran Awal Ada Sebabnya

Dalam perniagaan OEM saya, ada tiga sebab utama bayaran awal diperlukan.

Pertama, pakaian dibuat khusus untuk pelanggan. Reka bentuk, material dan tag jenama mengikut permintaan mereka. Apabila sudah siap, pelanggan lain biasanya tidak mahu membeli produk tersebut.

Kedua, mengurangkan risiko hutang lapuk dan kerugian. Kos material dan pengeluaran perlu dibayar. Jika pelanggan tidak membayar, wang syarikat yang sudah digunakan boleh menjadi kerugian.

Ketiga, terma ini ialah polisi syarikat. Saya sendiri perlu menghormatinya. Saya tidak boleh sesuka hati mengetepikan polisi hanya kerana segan hendak menolak.

Apabila kita faham sebab di sebalik terma, lebih mudah untuk menyampaikannya dengan yakin.

Kita sedang menjaga kelangsungan perniagaan, bukan sekadar mengejar satu tempahan.

3. Tegas Tidak Bermaksud Kasar

Meminta bayaran tidak memerlukan nada keras atau mesej yang panjang.

Cukup jelaskan dengan sopan:

“Untuk tempahan OEM, polisi syarikat kami menetapkan bayaran awal 70%–80% semasa pengesahan, mengikut sebut harga. Ini kerana pakaian dibuat khusus menggunakan reka bentuk, material dan jenama pihak tuan. Pengeluaran akan dimulakan selepas bayaran awal diterima.”

Jika pelanggan belum bersedia, berikan ruang untuk mereka mengatur bayaran.

Rasa segan boleh dikurangkan apabila kita bercakap berdasarkan terma yang jelas, bukan mengikut emosi.

4. Menunggu Bayaran Perlu Ada Asas yang Jelas

Dalam perniagaan latihan dan konsultansi saya, pendekatannya berbeza.

Kebanyakan pelanggan menggunakan HRD Corp Claimable. Sebelum program, kelulusan berkaitan perlu diperoleh terlebih dahulu. Selepas itu, tumpuan saya ialah memastikan dokumentasi dan tuntutan diurus dengan cekap.

Berdasarkan pengalaman saya, pembayaran biasanya selesai sekitar dua minggu apabila urusannya berjalan lancar.

Bagi agensi kerajaan, urusan saya menggunakan LO, dengan dokumen dan terma pembayaran yang perlu dipatuhi.

Untuk latihan korporat yang tidak menggunakan HRD Corp Claimable, terma saya ialah:

  • 50% seminggu sebelum program.
  • Baki 50% dalam tempoh seminggu selepas program dilaksanakan.

Saya boleh menunggu bayaran apabila proses dan termanya jelas. Tetapi saya tidak akan mengetepikan polisi bayaran hanya kerana malu hendak menyatakannya kepada pelanggan.

5. Jangan Tunggu Pelanggan Bertanya tentang Bayaran

Terma bayaran perlu disebut sejak awal dan dinyatakan dalam sebut harga.

Jangan berbincang panjang tentang produk atau program, kemudian mengakhiri perbualan dengan:

“Bayaran nanti kita bincang.”

Ayat itu membuka ruang kepada jangkaan yang berbeza.

Nyatakan berapa perlu dibayar, bila perlu dibayar dan bila kerja akan dimulakan. Untuk urusan tuntutan atau LO, pastikan dokumen yang diperlukan turut dikenal pasti.

Kejelasan dari awal memudahkan kita membuat susulan kemudian.

6. Buat Susulan Tanpa Rasa Bersalah

Apabila sampai tarikh bayaran, buat susulan. Tidak perlu menunggu sehingga wang syarikat sudah ketat.

Mesej ringkas sudah memadai:

“Salam tuan, saya membuat susulan bayaran bagi invois ini yang telah sampai tarikh pembayaran. Mohon maklumkan status dan jangkaan tarikh bayaran untuk perancangan pihak kami. Terima kasih.”

Tidak perlu meminta maaf berulang kali kerana membuat susulan terhadap bayaran yang sudah dipersetujui.

Pada masa yang sama, semak tindakan kita sendiri. Adakah invois sudah dihantar? Dokumen lengkap? Tuntutan sudah dikemukakan?

Jangan segan membuat susulan, dan jangan lambat menyiapkan urusan di pihak sendiri.

Penutup: Jaga Hubungan, Pegang Pendirian

Pelanggan penting kepada perniagaan. Wang yang membiayai operasi juga penting.

Kita boleh menjaga hubungan melalui layanan yang baik, komunikasi yang sopan dan kerja yang berkualiti. Terma bayaran pula perlu disampaikan dengan jelas dan dilaksanakan secara konsisten.

Minta bayaran dengan sopan. Pegang terma dengan yakin. Buat susulan pada waktunya.

Jangan kerana malu meminta bayaran, kita sendiri melambatkan wang masuk.


Mulakan dengan Rekod Kewangan yang Lebih Teratur

Apabila sebut harga, invois, rekod pendapatan dan perbelanjaan disimpan secara berasingan, semakan kewangan mudah tertangguh.

M Niaga BizTracker menyediakan kemudahan pengurusan sebut harga, invois, pendapatan, perbelanjaan dan laporan untuk membantu usahawan menyusun rekod kewangan perniagaan.

Terma pembayaran masih perlu dipersetujui dengan pelanggan dan kutipan tetap memerlukan susulan. Rekod yang teratur memberi asas yang lebih baik untuk membuat semakan serta keputusan.

Kenali M Niaga BizTracker — Mudahkan Pengurusan Kewangan Bisnes Anda.

👉 Ketahui lebih lanjut tentang M Niaga BizTracker

Tentang penulis: Baharim Sukari ialah usahawan, trainer, business coach dan pengasas M Niaga. Beliau merupakan HRD Corp Registered & Accredited Trainer serta ahli National Industry Expert Panel (DPIN), Jabatan Pembangunan Kemahiran. Perkongsian beliau berasaskan pengalaman korporat, keusahawanan dan latihan dengan prinsip Short, Simple but Smart.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.