Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tanggungjawab Dan Hak – Siri 52 ‘mana yang dahulu?

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Tanggungjawab Dan Hak – Siri 52 ‘mana yang dahulu?

321
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

INI HAK SAYA! KAMI MAHU HAK KAMI! JANGAN NAFIKAN HAK RAKYAT! Tepat sekali! Kebanyakan manusia (atau diri kita sendiri) sering melaung-laungkan (atau meraung-raungkan) dan mendesak agar hak mereka dipenuhi terlebih dulu. Tak kiralah samada dia seorang Ayah, Ibu, Anak, Pekerja, Murid, Pengguna, Rakyat atau apa sahaja kedudukannya. Begitu jugalah di peringkat atasan samada sebagai Majikan, Guru, Peniaga, Menteri dan sebagainya, semuanya sangat menginginkan agar hak mereka dipenuhi dan terpenuhi. Masing-masing ada alasan tersendiri yang kukuh untuk menuntut hak mereka kerana ianya perkara hakiki pada setiap manusia.

Tubuh badan manusia sendiri mempunyai haknya masing-masing contohnya badan perlukan nutrisi, dibersihkan sentiasa dan rehat, mata perlukan tidur, telinga perlukan bunyi atau suara, mulut perlukan makanan, minuman dan percakapan, tangan, kaki, kepala hatta sehingga kemaluan juga punya haknya masing-masing yang wajib dipenuhi oleh tuan punya badan. Apabila hak-hak tersebut diketepikan contohnya, apabila perut merasa lapar dan kita tidak makan, haus dan kita tidak minum, tubuh dan mata merasa penat dan kita tidak tidur, minda dan jiwa yang perlukan pengisian tapi kita tidak peduli, datang pula isyarat untuk ke tandas namun kita tidak berbuat demikian, maka bermunculanlah pelbagai masalah kesihatan yang timbul kerana kita tidak menunaikan atau hak anggota badan kita tidak ditunaikan sewajarnya.

Begitu jugalah halnya dengan benda-benda lain samada yang bernyawa atau tidak bernyawa seperti kenderaan yang perlukan minyak sebelum dapat bergerak atau apabila tiba masanya perlu diservis, mesin yang telah bekerja terlalu lama perlu dihenti untuk direhatkan walaupun sebentar, rumah atau bangunan yang selalu kena dibersihkan dan diselenggara, taman yang harus dipotong rumputnya, pokok yang harus disiram dan banyak lagi hal-hal lain yang tidak mendapat hak mereka masing-masing, maka akan timbullah pula bermacam-macam masalah seperti berlakunya kerosakan, harta benda yang tidak terurus, tanaman yang mati dan lain-lain masalah. Ini semua adalah masalah yang akan timbul disebabkan oleh penafian hak. Kenapa ianya berlaku? Jawapannya sangat mudah…kerana yang pihak yang sepatutnya tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk memenuhi hak-hak tersebut.

Inilah sebab kenapa sebelum meminta atau menuntut hak, kita harus memastikan bahawa kita telahpun memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab yang sewajarnya terlebih dahulu untuk melayakkan kita mendapat hak tersebut. Contohnya apabila sah sahaja lafaz aqad nikah seseorang itu maka beberapa perkara akan berlaku. Antaranya ialah si lelaki sah menjadi suami dan si perempuan sah menjadi isteri dan kedua-duanya saling berhak atas satu sama lain. Sekaligus, tanggungjawab ke atas si isteri adalah atas tanggungan dan tanggungjawab si suami dan bukan lagi si ayah yang tadinya menjadi wali dalam pernikahan tersebut. Pemindahan ‘hakmilik’ ini (samada kekal atau tidak) bermakna bermula dari saat saksi menyatakan keabsahan pernikahan tersebut, si suamilah yang sekarang bertanggungjawab sepenuhnya atas si isteri dengan imbalan si isteri juga memenuhi tanggungjawabnya terhadap suaminya.

Walaupun hak atas satu sama lain tetap kekal walaupun salah seorang tidak melaksanakan tanggungjawabnya, namun ianya boleh dibatalkan apabila suami menceraikan si isteri atau isteri menuntut fasakh. Mudah kata, dengan mana-mana pihak tidak melaksanakan tanggungjawabnya, maka akan timbullah isu rumahtangga yang sering kali berakhir dengan penceraian. Dan apabila ianya berlaku, maka terlepaslah hak masing-masing sebagai suami isteri namun sekiranya mempunyai anak, si suami masih wajib memberikan nafkah kepada anak atau anak-anak tersebut.

Ini bukanlah artikel tentang hal rumahtangga tetapi untuk menjelaskan bahawa tiada hak dapat dipenuhi jika tanggungjawab tidak dilaksanakan. Insan cemerlang adalah mereka yang faham tentang kepentingan tanggungjawab sebelum menuntut hak. Sebagaimana pekerja wajib bekerja terlebih dahulu sebelum menuntut gaji atau upah, pelajar harus belajar dan melalui peperiksaan sebelum mendapat keputusan, rakyat harus memenuhi syarat sebagai warganegara sebelum layak menerima sebarang manfaat dari kerajaan dan seorang hamba wajib melaksanakan tanggungjawab dan ibadahnya demi mendapat keredhaan Penciptanya.

Tanggungjawab adalah AMANAH yang harus ditanggung dan kemudian akan terpaksa pula dijawab. Maka amatlah wajar untuk seseorang itu mendahulukan tanggungjawab sebelum menuntut haknya. Andai kita memahami konsep mendahulukan tanggungjawab berbanding hak, sudah pasti kehidupan akan menjadi lebih teratur, selesa dan bahagia. Hanya Allah SWT sahaja yang memenuhi tanggungjawab terhadap hak hamba-Nya walaupun acap kali hamba-Nya sering melupakan tanggungjawab mereka kepada-Nya. “Maka nikmat Tuhan-mu yang manakah yang engkau dustakan?” (Surah Ar Rahman (55) diulang sebanyak 31 kali). Renungkanlah…

Sebagai rangkuman: –

1. Setiap manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan malahan benda tak bernyawa mempunyai hak yang wajib diberikan sebagai memenuhi tuntutan alam semesta.
2. Setiap insan harus memahami apakah tanggungjawabnya terhadap seseorang atau sesuatu terlebih dahulu sebelum menuntut haknya.
3. Imbalan terhadap mendapat hak ialah dengan mendahulukan tanggungjawab iaitu amanah yang sewajarnya dilaksanakan.

Tanggungjawab dan hak fitrah manusia
Dalam menjalani kehidupan dunia
Laksanakan tanggungjawab terlebih dahulu
Kelak hak pasti menyusul di belakang mu

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.