Home Inspirasi Niaga Kursus Memartabatkan Wanita Dan Ibu Tunggal Anjuran Jabatan Pembangunan Wanita W.P dan...

Kursus Memartabatkan Wanita Dan Ibu Tunggal Anjuran Jabatan Pembangunan Wanita W.P dan WITUS

508
3

Memartabatkan Wanita dan Ibu Tunggal

‘tangan yang menggegar dunia…’

Dari ruang tamu ke dapur ke dalam kereta ke bank, kemudian kembali ke rumah, makan tengahari sehingga ke akhir hari namun tidak langsung putus dari mendengar sesi yang disampaikan walaupun begitu sibuk malah menambah dengan gelak ketawa dan memberi maklumbalas yang positif samada secara lisan ataupun melalui chat room. Demikianlah watak yang dipaparkan Wanita Urat Dawai Tulang Besi yang berjiwa kental, Puan Shiela Tukimin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Shiela, Pengerusi Persatuan Wanita & Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur & Selangor (WITUS) sewaktu berlangsungnya Kursus Memartabatkan Wanita dan Ibu Tunggal selama 5 hari dari 10 hingga 14 Ogos 2021 secara maya menerusi aplikasi Google Meet.

Puan Shiela Pengerusi Persatuan Wanita & Ibu Tumggal Selangor (WITUS)

Dengan pelbagai tajuk menarik yang disajikan untuk hidangan jiwa dan minda, kursus yang dibawakan secara maya anjuran bersama 3 organisasi iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat (KPWKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Persatuan Wanita & Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur & Selangor (WITUS) ini telah berjaya menarik peserta seramai 100 orang dari pelbagai negeri termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Perak. Ternyata pandemik yang sedang menular dan berleluasa tidak mampu mematahkan semangat para Wanita dan Ibu Tunggal ini dalam menimba ilmu yang dicurahkan melalui 5 sesi khas yang membawakan 5 penceramah hebat untuk memberi pendekatan, teknik, kata-kata dorongan dan pelbagai rencah ratus untuk berhadapan dengan cabaran masakini yang menghantui segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan Wanita dan Ibu Tunggal.

Sebagai pembuka gelanggang, sesi hari pertama (10 Ogos 2021) dimulakan dengan Pengarah Urusan SC Creative Solutions Sdn Bhd dan Portal M Niaga, Coach Baharim Sukari yang telah menyampaikan sesi ‘Pemantapan Diri Prinsip S.A.Y.A’ yang membuka minda dengan begitu bertenaga sebagai pendekatan kepada kecemerlangan yang diidam-idamkan oleh semua orang. Prinsip yang menggunakan akronim S.A.Y.A nyata telah menarik minat para peserta yang menyaksikan mereka mengambil bahagian untuk memberi komentar, bertanya soalan dan memberi pandangan samada secara lisan atau melalui chat room.

Pada sesi kedua (11 Ogos 2021), Coach Nizam seorang pengamal NLP dan Perunding Motivasi memandu kursus dengan tajuk ‘Visi, Misi & Matlamat Kehidupan’ untuk memberi gambaran kepentingan halatuju dalam kehidupan. Sesi ini mengupas bagaimana matlamat kehidupan menjadi enjin penggerak kepada seseorang untuk mencapai apa yang terbuku di minda mereka yang mana tanpa tujuan, kehidupan itu akan sia-sia atau kosong dan sudah pastinya akan menjadi terumbang-ambing. Para peserta terus menunjukkan komitmen yang begitu baik dengan lontaran soalan dan komentar di alam maya.

Puan Asma binti Ahmad Azraai (Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Negeri Melaka pula mengambilalih teraju pada sesi ketiga (12 Ogos 2021) dengan satu lagi tajuk yang tidak asing dan sangat penting khususnya untuk kaum wanita iaitu ‘Kekal Positif & Resilien Emosi’ yang merungkai kepentingan kawalan emosi terutama dalam keadaan tertekan dan menekan tatkala ini. Sebagai wanita, kawalan emosi merupakan antara cabaran utama apa lagi untuk para ibu tunggal yang terpaksa mengambilalih tugas ‘ayah’ kepada anak-anak mereka. Andai saja mereka tidak mempunyai semangat yang kuat dan jiwa seperti singa, sudah pasti institusi keluarga mereka akan runtuh, berderai dan berkecai seperti kaca retak merata. Melalui sesi ini mereka telah didedahkan dengan pelbagai cara untuk menangani cabaran emosi yang tak pernah putus datang silih berganti.

