Home Inspirasi Niaga MENELUSURI KECEMERLANGAN: Gelap Sebelum Terang – Siri 46 ‘berani menghadapi cabaran…’

MENELUSURI KECEMERLANGAN: Gelap Sebelum Terang – Siri 46 ‘berani menghadapi cabaran…’

282
0

| Oleh Champ Hussain

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Banyak perbezaan antara orang yang berjaya dan orang yang tidak atau belum berjaya. Antaranya orang berjaya yakin pada dirinya sendiri sementara orang yang belum berjaya sering ragu dengan kewibawaannya. Orang berjaya sentiasa berbuat dan berbuat terus sementara yang belum berjaya sentiasa berfikir apa nak buat, bila nak buat dan di mana nak buat. Orang berjaya bergerak atas nalurinya yang menjadi teras kepada apa yang mendorongnya sementara orang yang belum berjaya sentiasa mengharap agar dia punya sumber yang mencukupi terlebih dahulu sebelum bergerak untuk melaksanakan apa yang dihajatinya. Orang berjaya bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan padanya dan menggunakannya sebaik mungkin sementara orang yang belum berjaya sentiasa mengharapkan agar dia mempunyai segala yang dimiliki oleh orang yang berjaya untuk dia berjaya. Dalam erti kata lain, insan cemerlang adalah mereka yang berjaya dan berani dalam menghadapi cabaran.

Di saat dunia sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang paling getir hari ini iaitu cabaran keselamatan dan keberadaan atau juga disebut kelangsungan hidup, manusia semakin diuji dengan keimanan mereka kepada Sang Pencipta dan pada diri mereka sendiri. Ramai yang sudah tewas (jika Bahasa Indonesia digunapakai, ia bermaksud mati) kepada keadaan yang semakin menghimpit bagaikan bumi yang akan menghimpit tubuh badan tatkala dikuburkan nanti. Ramai yang sudah tewas dari segi mental, fizikal dan spiritual dan ada yang merasakan bahawa sudah tiada jalan keluar lagi dari kemelut kesihatan dan ekonomi yang semakin hari semakin menghunjam bagaikan pedang yang tajam menusuk ke dalam sanubari setiap insan yang bernama manusia.

Di sinilah terletaknya kunci kepada kejayaan atau kegagalan seseorang itu yakni keupayaan untuk bangkit dan meneruskan perjuangan dalam menghadapi cabaran. Insan cemerlang adalah mereka yang melihat apa jua keadaan dalam mencari solusi kepada cabaran yang dihadapi bukan dengan terus tenggelam dan hanyut dalam arus cabaran tersebut tanpa jalan keluar. Dia harus berani mengambil tindakan-tindakan yang kadangkala mungkin nampak tidak waras, berisiko ataupun di luar laras fikir manusia normal tapi itulah yang membezakan Si Pemenang dengan Si Tewas.

Insan cemerlang adalah mereka yang berani. Berani untuk memulakan sesuatu kerana mereka mempunyai Sense of Purpose atau azam yang kuat untuk mencapai sesuatu yang dihajatinya contohnya seandainya seseorang itu ingin menyelesaikan sesuatu tugasan kerana dia tahu kepentingan tugasan tersebut bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk orang lain, maka dia akan mempunyai satu daya tujahan yang menggerakkannya untuk menyelesaikan tugasan tersebut sebaik mungkin. Sebagai contoh, dalam keadaan pandemik hari ini, apa sebenarnya yang memberi dorongan kepada para petugas barisan hadapan yang kita sudah sedia maklum dalam keadaan keletihan, sangat tertekan dan sudah hampir di tahap putus harap namun masih lagi menggagah diri mempertahankan sistem kesihatan negara yang begitu dicabar dengan serangan bertubi-tubi oleh virus yang tidak mengenal erti gencatan senjata itu?

Dari para Doktor, Jururawat, para petugas KKM dari semua bahagian termasuk di rumah mayat yang sudah tidak mampu lagi menampung jumlah jenazah yang semakin bertambah sehingga ke pihak keselamatan seperti PDRM, ATM, BOMBA, SMART, JPAM, RELA serta semua sukarelawan-sukarelawan NGO yang turut menyumbang bantuan tenaga, makanan dan apa sahaja sumber yang perlu demi kesihatan, keselamatan dan kelangsungan kehidupan rakyat umumnya, mereka masih meneruskan usaha mereka kerana mereka tahu andai mereka gagal maka seluruh negara akan menerima akibat atas kegagalan tersebut. Inilah antara factor utama yang mendorong mereka untuk terus berjuang atas nama misi kemanusiaan sejagat.

