Kursus Penanaman Pokok Kantan Tarik Penyertaan dari Pelbagai Negeri
Dengkil, 24 Mei 2025 – Seramai 20 peserta telah menyertai Kursus Penanaman Pokok Kantan yang berlangsung di Ladang Kantan, Dengkil, Sepang semalam. Kursus ini dikendalikan oleh Sadam Arffain, seorang anak muda yang berpengalaman luas dalam bidang pertanian, khususnya dalam penanaman pokok kantan.
Kursus ini berjaya menarik minat peserta dari pelbagai latar belakang, bukan sahaja dari daerah Sepang, malah dari negeri-negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan, dan Selangor. Ini membuktikan peningkatan kesedaran dan minat terhadap potensi penanaman pokok kantan sebagai sumber pendapatan alternatif yang menguntungkan.
Program sehari ini memberi fokus kepada pengetahuan asas, teknik penanaman yang betul, serta sesi praktikal secara langsung di ladang. Para peserta didedahkan dengan kaedah penyediaan anak benih, penjagaan rapi pokok kantan, serta kawalan serangga dan penyakit yang biasa menyerang tanaman tersebut.
Menurut Sadam Arffain, pokok kantan mempunyai potensi pasaran yang luas, bukan sahaja dalam masakan tradisional, malah semakin digunakan dalam produk inovatif industri makanan dan minuman. “Penanaman pokok kantan sangat sesuai untuk mereka yang ingin memulakan projek pertanian skala kecil tetapi berimpak besar,” jelas beliau.
Penganjur berharap siri kursus ini akan terus menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai individu, khususnya generasi muda, untuk terlibat dalam bidang pertanian moden yang menjanjikan pulangan lumayan
Oleh Baharim Sukari | baha@m-niaga.com.my




