Sebagai antara kunci utama dalam disiplin diri, tabiat memainkan peranan dalam kecemerlangan diri. Dengan tajuk ‘Tabiat Hebat dalam Menelusuri Kecemerlangan’, Penceramah Inspirasi dan Penulis Buku Menelusuri Kecemerlangan, Champ Hussain telah memacu sesi hari keempat (13 Ogos 2021) melalui interaksi yang mencuit hati di samping menyampaikan kepentingan dan keutamaan mempunyai tabiat yang sihat dalam menelusuri kehidupan untuk mencapai kecemerlangan. Beberapa aktiviti juga sempat dilaksanakan untuk memastikan para peserta sentiasa memberi perhatian disebabkan kekangan interaksi berdepan secara bersemuka yang terpaksa dihadapi namun sesi tetap dapat berjalan lancar.

Sesi hari kelima dan terakhir (14 Ogos 2021) sememangnya menjadi sesi yang ditunggu-tunggu para peserta bukan kerana ianya adalah hari terakhir kursus tetapi kerana penampilan Pengerusi WITUS sendiri iaitu Puan Shiela Tukimin dengan tajuk menggugah mindanya iaitu ‘Inspirasi & Aspirasi “Zero to Hero” yang nyata begitu mengkobarkan jiwa para peserta dengan perkongsian payah getir beliau dalam mengharungi cabaran kehidupan untuk mencapai takuk di mana beliau berada sekarang. Perkongsian beliau yang begitu telus, beremosi dan berinspirasi itu pastinya memberi aspirasi kepada para peserta untuk terus berjuang di lapangan mereka masing-masing.

Acara Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan, Puan Noorfaizah binti Asmuni di mana beliau mengingatkan para peserta agar terus kekal istiqamah dalam mengembang, memelihara dan memartabatkan kaum wanita dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Beliau turut memberi kata-kata dorongan agar tidak mudah mengalah dalam apa situasi sekalipun terutama dalam keadaan yang serba berketerbatasan disebabkan PKP yang dilaksanakan di seluruh negara.

Walau dicabar dengan masalah jalur internet yang kurang baik di beberapa tempat, kesibukan mengurus rumahtangga ditambah pula dengan masalah cuaca, majoriti para peserta tetap kekal di telefon pintar atau laptop masing-masing dan memberi tumpuan penuh kepada setiap penyampai terutamanya apabila diadakan aktiviti-aktiviti tertentu. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mengambil mudah hal yang membabitkan ilmu dan kemahiran kerana mereka tahu dan faham bahawa tidak ada cara lain yang lebih baik, cekap dan berkesan daripada ilmu dan kemahiran untuk keluar dari kemelut dan krisis ekonomi yang sedang melanda Malaysia dan seluruh dunia tatkala ini.

Sememangnya wanita memainkan peranan besar dan utama dalam menjana ekonomi samada sebagai pengguna apa lagi sebagai pemain industri. Dengan latarbelakang mereka sebagai usahawan kecil dan sederhana samada dalam bidang masakan dan catering, menjahit baju, menjual pelbagai barangan, pengusaha spa, pengusaha bas dan banyak lagi bidang-bidang lain yang diceburi, sudah pasti tangan yang menghayun buaian ini juga punya kemampuan hebat untuk menggegar dunia dalam ekonomi atau dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi asal saja mereka mempunyai matlamat yang tepat, tekad disertai iktiqad dan semangat yang tersemat serta hasrat untuk memberi manfaat untuk pada umat manusia sejagat.

Champ Hussain

3 COMMENTS

  1. Program memertabatkan wanita sangat bagus dan berguna kepada kita semua. Terima kasih kepada persatuan witus dan all coaches.

  2. ILMU YANG BERMANFAAT, MUDAH DIFAHAMI, COACH YANG MANTAP DAN SANTAI, SENTIASA MEMBERI JAWAPAN YANG BERNAS DAN MANTAP APABILA SOALAN YANG DIAJUKAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.