Insan yang punya azam yang kukuh dan kuat ini tidak kenal apa itu penat lelah malahan mereka tidak mengeluh, mungkin ada dalam hati kecil mereka namun tidak dizahirkan kerana mereka faham perjuangan ini sudah pasti penuh dengan onak ranjau yang berduri yang mana tak mungkin kejayaan akan mampu dikecapi sebagaimana satu ungkapan yang sering digunapakai dalam siri popular Turki di Netflix Dirilis: Ertuğrul iaitu ‘the darkest hour is just before the dawn’ yang bermaksud waktu yang paling gelap ialah sebelum terbitnya fajar. Insan cemerlang sedia maklum bahawa dalam keberanian mengambil tindakan, mereka akan terpaksa menghadapi kegelapan sebelum beroleh cahaya yang terang benderang.

Kegelapan ini boleh dinisbahkan dalam pelbagai aspek samada kesusahan, kepayahan, kesengsaraan, kepahitan, kesakitan, pengorbanan dan apa sahaja yang menggambarkan bentuk penderitaan yang harus atau wajib dilalui sebelum kejayaan dan kecemerlangan dikecapi namun semua itu tak sedikitpun memberi kesan terhadap iltizam (commitment) dalam mencapai rancangan dan impiannya. Sebagaimana berlian itu terhasil dari arang yang disebabkan oleh tekanan yang tinggi, begitu jugalah dengan kejayaan. Walau mungkin ada jalan pantas tapi sememangnya tiada jalan pintas dalam menuju kecemerlangan.

Dalam apa situasi sekalipun, tingkat kepayahan yang palingmencabar itu selalunya adalah di saat kita hampir mengalah di penghujung perjalanan atau kejayaan tersebut. Di situlah terletaknya ujian yang membezakan antara budak dengan orang dewasa, kaca dengan permata dan kegagalan dengan kecemerlangan kerana di sebalik kegelapan pasti akan ada cahaya terang yang bersinar. Adakah kita sanggup meneruskan perjalanan ini..?

Sebagai rangkuman: –

  1. Tiada kejayaan yang dapat dikecapi tanpa susah payah kerana ianya adalah lumrah kehidupan.
  2. Salah satu ciri utama insan cemerlang ialah keberanian dalam mengambil tindakan walau berhadapan dengan pelbagai risiko.
  3. Di saat yang paling getirlah, seseorang itu harus bertahan dalam apa jua keadaan kerana sesudah kegelapan pasti ada cahaya.

Cabaran getir itu fitrah manusia

Sebelum manis dikecapi selalunya ia sengsara

Pahit getir hidup itu semestinya biasa

Kerana setelah gulita pastinya bersinar cahaya

Salam ceria cemerlang cakna ikhlas dari saya

هذا والله يرعانا ويحفظنا والحمد لله رب العالمين
Dengan ini, semoga Allah melindung dan menyelamatkan kita semua dan segala puji dan terima kasih kepada Allah SWT, Tuhan sekelian alam.

* Siri ‘Menelusuri Kecemerlangan’ ini merupakan siri yang telah diolah semula dari slot siaran Radio Tiga Shah Alam yang bersiaran setiap hari Khamis pada tahun 1997-1998 di mana penulis merupakan tetamu yang dijemput khas untuk slot ini.

* Champ Hussain adalah Penceramah Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CMSB Human Capital Sdn Bhd anak syarikat Cerna Minda Sdn Bhd yang terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan yang mengendalikan kursus-kursus seperti Professional Diploma in Occupational, Safety and Health Management (PDOSHM), Professional Diploma in Supervisory Management (PDSM), Professional Diploma in Industrial & Environmental  Management (PDIEM) dan lain-lain kursus peningkatan diri, pengurusan, keusahawanan dan dinamika kumpulan. Champ telah berkecimpung dalam industri latihan selama lebih dari 25 tahun dan berpengalaman menggendalikan ratusan program dalaman dan luaran kepada ribuan peserta dari kalangan professional, penjawat awam, pelajar dan pekerja-pekerja industri. Beliau juga merupakan Rakan Strategik kepada SC Creative Solutions Sdn Bhd. e-mail: champgye@gmail.com ph: +6010 444 0474

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.