Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Menghayati Erti Hijrah – Siri 48 ‘meniti fasa perubahan…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Menghayati Erti Hijrah – Siri 48 ‘meniti fasa perubahan…’

391
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Hijrah Itu Pengorbanan

Hijrah Itu Perjuangan

Hijrah Itu Persaudaraan

Hijrah Membentuk Perpaduan

Bait-bait lagu Maal Hijrah oleh Kumpulan Nasyid Al Ajiba yang begitu popular di saat sambutan Maal Hijrah satu ketika dulu mungkin sudah kurang kedengaran di corong-corong radio mahupun kaca televisyen dengan kedatangan media sosial yang telah ‘berhijrah’ dalam  mendominasi ruang penyiaran. Namun begitu banyak e-poster, video dan ucapan-ucapan  Maal Hijrah tetap memenuhi platform media sosial seperti WA, Telegram, FB dan TikTok untuk menyemarakkan sambutan yang nyata agak hambar tahun ini.

Melangkah ke tahun baru hijrah 1443 pastinya membawa pengertian yang berbeza kepada setiap invidu terutamanya Umat Islam yang masih berdepan dengan ancaman pandemik yang seolah-olah belum nampak penghujungnya ini. Jika di suatu ketika dahulu persiapan perarakan sudah dibuat awal-awal lagi sebelum tarikh 1 Muharram, sekarang sambutan lebih bersifat begitu sederhana dengan pelbagai majlis sambutan secara maya malah ada yang tidak mengambil endahpun tentang tahun baru Umat Islam ini kerana ianya dianggap tidak sepenting sambutan lain seperti Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha.

Mengimbas penghijrahan Baginda Rasullulah SAW bersama sahabat baginda Syaidina Abu Bakar As-Siddiq RA, kita pasti tidak dapat benar-benar membayangkan apa yang dilalui mereka dan para sahabat tatkala mereka terpaksa meninggalkan harta benda, keluarga dan kampung halaman demi menyahut seruan Ilahi dalam memenuhi tuntutan agama. Sesungguhnya apa yang ditempuhi oleh para sahabat sewaktu proses penghijrahan itu merupakan antara pengorbanan yang tidak ramai di antara kita mampu lakukan sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam ayat berikut: –

“Dan barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” An Nisa (4) ayat (100)

Jika diamati, ramai daripada insan cemerlang adalah mereka yang telah melalui pelbagai bentuk, fasa, dugaan dan proses penghijrahan. Samada fizikal, mental atau spiritual, semuanya adalah antara kaedah dalam menuju satu bentuk pencapaian dalam kehidupan masing-masing. Mereka adalah insan-insan yang berani mengambil risiko, berdepan cabaran dan mengambil atau mencipta peluang. Di antara kaum-kaum di dunia, yang paling ramai berhijrah adalah orang Cina. Sebab itu kita lihat hampir di seluruh dunia terdapat China Town di mana ekonomi mereka begitu pesat dan di situlah kebanyakan dari nukleus perniagaan bermula.

Sudah menjadi lumrah manusia apabila merantau atau berdagang di negara orang, tekanan hidup akan memaksa mereka untuk berusaha lebih dari anak pribumi yang akhirnya menyaksikan mereka selalunya lebih berjaya dan dapat memiliki sejumlah harta melebihi dari rakyat negara itu sendiri. Kita sendiri dapat menyaksikan betapa kaum pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan dari lain-lain negara kadangkala lebih maju, kaya dan berjaya dari anak tempatan. Atas dasar ‘man jadda wa jadda’ atau siapa yang bersungguh-sungguh, dia akan mendapatkan; maka kita seharusnya mengambil iktibar melalui proses penghijrahan untuk keluar dari kepompong kehidupan yang membelenggu ini. Janganlah pandemik ini dijadikan alasan untuk dipersalahkan semata-mata kerana kita sendiri yang tidak mahu ‘berhijrah’.

Sesungguhnya penghijrahan jiwa dan minda itu adalah yang lebih utama di saat kita berdepan dengan cabaran getir hari ini dalam menghayati erti hijrah yang sebenar. Dalam meniti fasa perubahan, jangan biarkan minda kita jumud dengan segala yang ‘tidak boleh’ sedangkan kita mempunyai banyak yang ‘boleh’ kita lakukan dengan ‘kebolehan’ yang Allah SWT telah anugerahkan kepada kita. Selagi hayat dikandung badan, selagi nafas masih dihela dan dihembus dan selagi kita punya kudarat tulang empat kerat; ayoh kita bersatupadu merapat ukhwah demi perpaduan, ayoh bangkit dan berjuang demi masa depan anak cucu dan saudara-saudara kita, ayoh bangkit untuk berkorban harta dan jiwa sebagai persediaan kita berhijrah ke negeri yang kekal abadi.

Sebagai rangkuman: –

  1. Hijrah merupakan satu tuntutan agama yang sewajarnya disambut dan disahut oleh semua Umat Islam tidak semestinya secara fizikal semata-mata tapi dari segi jiwa minda dan jiwa.
  2. Kebanyakan mereka yang berhijrah secara umumnya adalah orang-orang yang beroleh kejayaan dan kecemerlangan sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT dalam surah An Nisa ayat 100
  3. Setiap manusia terutamanya yang mendambakan kecemerlangan harus berbuat sesuai dengan kebolehan yang dianugerahkan Allah SWT sebaik mungkin.

Berubah berpindah berhijrah berserah

Dugaan, pengorbanan, perjuangan dikerah

Hijrah haruslah bukan kerana harta benda

Tapi semata-mata kerana Allah Yang Maha Esa

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.