Home Education & Training APLIKASI KESIHATAN MyNutriKidney® PERMUDAH PENGURUSAN PEMAKANAN PESAKIT GINJAL KRONIK

APLIKASI KESIHATAN MyNutriKidney® PERMUDAH PENGURUSAN PEMAKANAN PESAKIT GINJAL KRONIK

125
0

Pesakit ginjal kronik memerlukan kawalan penjagaan pemakanan yang teliti untuk memastikan sumber nutrien yang diambil adalah lengkap dan mencukupi bagi mengawal komplikasi berkaitan penyakit ginjal seperti tekanan darah tinggi, memperlahankan kadar kemerosotan fungsi ginjal dan mengurangkan kebocoran protein ke dalam air kencing.

Sepasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zulfitri ‘Azuan Mat Daud dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, dengan kerjasama penyelidik Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah berjaya membangunkan aplikasi kesihatan mudah alih MyNutriKidney® di mana pesakit boleh mengaksesnya melalui penggunaan telefon pintar dan mengemaskini maklumat kesihatan serta latar belakang mereka pada bila-bila masa.

Inisiatif ini dilaksanakan untuk menangani isu penyakit ginjal kronik di Malaysia yang mencatatkan kes sebanyak lebih 15% penduduk dewasa menghidap penyakit ginjal tahap 1 hingga 5 disebabkan faktor diabetes, tekanan darah tinggi dan peningkatan umur.

Berpandukan Model Kepercayaan Kesihatan (Health Belief Model), aplikasi ini mengumpul data maklumat pesakit bagi memastikan saranan pemakanan yang diberikan adalah bersesuaian dengan tahap kegagalan ginjal pesakit serta penyakit lain yang turut dihadapi oleh pesakit seperti diabetes.

Sistem ini dibangunkan dengan kaedah teknologi yang canggih dan mesra pengguna kerana sistem penjejak diet (diet tracker) yang terkandung di dalam sistem ini adalah berasaskan makanan ruji yang dinikmati oleh masyarakat setempat. Justeru, pesakit mempunyai pilihan yang banyak untuk dipilih dengan mudah.

MyNutriKidney® berfungsi dengan mengira keperluan tenaga, makronutrien dan mikronutrien spesifik mengikut keperluan individu. Pengguna boleh memasukkan data pengambilan makanan harian dan aplikasi ini akan memaparkan interpretasi pencapaian keperluan tenaga, makronutrien dan mikronutrien utama berdasarkan keperluan spesifik individu untuk membolehkan pesakit mempelajari dengan sendiri tentang jenis makanan yang bersesuaian, memantau dan membetulkan pola pemakanan mereka.

Kandungan grafik, gamifikasi dan video yang dipaparkan juga menggunakan medium yang interaktif menggalakkan penglibatan pesakit dengan aplikasi secara aktif sekaligus pesakit dapat mengikuti pendidikan pemakanan yang lebih efisyen dan berkesan.

MyNutriKidney dilengkapi teknologi terkini yang mampan dan akan dimuat naik di Apple Store dan Play Store menjadikan sistem mesra pengguna ini boleh dicapai oleh segenap lapisan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Cik Nor Azizah Ismail di talian 03-97692187 / i_norazizah@upm.edu.my dan layari https://sciencepark.upm.edu.my/industri/teknologi_untuk_dilesenkan/teknologi_sedia_dikomersialkan-4154 untuk mendapatkan senarai teknologi UPM yang telah sedia untuk dikomersilkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.